Kunjungan pertama kumpulan punk rock ikonik, Green Day ke Malaysia telah mendapat sambutan hangat dan meriah daripada peminat-peminat mereka dalam konsert yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, KL semalam (18 Februari 2025).
‘Dookie Time’ di Malaysia – Meriah Dalam Hujan
Bagi sebahagian besar peminat yang hadir, mereka membesar dengan lagu-lagu Green Day terutama album keramat ‘Dookie‘ (1994) dan konsert ini memenuhi penantian selama 30 tahun untuk menyaksikan trio Billie Joe, Mike Dirnt dan Tre Cool beraksi di Malaysia.
Walaupun hujan sepanjang konsert, ia tidak menghalang seluruh peminat yang hadir termasuk dari Singapura untuk berpesta dengan lagu-lagu nostalgik punk rock mereka.
Green Day memulakan konsert sekitar jam 8.30 malam dengan ‘American Dream is Killing Me‘ sebelum memainkan rangkaian lagu-lagu epik nostalgia dari album Dookie yang benar-benar mencetuskan kemeriahan berpanjangan dan fiesta pop-punk rock sepanjang konsert.
Belon When I Come Around
Bermula dengan lagu Welcome To Paradise diikuti Longview, She dan pastinya Basket Case, ia menjadi momen terindah bagi para peminat Green Day di Malaysia. Kemuncak set Dookie hadir pada lagu When I Come Around apabila belon kapal terbang ikonik pada kulit album ‘terbang’ berlegar mengelilingi ruang stadium.
Ia tidak berakhir di situ. Seterusnya, Green Day menyajikan rangkaian lagu-lagu daripada album pasca-Dookie seperti Nimrod, American Idiot dan 21st Century Breakdown. Lagu-lagu epik seperti Know Your Enemy, Minority, Boulevard of Broken Dreams, Holiday, 21 Guns berkumandang secara langsung memenuhi pelusuk stadium sambil diiringi sambutan hangat para penonton.
Kemuncak konsert yang lain antaranya pada persembahan lagu American Idiot dan Wake Me Up When September Ends dengan latar belakang visual pentas yang menakjubkan serta kualiti bunyian yang mantap. Billie Joe turut sempat menyelit bendera Malaysia dan Palestin dalam beberapa lagu.
Dan yang pastinya, kemantapan vokal Billie Joe yang seperti ‘tidak lekang kaset’ serta aura persembahan energetik humor Mike Dirnt dan Tre Cool memberikan pengalaman konsert yang hebat.
Mereka mengakhiri konsert dengan lagu Good Riddance (Time Of Your Life) sekitar 10.30 malam, hampir 2 jam aksi memberi kepuasan maksima kepada penonton untuk dibawa pulang.
Tidak dilupakan, mereka turut membawa lagu ‘misteri’ iaitu lagu yang tidak akan dijangka oleh peminat iaitu One of My Lies dipetik dari album kedua mereka, ‘Kerplunk’ (di Jakarta, mereka membawa ‘Paper Lanterns’).
Hujan masih membasahi ketika konsert berakhir namun kepuasan menyaksikan Green Day depan mata di bumi Malaysia adalah suatu pengalaman magis yang tidak akan berulang.
Stadium Hoki Nasional sebagai lokasi konsert baru mungkin menjadi pilihan yang tepat bagi acara-acara antarabangsa akan datang manakala penganjur wajar dipuji kerana pengurusan yang professional sepanjang konsert.
Green Day kini telah berusia melewati 30 tahun dan apabila kita menoleh semula terutama abang-kakak Milenial dan Gen Y, kita tahu antem-antem punk rock mereka telah menemani jiwa kita saat kegembiraan atau sedih, dan kita sendiri mungkin tidak sedar cepatnya masa berlalu namun di sinilah kita menghargai momen-momen muzikal indah yang pernah terjadi dalam kehidupan.
#ChivasAlexandria