XPDC Kita Peng Yu Tampil Metal Arus Moden, Segar dalam Lagu Terbaru ‘Satu Arah’

oleh Chiv Iscandar
1.2K bacaan

XPDC Kita Peng Yu tampil dengan lagu ‘single’ terbaru, ‘Satu Arah‘ yang kini berada di platform video muzik You Tube dan platform-platform muzik utama lain (Spotify, YT Music, Joox).

Lagu ciptaan mereka sendiri dengan lirik oleh saudara Rosli Ali merupakan karya terbaru XPDC sejak sekian lama.

Melalui lagu tersebut, XPDC Kita Peng Yu yang diterajui Zuar dan Amy (anggota asal XPDC), Jef (Giegel, Malaikat Maut) dan Ary (Fahrenheit) telah menunjukkan kapasiti mereka dalam pembikinan lagu studio dan menempa status keberadaan mereka dalam kelompok liga atasan Rock tempatan yang telah mengeluarkan rekod material baharu selain Barbarik (Jo Branko, Mus).

Lagu berdurasi hampir 5 minit itu jelas menonjolkan elemen-elemen muzikal yang membentuk XPDC.

Intro versa lagu akan segera mengingatkan kita pada lagu kultus XPDC ‘Kabus Semalam‘ dengan Ary bermula secara santai sebelum gitaris Jef menghenyak keras ‘riff’ korus.

Sentuhan gitar Jef benar-benar menyerlah terutama solo yang menggigit pada bahagian bridge.

Ada bunyi Pantera, sedikit Slayer, Megadeth dan Scandinavian Metal (In Flames, Bodom) yang menunjukkan pengaruh gitar Jef dalam kancah muzik.
Lagu yang sangat segar (fresh), moden dan beratitud. Tidak terlalu berat atau kapak, tetapi impak rockin‘ yang tinggi.

Ary masih mengekalkan karakter vokal Mael yang biasa kita dengar tetapi beliau tampil dengan identiti sendiri tanpa perlu ‘copy-paste’ lenggok vokal arwah Mael.

Walaupun banyak polemik sekitar XPDC (anda sendiri boleh menilai melalui komen-komen dalam muzik video You Tube), kita tidak dapat menafikan legasi yang dibawa kerana Kita Peng Yu ialah kumpulan terakhir yang dipelopori arwah Mael (Al-fatihah) sejak 2015 sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2023 sebelum digantikan oleh Ary sebagai penyambung.

Terdapat suara-suara pelecehan bahawa ini adalah cubaan Kita Peng Yu untuk melenyapkan trademark muzikal Izo (gutaris asal XPDC) namun ia adalah tidak logik kerana setiap artis, pemuzik mempunyai identiti, originaliti dan keunikan tersendiri. Manakala untuk menyangkal bahawa Kita Peng Yu telah keluar dari landasan muzikal XPDC ‘sebenar’ juga adalah tidak munasabah kerana ‘Satu Arah’ memaparkan aura komposer arwah JS Kevin (Al-fatihah) dengan formasi koding yang biasa kita dengar dalam lagu-lagu XPDC ciptaan beliau.

Kehadiran ‘Satu Arah’ ini juga memberi sisi yang lebih versatil kepada mereka kerana selama ini lebih dikenali dengan Metal 60-an dan lagu rock rakyat.

Dengan ‘Satu Arah’ menambah katalog lagu-lagu studio XPDC, para peminat sudah tentunya akan menghargai Kita Peng Yu untuk terus mara dengan keluaran karya-karya berkualiti pada masa depan serta kesinambungan legasi.

Rating: 7/10

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅