Gema Pekik Palu: Malam Fusion Distorsi Menyuluh Bakat Lokal yang Memukau

oleh Aniq Ammar Ekhwan
416 bacaan

Dewan Tunku Abdul Rahman, MATIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, menjadi saksi kepada satu lagi acara seni yang menggegarkan industri muzik tempatan. Acara dua hari bertajuk Gema Pekik Palu: Malam Fusion Distorsi yang berlangsung pada 8 dan 9 Februari 2025 berjaya memukau penonton dengan gabungan elemen tradisional dan moden yang segar serta persembahan luar biasa daripada barisan artis ternama tanah air.

Hari Pertama: Sabtu, 8 Februari 2025

Malam pertama dimulakan dengan persembahan penuh emosi oleh kumpulan 1963, yang membawa penonton menerusi satu perjalanan muzikal yang unik dengan gabungan sape, sitar, dan gendang. Fusion yang dihasilkan bukan sahaja segar tetapi juga mengingatkan kita akan kekayaan warisan muzik Malaysia.

Az Samad, dengan permainan fingerstyle gitarnya yang memukau, berjaya menghidupkan semula lagu-lagu klasik seperti Lemak Manis dan Cindai dengan susunan yang kreatif. Traditopia pula membawa elemen jazz dan tradisional yang harmoni, manakala Re-Bloom menarik perhatian dengan gabungan pop dan tradisional yang mengasyikkan.

Untuk persembahan solo dari Rina Hime dan Dekwa pula masing-masing membawakan gaya unik mereka, memukau penonton dengan vokal dan penampilan yang memikat. Namun, kemuncak malam pertama adalah persembahan Noh Salleh yang meruntun jiwa. Dengan set akustik yang intim, Noh berjaya membuatkan penonton terpaku, terutamanya ketika beliau mempersembahkan single terbarunya, Nirmala, buat pertama kali. Persembahan duet beliau bersama Az Samad dalam lagu Kotak Hati juga menjadi detik istimewa yang tidak dapat dilupakan.

Hari Kedua: Ahad, 9 Februari 2025

Malam kedua tidak kurang hebatnya. Viona membuka persembahan dengan set yang penuh makna, menggabungkan peribahasa, elemen tradisional, dan RnB dalam gaya bersahaja yang memikat. Dish pula membawa nuansa grunge yang segar dengan sentuhan tradisional, memberikan pengalaman muzikal yang unik.

Sekumpulan Orang Gila yang kembali ke pentas setelah sekian lama ‘bertapa’ di studio, membawa persembahan yang semakin ‘jahat’ dan penuh energi. Buat pertama kalinya, mereka mempersembahkan single terbaru, Naluri yang walaupun beraliran post-hardcore, berjaya membuatkan penonton teruja walaupun hanya mampu mosh dalam hati.

Fugo pula memukau dengan alunan vokal dan permainan instrumen yang ‘kejam’, manakala Monoloque menutup malam dengan persembahan yang meninggalkan kesan mendalam. Set mereka yang penuh emosi dan dinamik membuatkan penonton terngiang-ngiang sepanjang perjalanan pulang.

 

Secara keseluruhan, Gema Pekik Palu: Malam Fusion Distorsi berjaya membuktikan bahawa Malaysia mempunyai bakat seni yang hebat dan pelbagai. Acara ini bukan sekadar konsert, tetapi satu perayaan seni yang menggabungkan tradisi dan modeniti dengan harmoni.

Namun, penulis merasa sedih kerana masih ramai yang belum menyedari betapa bernilainya permata-permata seni ini. Jika tidak diraikan dan disokong, bakat-bakat ini mungkin akan terus terpinggir. Acara seperti ini seharusnya menjadi penggerak untuk kita semua lebih menghargai dan menyokong industri seni tempatan.

Gema Pekik Palu telah meninggalkan kesan yang mendalam, bukan hanya pada penonton, tetapi juga pada industri seni Malaysia. Semoga acara seperti ini akan terus diadakan dan menjadi platform untuk bakat-bakat tempatan bersinar.

Sekian.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅