Gig Rakyat Jelata (JB) – Jangan Main Sentimen, Mainlah Instrumen

oleh Rafidah Rosman
969 bacaan

Sebelum ke Gig Rakyat Jelata di Rooftop City Plaza Johor Bahru (JB) pada 26 Ogos 2023, penulis sempat mendengar podcast Rakita.my bersama orang kuat di sebalik tabir acara ini, Amiruddin Karim dan salah satu band yang terlibat, Banyak Bunyik Republik. Banyak isu menarik yang dibincangkan di dalam podcast ini. Antaranya:

  1. Gig Rakyat Jelata menolak sentimen dan dikotomi Indie dan Mainstream.
  2. Bagaimana gig ingin menarik perhatian golongan muda jika peminat line-up terdiri daripada golongan berusia.
  3. Visi band orang muda untuk kekal lama dan bayangan 20 tahun akan datang.
  4. Gig adalah tempat peminat muzik, bukan peminat Indie atau Mainstream.
  5. Pelbagai genre digabungkan di atas satu pentas.
  6. Crowd yang datang perlu berubah untuk tidak memilih band yang ingin ditonton sahaja.

Penulis hadir ke gelanggang acara anjuran CD Bagasi Music dengan sokongan My Creatives Ventures, Kementerian Komunikasi Digital ini dengan satu pemikiran yang sedikit berbeza untuk mencari jawapan kepada isu-isu yang diutarakan di dalam podcast tersebut. Bagaikan ada satu tanggungjawab untuk menyampaikan ulasan yang sedikit berat dan mungkin menjadi titik perubahan untuk peminat-peminat muzik Indie dan Mainstream.

Hujan renyai membasahi bandar JB namun acara tetap perlu diteruskan. Pentas dimulakan pada 5.50 petang dengan Terang Bulan, band tempatan dari Johor. Terang Bulan bukanlah satu band yang asing bagi peminat scene Indie di JB. Band ini mengetengahkan irama tradisional keroncong dan aktif membuat persembahan di sekitar JB. Persembahan dimulakan dengan single mereka yang berjudul Lahad, diikuti dengan lagu cover  Keroncong Kuala Lumpur, Halangan dan diakhiri dengan lagu kegemaran peminat keroncong iaitu Keroncong Kemayoran. Yang paling menarik perhatian ialah apabila lagu Shin Chan dikeroncongkan. Comel!

@fidaraha

Keroncong lagu Sinchan! By Terang Bulan. gigrakyatjelata gigrakyatjelatajb

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

@fidaraha

Keroncong Kemayoran by Terang Bulan. gigrakyatjelata gigrakyatjelatajb

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

Pentas bertukar tangan kepada band muda dan segar, Banyak Bunyik Republik (BBR). Seperti namanya, BBR tidak statik dengan satu genre sahaja. Dengan 14 ahli yang bermain pelbagai instrumen membuatkan penonton terpaku dengan seni kreatif yang dipersembahkan. Penonton dihidangkan dengan alunan muzik Fusion, gabungan World Music, Funk, Ska, Blues, Rap, Jazz, Tradisional dan pelbagai genre lagi. Ini merupakan pertama kali penulis menonton persembahan mereka dan bagi penulis mereka membawa satu konsep rojak yang enak! Persembahan selama lebih kurang setengah jam seakan terasa berlalu terlalu pantas kerana asyik menikmati muzik yang ‘banyak bunyi’ daripada BBR ini.

 

@fidaraha

Layan doh Banyak Bunyik Republik ni. #gigrakyatjelata #gigrakyatjelatajb

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

@fidaraha

Okeh done follow kat Spotify! Congrats Banyak Bunyik Republik. Betul2 punya banyakkkk bunyik ni! #gigrakyatjelata #gigrakyatjelatajb

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

Pentas diteruskan selepas Maghrib dengan Sabda Alam pada jam 7.40 malam. Walaupun penulis agak keliru dengan genre yang diketengahkan, tetapi Sabda Alam tidak mengecewakan. Penulis merasakan Sabda Alam membawakan genre Rock melalui pengetahuan muzik penulis yang tidak seberapa ini. Persembahan yang diberikan menepati selera sesiapa sahaja yang menikmatinya. Sabda Alam boleh melangkah lebih jauh dalam industri ini kerana kualiti lagu yang didendangkan tidak membosankan.

@fidaraha

Sabda Alam. Bole tahan sedap nih. #gigrakyatjelata #gigrakyatjelatajb

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

Pentas dihangatkan lagi dengan Zip Zieller, band yang telah agak lama bertapak dalam arena muzik underground. Aksi yang diberikan cukup padu dan bertenaga. Penonton semakin memenuhi ruang hadapan pentas semasa Zip Zieller membuat persembahan. Aura yang dibawa oleh mereka menarik minat penonton untuk meninggalkan kerusi yang telah hangat sejak petang tadi dan bersama-sama menghangatkan gelanggang Gig Rakyat Jelata pula.

@fidaraha

Zip Zieller #gigrakyatjelata #gigrakyatjelatajb

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

Persembahan kemudian bertukar tangan kepada Pretty Ugly, band yang tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia. Mereka mendendangkan lagu-lagu siulan semasa era mainstream mereka seperti Diari Seorang Lelaki, Jika Diberikan Ku Satu Peluang, En Ronald Moore Dan CD Bagasi Honey. Selain itu, lagu-lagu lain yang turut dipersembahka termasuklah Bintang, Superstar, Kelab Jiwa Muzik, 5300, Bunuh Kisah Lalumu dan Francis Ford Copolla. Penguasaan pentas Pretty Ugly tidak dapat dinafikan lagi, masih padu seperti suatu ketika dahulu, ditambah manis dengan kehadiran drummer yang sentiasa kelihatan di mana-mana band iaitu Bakri Ismail, mengiringi muzik mantap Pretty Ugly. Penulis tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama berada di barisan hadapan menikmati halwa telinga yang mengasyikkan daripada formasi ini.

@fidaraha

Jika diberikan ku satu peluang by Pretty Ugly. #gigrakyatjelata #gigrakyatjelatajb

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

@fidaraha

CD Bagasi Honey by Pretty Ugly. Aku suka gile lagu ni. Sebab lirik dia. Takde maksud langsung. Bukan ayat tapi perkataan. Ngam pulak tu. #gigrakyatjelata #gigrakyatjelatajb

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

Sebagai penutup acara, Gig Rakyat Jelata menampilkan Plague Of Happiness sebagai headline dan penambah perasa pelbagai genre yang disajikan di dalam acara ini. Membawa genre Ska Punk, Plague Of Happiness boleh dikatakan menjadi daya penarik di kebanyakan acara-acara besar pada tahun 2023 ini di seluruh Malaysia. Nama besar dalam dunia muzik bawah tanah ini juga semakin mendapat tempat di hati pengikut Gen Z dengan kemunculan album terbaru mereka, Dominion dan lagu hits terbaru mereka Berbisik yang menjadi siulan peminat-peminat band ini, ditambah rapi dengan gerakan Tour Dominion yang masih dijadualkan sepanjang tahun 2023. Begitu mudah Plague of Happiness memasakkan lagu-lagu terbaru mereka di minda pengikutnya melalui pelbagai acara yang mereka turut serta. Hampir semua lagu yang dipersembahkan menjadi lagu sing-a-long dan berdanska di gelanggang Gig Rakyat Jelata. Lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam ini termasuklah Kawan, Matahari, Dominion, Sorrow, Everything, Rebel Youth, Ombak, Blitzkrieg Society, Bintang, Malam, Berbisik, Konspirasi, Viva La Punk dan Masa.

@fidaraha

Ombak. Plague of Happiness. #gigrakyatjelata #gigrakyatjelatajb #plagueofhappiness

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

@fidaraha

Berbisik. Plague of Happiness Menyapa enak roma irama ku. #gigrakyatjelata #gigrakyatjelatajb #plagueofhappiness

♬ original sound – fidaraha – fidaraha

CD Bagasi Music yang menjadi tulang belakang kepada Gig Rakyat Jelata ini membuktikan ia adalah satu acara yang didahagakan oleh peminat-peminat muzik, lebih-lebih lagi di selatan Malaysia. Ketandusan acara berkualiti seperti ini yang menampilkan pelbagai genre di atas satu pentas yang sama dan mengumpulkan band baru dan lama yang juga pernah mengecap nama dalam industri Mainstream dan Indie haruslah diberi sokongan.

Band-band baru juga tidak kurang hebatnya untuk diketengahkan dan menjadi highlight di dalam acara-acara besar dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang. Peminat-peminat muzik harus mengubah sikap terlalu memilih band untuk ditonton dan perlu memberi peluang kepada band-band baru ini untuk membuktikan kebolehan mereka dengan memberi sokongan kepada mereka sejak dari awal sepak mula acara lagi.

Jumlah kehadiran penonton bukanlah satu kayu ukur kemenjadian sesebuah acara. Kehadiran peminat muzik ke acara ini cukup memberangsangkan namun dengan adanya acara-acara percuma di sekitar JB pada tarikh yang lebih kurang sama juga menyebabkan kehadiran peminat-peminat muzik menjadi terbias ke acara-acara lain. Acara-acara berbayar yang hebat-hebat juga silih berganti sejak baru-baru ini menyebabkan peminat muzik harus memilih. Mungkin kewangan juga menjadi faktor yang menyumbang bukan sahaja kepada Gig Rakyat Jelata, malah di acara-acara lain juga.

Sikap peminat muzik di JB yang gemar berfikir terlalu lama untuk membuat keputusan dan menunggu hingga saat-saat akhir untuk membeli tiket sebagai tanda memberi sokongan kepada mana-mana acara juga menjadi faktor terbesar penganjur luar berfikir panjang untuk menganjurkan apa-apa acara di bandar JB ini. Ini adalah satu fenomena yang kurang sihat kerana umum mengetahui Johor merupakan sebuah negeri yang melahirkan ramai pemuzik tersohor dalam industri muzik Mainstream dan Indie. Warga JB haruslah lebih cergas dan pantas memberi sokongan kepada acara-acara yang dianjurkan pada masa akan datang.

Namun, secara peribadinya, penulis berpendapat, Gig Rakyat Jelata ini adalah satu acara yang cemerlang. Cemerlang dari segi susun atur persembahannya, pemilihan genre yang pelbagai, penampilan band baru dan lama, Indie dan Mainstream, harga tiket yang marhaen dan lokasi yang mengimbau zaman-zaman kebangkitan gig pada awal tahun 2000 dahulu. Syabas diucapkan kepada penganjur Gig Rakyat Jelata. Segala persoalan di minda penulis pada awal menjejakkan kaki di gelanggang acara ini terjawab sudah. Besar harapan penulis untuk melihat JB menjadi pusat penganjuran festival besar atau konsert international pada masa akan datang.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅