Oleh : ZAINLRR
Dalam rangka jelajah ‘Far East Tour 2023,’ tiga lokasi di Malaysia menjadi pilihan Jenny Don’t and The Spurs. Bermula di Rumah Api, Kuala Lumpur, Jenny dan Spursnya meneruskan Jelajah ke Kuantan pada Selasa 14 November lepas.
Membawakan irama country di Malaysia bukan satu masalah besar untuk mencari peminatnya. Rakyat negara ini telah terdidik awal dengan kehadiran penyanyi atau kumpulan folk yang majoriti lagu mereka berentak Cowboy seperti ini. Nama-nama besar seperti Kembara, Sohaimi Mior Hassan malah sebesar Iwan Fals sendiri menyajikan lagu-lagu hits mereka dalam rentak country seperti Ekspress Rakyat, Bila Isteriku Tertawa dan Guru Oemar Bakri menjadi siulan pendengar tempatan sejak dulu lagi.
Penemuan kugiran ini di Portland Oregon pada tahun 2012 oleh Jenny dan Kelly membuahkan hasil dengan lebih 500 siri persembahan dan terlalu banyak negara dalam siri jelajah kugiran mereka. Bermula dengan kumpulan DON’T, Jenny mula berkolaborasi bersama Kelly yang sangat dikenali dalam band punk DEFIANCE. Ketika awal dikenalkan dengan kugiran ini, penulis amat teruja kerana bunyian mereka sangat lari berbanding bunyi kugiran country tipikal. Sound bawaan mereka sangat kasar seperti band garage malah lagu mereka juga rancak ala rockabilly. Mereka juga banyak menerapkan bunyi-bunyi surf dalam lagu-lagu ciptaan mereka. Setelah puas dengan arena street rock, mereka kembali dengan muzik akar mereka yang dipengaruhi senior muzik country yang agak nakal seperti Patsy Cline, Loretta Lynn, Ernest Tubb dan Hank Sr.
Setelah sedekad berlalu, mereka kini hadir ke Kuantan untuk beraksi secara langsung di Warung Adri selepas membuat persembahan di Rumah Api hari sebelumnya. Penulis tak sangka persembahan mereka pada malam itu dihadiri majoritinya oleh anak muda berbanding pendengar senior. Nampaknya muzik country masih belum hilang peminat di era baharu ini. Pentas dihangatkan oleh sebuah band blues rock lokal, FREE TRADE TONE sebagai pemanas panggung pada malam itu. Pengunjung menceriakan lagi persembahan mereka dengan berpakaian ala cowboy lagaknya seperti John Wayne.
Walaupun gigs yang dijalankan dalam skala kecil, Jenny Don’t And the Spurs tetap memberi persembahan yang terbaik buat peminat mereka. Kualiti permainan dan bunyi walaupun dengan set ringkas tetap menghasilkan bunyian padu buat pendengar. Penulis bukan hendak memuji sangat mat saleh, tapi ini adalah perkara positif yang agak ketara bila kugiran-kugiran luar membuat persembahan di negara kita.
Jenny ada kongsikan komentar beliau secara peribadi di mana dalam rangka jelajah ini, mereka agak terkejut dengan sambutan pengunjung di Kuantan. Ini show mereka paling meriah di mana selain ramai yang berbusana western, crowd juga tak segan silu menari mengiringi persembahan mereka. Dari sumber yang boleh dipercayai, peminat-peminat Jenny Don’t And The Spurs di Kuantan giat berlatih tarian cowboy dan rockabilly seminggu awal sebelum hari persembahan mereka. Memeriahkan lagi majlis ini bukan sekadar peminat lagu country yang hadir, penulis juga tersua rakan-rakan Mat Blues dan Mat folk Kuantan turut sama melayani aksi-aksi western kugiran dari Oregon ini.
Muzik country tetap tak hilang dari Bandar Kuantan yang terkenal dengan pekan El Doradonya di Sungai Lembing. Walaupun sudah mengecapi taraf bandaraya, warga Kuantan tidak perlu maju seperti bandaraya metropolis lain kerana jiwa blues di hati setiap warganya terlalu kuat!
*Penulis merupakan seorang peminat jenama Wrangler berbanding Levis dan bercita-cita ingin menjadi Badut Rodeo apabila bersara kelak!