Peristiwa AngkasaJio: Sabtu Sya’aban Jadi Saksi Muzik Merentas Generasi.

oleh Boes!
367 bacaan

Satu lagi persembahan memukau telah melabuhkan tirainya pada 22 Februari yang lalu. Butterfingers, kugiran yang telah lama menambat hati peminat dengan rentak muzik unggul yang menepati citarasa tempatan, telah menggemparkan pentas sekali lagi menerusi konsert mereka yang bertajuk “Peristiwa AngkasaJio”.

Poster Rasmi.

Bertempat di JioSpace, Petaling Jaya, konsert ini mendapat sambutan hangat dengan tiket yang habis dijual. Lebih seribu peminat telah meluangkan malam Sabtu Sya’aban terakhir mereka untuk berdamai dengan jiwa, menghayati alunan suara dan getaran muzik yang mengusik kalbu, lalu pulang dengan hati yang gembira (termasuklah penulis sendiri).

Para penyokong dan pendukung kumpulan ini telah membanjiri kawasan konsert dengan memakai t-shirt bercorakkan nama Butterfingers dan album-album mereka sejak petang lagi. Malah, ada yang tiba seawal jam 2 petang untuk merasai pengalaman eksklusif menyaksikan kugiran ini melakukan soundcheck, satu slot yang digelar sebagai “Pintu Istimewa di AngkasaJio”. Mereka yang bertuah ini semestinya merasai pengalaman yang istimewa sebanyak dua kali pada hari yang sama.

Acara dimulakan sekitar jam 8.30 malam, dengan alunan bunyi seperti berada di awang-awangan sebelum mereka secara rasmi membuka gelanggang dengan dendangan “Ngilu” dan “Cuai”, yang dipetik daripada album Selamat Tinggal Dunia. Pembukaan yang menyentuh perasaan dan membangkitkan nostalgia ini menampilkan dua trek agung yang dipersembahkan dengan latar belakang klip lama kumpulan ini ketika merakamkan album.

Perjalanan konsert diteruskan dengan lagu-lagu seperti “Selamat Tinggal Dunia”, “Lengkap Semula” dan “Taman Tasik Perdana”. Pada ketika ini, seluruh dewan kedengaran semakin kuat menyanyi dan berhibur bersama, terutamanya apabila lagu “Taman Tasik Perdana” berkumandang. Tua muda, miskin kaya—semua menyanyikan lagu tersebut bersama-sama. Pentas kemudiannya digelapkan dan diselang-selikan dengan slot intermisi pertama, iaitu tayangan klip filem-filem lama Malaya dari era 50-an.

Menyala. Kredit: @amrulazuar

Kembali ke sesi kedua, dewan bertukar menjadi merah menyala, meraikan lagu “Joget Global” yang merupakan salah satu lagu pilihan pendengar. Ini disusuli dengan lagu-lagu seperti “Kabus Ribut”, “1000 Tahun (Mahu Hidup)” dan “Tentang-Tentang” yang pernah menjadi siulan peminat muzik underground suatu ketika dahulu. Walaupun dua dekad telah berlalu, lagu-lagu ini tetap segar di ingatan sanubari.

Pentas bertukar watak dan tiba masanya untuk penonton dihiburkan dengan seleksi lagu daripada album Inggeris terawal mereka. Emmett berkata sambil menukar gitar akustik kepada elektrik, “Malam baru bermula,” dan ya, suasana bertambah rancak dengan dendangan lagu-lagu seperti “Girl Friday”, “Faculties of The Mind”, “Still River”, “Delerium” dan kegemaran ramai, “Chrome”. Pada saat inilah kita dapat melihat “grunge dad” melepaskan gian melakukan mosh dan menyanyi bersama. Inilah mantera mereka untuk kembali muda walaupun seketika!

Bergaya! Sumber: @hazhambaha

Acara memasuki fasa kemuncak dengan lagu “Ruin by the Selling Out” bergema. Lagu yang penuh emosi ini menjadi antara lagu terakhir yang dipersembahkan sebelum mereka menghadiahkan dua lagi lagu yang melengkapi perjalanan konsert malam itu—”The Chemistry Between Us” dan “Moksha”. Dengan dendangan dua lagu ini, maka lengkaplah konsert ini secara lahiriah dan zahiriah. Mana mungkin mereka tidak menyanyikan lagu yang menjadi rujukan anak muda tentang genre grunge di Malaysia.

Pengakhiran yang epik. Sumber: @butterfingers

Sejujurnya, ini merupakan kali pertama penulis menghadiri konsert Butterfingers sepanjang hidup. Sebelum ini, saya hanya mampu melihat persembahan mereka melalui rakaman peribadi yang dimuat naik di media sosial atau mendengar cerita pengalaman daripada rakan terdekat.

Secara peribadi, menyaksikan konsert ini secara langsung di depan mata, penulis dapat katakan bahawa “Peristiwa AngkasaJio” ini menyajikan satu kembara muzik yang sarat dengan emosi dan elemen yang mendidik jiwa secara tidak langsung. Slot intermisi bukan sahaja diisi dengan klip filem-filem lama, malah disuntik dengan ucapan keramat Seniman Agung kita berkenaan keteguhan hati terhadap muzik dan agama.

Meskipun ada yang berpendapat bahawa pembinaan momentum pada malam itu agak perlahan dan terdapat ketidakpuasan hati berkenaan setlist lagu, konsert ini boleh dianggap sebagai salah satu konsert yang berjaya mereka persembahkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini (rujuk: Stadium Malawati, pra-COVID). Susunan lagu, audio, visual, semuanya saling melengkapi dan memberi impak. Syabas kepada Butterfingers dan semua yang menjayakan konsert tersebut.

Kesimpulannya, walaupun masa berlalu, gelanggang futsal diambil alih oleh sukan pickleball dan AJL semakin tidak relevan dengan penguasaan minda oleh vokal tinggi yang menjadi juara, Butterfingers, walaupun telah melepasi zaman kegemilangan mereka lebih 20 tahun yang lalu, muzik mereka tetap menjadi rujukan untuk semua lapisan generasi. Abuya skibidi-bidi? “Selamat Tinggal Dunia” kekal menjadi inspirasi di hati!

Grunge sampai mati!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅