Impian kumpulan Echoless untuk meluncur album penuh sulung akhirnya tercapai setelah berhempas pulas menghasilkan empat single sendiri sebelum ini. Istimewanya, album yang diluncur pada 10 Disember lalu itu menggunakan nama kumpulan itu sendiri dalam judulnya. Perkataan Echo dimasukkan dalam judul album For The Echo-Hearted dengan harapan bahawa album yang mereka cipta bakal bergema di setiap sudut ruang hati para pendengar.
Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2019 ini bermula apabila vokalis utama, Paan menulis lagu sendiri yang berjudul On My Own. Dari situ, Paan memutuskan untuk bersatu semula dengan Brennen (vokalis kedua & piano) dan Arif (vokalis ketiga & gitar utama) yang merupakan ahli kumpulan lamanya iaitu Green Banana. Akhirnya, mereka bersepakat untuk menamakan semula kumpulan mereka dengan nama Echoless. Akhir sekali, mereka mengajak Faiz (gitar), Akmal (bass) dan Amirul Ismail (drum) untuk turut bersama mereka.
Echoless jelas amat teruja apabila akhirnya dapat menyajikan album penuh mereka kepada pendengar di luar sana. Apalagi, selama ini pun mereka tidak pernah berhenti mencuba untuk menghasilkan karya berkualiti dan semestinya akan menghidangkan lebih banyak lagi lagu-lagu segar kepada peminat.
Kumpulan terbabit mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan album For The Echo-Hearted, tambahan lagi dengan pandemik dan PKP yang telah melanda. Walau apapun, mereka semua melihat perkara tersebut sebagai cabaran positif dalam usaha menyiapkan karya dengan hasil usaha sendiri.
Menurut Paan, “Setelah hadir dengan empat single sebagai pengenalan serta cover lagu-lagu popular seperti Pulang dan Kotak Hati, tiba masanya kami mengeluarkan album hasil usaha kami.”
Menurut Brennen pula, “Kami memutuskan untuk mempelbagaikan genre dalam 14 lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan. Terdapat beberapa lagu baharu yang belum pernah diperdengarkan, turut dimuatkan. Selain itu, ada juga lagu-lagu lama yang telah diperbaiki dari sudut susunan lirik, bunyi dan susunan muzik.”
“Peminat semestinya dapat mengesan ada sedikit perubahan dari segi hala tuju muzik kerana pelbagai genre yang dicampur-aduk dalam satu album. Bagaimanapun, kami tetap mencuba sebaik mungkin untuk tidak lari jauh dari segi identiti asal muzik kumpulan Echoless.”
Meskipun memuatkan 14 buah lagu, Echoless turut mengakui yang mereka sebenarnya tidak puas dan berhajat untuk menambah beberapa lagu lagi. Bagaimanapun, akhirnya mereka memutuskan untuk membawa lagu-lagu itu ke projek album seterusnya dan mungkin single akan datang.
Tidak mahu nampak ketinggalan, mereka semestinya menyertakan bersama beberapa lagu berkisar percintaan yang dekat dengan jiwa remaja. Bagaimanapun, mereka juga menggunakan pendekatan yang lebih tragis di mana kisah percintaan tersebut mengenai pasangan yang terpisah tanpa rela dan diolah dalam lirik lagu berjudul Hanyut.
Hanyut adalah sebuah lagu yang diilhamkan daripada sebuah filem Indonesia, Tenggelamnya Kapal van der Wijck. Pasti kedengaran sangat rawak untuk sebuah kumpulan muzik mengambil cerita dari filem. Namun, kisah penceritaan di dalam filem tersebut telah memberi kesan kepada vokalis mereka untuk menulis lagu tersebut yang berkisarkan keretakan hubungan sebuah pasangan yang bertukar hati setelah berpisah pada tempoh yang lama.
“Hurt pula adalah kesinambungan terhadap lagu Am I In The Right Mind. Ia mengenai pelbagai persoalan yang menguasai fikiran dari semasa ke semasa.” – Paan
Sebagaimana mereka mencuba untuk menyalurkan emosi sebaiknya di dalam lagu dan elemen sentimental dalam setiap lirik dan bunyi muzik, Echoless berharap album sulung ini mampu menyentuh hati pendengar juga. Bagi mereka, itu sudah cukup bermakna buat mereka sekumpulan.
“Kami hanya cuma mahukan pendengar bertemu cara tersendiri dalam menyalurkan emosi yang cukup mendalam apabila mendengar semua lagu dari album sulung ini. Ia dihasilkan dengan kerja keras untuk memberi peluang kepada pendengar meneroka diri mereka, selain mengenali diri kami sebagai sebuah kumpulan muzik yang baru,” kata Arif menambah sebelum temubual bersama penulis tamat.
Setakat ini, tiada album fizikal yang dikeluarkan oleh mereka. Namun, mereka ada membuat perancangan untuk mengeluarkan album fizikal apabila tiba masanya nanti. Selain di aplikasi digital Spotify, Album For The Echo-Hearted turut boleh dinikmati di Apple Music dan YouTube. Mereka juga mempunyai perancangan untuk membuat persembahan di mana-mana pentas pada masa akan datang.
Dari kaca mata dan telinga penulis setelah diamati dari kesemua lagu dalam album kumpulan Echoless, ia sedikit sebanyak bergenre Alternative Rock. Satu permulaan yang boleh dipuji kerana kebanyakan lagu adalah mesra pendengar dan mudah untuk dihadam. Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki oleh kumpulan ini seperti proses penjenamaan kumpulan dan tempoh pengenalan lagu utama dari album itu sebelum album penuh diluncurkan. Penjenamaan yang kuat sudah pasti membantu dalam mempromosi album utama untuk dipasarkan.
Apa-apa pun, tahniah diucapkan kepada Echoless di atas kerja keras mereka yang berani mecuba sehingga kini dan teruskan berkarya serta membikin lagu-lagu yang lebih berjiwa muda dan mempunyai identiti sendiri. Mereka turut berjanji untuk terus mengeluarkan beberapa lagi material dan MV selepas ini. Sama-sama kita nantikan.
Ikuti Echoless di: