Segi Luncur ‘Perisai Jiwa’ Sebagai Pengisi Ruang Kosong di Kala Pandemik

oleh Aniq Ammar Ekhwan
1.7K bacaan

Segi

Kugiran Alternative Rock, Segi akhirnya berjaya menyiapkan sebuah karya baharu yang ditulis sebagai ekspresi mereka terhadap kesukaran dan usaha yang perlu wujud dalam mengharungi dugaan kini. Single Perisai Jiwa yang dilancarkan pada 27 Ogos 2021 ini dihasilkan dengan usaha jarak jauh antara kedua-dua anggota utama kumpulan Segi serta kerjasama secara virtual bersama beberapa pemain industri yang lain.

Segalanya seakan terhenti apabila dunia dilanda dugaan yang tidak dijangka, sehingga sang gergasi dalam setiap industri juga turut terkesan oleh cabaran semasa. Begitulah hebatnya impak Covid-19 kepada industri seni dan kreatif tanah air di mana kebanyakan pengkarya dan pemain industri terpaksa mencari jalan alternatif untuk kelangsungan hidup masing-masing. Kumpulan Segi yang masih hijau dalam usaha berkarya dan dalam proses mencari rentak amat terkesan dengan cabaran ini sehingga hasrat untuk menghasilkan album studio sulung mereka terpaksa dilupakan seketika.

Segi yang dianggotai oleh Shidi sebagai vokalis dan pemain gitar serta Ismail sebagai pemain bass mula bertapak pada tahun 2018 dan aktif bergerak dalam sirkit muzik indie sehingga pandemik Covid-19 mengubah segalanya. Mereka yang telah hadir dengan beberapa rilisan utama seperti lagu berbahasa Inggeris berjudul Broken serta rilisan terakhir pada awal tahun 2020 iaitu Over and Done telah meletakkan sasaran untuk meningkatkan kualiti karya seterusnya namun tergendala dek keadaan semasa.

Menurut mereka, karya baharu ini membawa genre muzik rock alternatif yang sememangnya menjadi tradisi dan bunyian asal kepada kumpulan Segi.

Walaupun ia tidak ditulis bagi dimuatkan dalam album sulung sepertimana yang dirancang, tetapi ia tetap membawa tema yang hampir sama dan boleh menjadi gambaran kepada para pendengar akan bagaimana album tersebut bakal hadir kelak. Meskipun proses rakaman terpaksa dilakukan dengan cara yang berbeza, kami masih memfokuskan usaha untuk menghasilkan karya yang bermutu dari segi produksi dan lebih baik dari rilisan sebelumnya.

Pendapat penulis? Segi telah keluar dari zon selesa mereka dan muncul kembali tepat pada masanya. Susunan lagu yang dibawakan amat segar, permainan bass dan gitar mereka juga amat mengagumkan dan semestinya vokal Shidi yang membuatkan penulis terpesona. Seharusnya single mereka ini menjadi pilihan di stesen radio tempatan di waktu petang di kala semua memandu pulang dari tempat kerja masing-masing.

Kumpulan Segi jelas mengharapkan agar lagu baharu ini dapat menjadi pengisi jiwa kepada para pendengar tanah air, khususnya bagi mereka yang mengikuti rapat perkembangan pemuzik atau pengkarya indie di Malaysia.

Lagu Perisai Jiwa kini boleh didengar di seluruh platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube dan lain-lain. Layari laman web mereka di segimusic.com bagi mendapatkan lebih banyak info dan kemaskini terkini tentang perjalanan kerjaya dan muzik mereka.

Ikuti Segi di:

Facebook

Instagram

Twitter

Website

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅