Kebanyakan band pada hari ini aku lihat semakin berani dalam berkarya dan mereka cuba menampilkan sesuatu yang berbeza untuk setiap produk. Bukan itu sahaja, mereka turut menggabungkan bakat, teknologi mutakhir dan inovasi eksperimental dalam menghasilkan album berkualiti tinggi. Melalui produksi teliti dan kolaborasi mantap, mereka menghasilkan muzik yang memukau dan beragam dalam genre yang memikat pendengar lokal dan global.
Salah satu contoh yang aku lihat ialah The Alif di mana mereka telah kembali sekali gus melancarkan album pertama berjudul Menakluk Jagatraya. Lama juga unit ini mendiamkan diri tanpa material kerana sebelum ini The Alif hanya sempat mengeluarkan beberapa single sejak penubuhan mereka.
Selepas pertukaran anggota bersilih ganti, The Alif kini dibarisi oleh King (Vokalis), Ijoy (Bass & Keyboard) Shah Chacha (Drum) dan Jay Cugat (Gitar). Mereka menamakan album sulung ini Menakluk Jagatraya, di mana Jagatraya membawa maksud seluruh dunia sempena misi mereka untuk menakluk telinga pendengar sekalian alam untuk mendengar dan mencintai hasil titik peluh mereka.
Untuk konsep album, kami masih mengekalkan muzik rock dan britpop seperti lagu-lagu kami sebelum ini, tapi kami telah membuat sedikit penambaikan dari segi bunyi dan sedikit suntiken moden untuk kekal relevan dan segar di telinga pendengar muzik. Untuk album pertama ni, kita nampak ini adalah kombinasi muzik indie dan arus perdana sebab aku nak album ni boleh sesuaikan diri dengan semua aspek muzik dan aspek pendengar. – King
Menakluk Jagatraya imulakan dengan 1.52, sebuah trek rock & roll yang menceritakan tentang perjuangan dan menyeru kembali kepada jalan asal. Vokal bersahaja King kali ini aku ter-flash back tanpa sengaja di zaman band Oasis mencanak naik. Permainan gitar Jay menarik diri aku supaya terus mendengar hingga ke akhir trek.
Trek kedua, Radio menampilkan Alyph membawa momentum yang sama dari trek pertama dan di sini aku melihat keikhlasan band ini menghargai radio kerana memainkan lagu mereka. Kemunculan Alyph di pertengahan lagu juga memberi dimesi baharu kepada The Alif yang kita kenali sebelum ini.
Masa di trek ketiga diilhamkan daripada surah Al Asr. Apa yang membuatkan aku tertarik dengan trek ini adalah penyampaian vokal King yang mengingatkan aku kepada Oasis dan susunan lagu yang catchy sehingga terlupa ada lagi trek yang kena dengar. Masuk ke lagu Ratna, terus mood aku bertukar daripada gembira kepada sedih kerana isi lagu yang mengisahkan cinta tidak kesampaian. Kalau kau dengar trek ni ketika sedang berada di pantai Port Dickson bersama kopi o panas memang syahdu. Yang kurang ajar di trek ini adalah mereka menggantung lagu di penghujung. Memang jahat trek ni.
Trek seterusnya, Lara 1992. Permulaan solo gitar Jay membuat aku terngiang-ngiang dengan magis yang terhasil. Ketika mendengar trek ini, aku boleh merasakan mesej yang The Alif ingin sampaikan dan membuatkan aku tertanya apa pengakhiran trek ini di penghujung. Cuma aku berpendapat kalau trek ini dijadikan OST drama cinta, memang jadi sebuah cerita yang unik. Album kemudiannya diteruskan dengan Dalam Kenangan, sebuah trek yang mungkin mengoyakkan jiwa kalian yang merindui kawan-kawan. Aku merasakan trek ini agak istimewa untuk The Alif dan mungkin ini trek terbaik mereka selepas Ratna.
Selekta Menakluk Jagatraya disambung dengan trek Tidurlah. Trek yang pendek namun cukup memberi nafas buat pendengar untuk bertenang seketika sebelum ke trek terakhir iaitu Negaraku Malaysia, trek patriotik dan paling moden daripada mereka. Aku merasakan trek ni patut dimainkan di setiap sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kerana kesegarannya selain mampu menyuntik kembali semangat cintakan negara yang kian pudar.
Keseluruhannya, aku merasakan The Alif kini sudah bersedia untuk menembusi pasaran arus perdana kerana mereka telah lengkap pakej bukan sekadar imej namun kesemuanya mempunyai bakat tersendiri dalam bermuzik. Buat para penganjur dan produser televisyen, The Alif merupakan pilihan terbaik untuk festival dan lagu-lagu mereka sangat sesuai dijadikan OST drama. Aku juga berharap mereka terus aktif dan mengeluarkan lebih banyak lagu di masa hadapan.
Tahniah The Alif. Semoga kalian terus maju dan jangan mengalah dalam bermuzik. Ingatlah bahawa peminat datang dan pergi, muzik sentiasa berevolusi.
Ikuti The Alif di: