Band kesukaan ramai, Foo Fighters telah mengeluarkan album studio terbaru ke-10 iaitu ‘Medicine At Midnight‘ pada 5 Februari lepas yang menjadi buah tangan legasi Grunge bagi tahun 2021. Membariskan 9 lagu yang masih mengekalkan identiti Alternative rock & roll moden bawaan mereka.
Sekilas dengar, bagi mereka yang sentiasa peka pasti dapat menyedari bahawa keseluruhan album itu sangat simbolik dan penuh dengan pengaruh kumpulan The Beatles, terutama era psychedelic lewat 60-an pasca-Sgt Pepper.
Ia bukanlah album terbaik tetapi tetap menjadi tambahan yang solid dalam katalog rekod mereka. Kebanyakan media hiburan antarabangsa memberi reviu yang positif walaupun kita mungkin tidak akan dapat mendengar karya baharu mereka yang sehebat ‘Everlong‘ lagi.
Daripada lagu pembuka ‘Making A Fire’ hingga pop ranum ‘Chasing Bird’ dan trek terakhir ‘Love Dies Young’, aura Beatles jelas kedengaran di sana sini.
Dalam lagu ‘Waiting On A War‘ yang juga satu antem anti-perang (juga lagu terbaik album ini) misalnya, ia mimik kepada kombinasi lagu Beatles ‘Let Me Be‘ dan ‘Hey Jude‘ manakala intro lagu trek ke-3 ‘Cloudspotter‘ benar-benar terhasil seperti lagu ‘Come Together‘ versi era milenial.
Perkara ini bukan mengejutkan kerana vokalis/gitaris Dave Grohl memang merupakan peminat tegar The Beatles sejak kecil dan ia telah memberi pengaruh besar kepada beliau. Sejak album pertama (gambar pistol), telah terserlah ke-Beatles-an mereka seperti lagu ‘Big Me’, ‘Weenie-Beenie’ dan ‘For All The Cows’.
Dalam satu temubual sempena ulangtahun ke-50 album Beatles ‘Abbey Road’ dengan radio BBC sekitar 2019, Dave menjelaskan mengapa The Beatles sangat dekat di hatinya dan telah menyenaraikan antara 5 lagu The Beatles kegemaran yang sentiasa memberi impak kepada kerjaya seninya:
1) ‘Hey Jude‘ (1968) – Dave mengimbas saat-saat pertama kali mendengar dan terus dibuai kemeriahan dengan lagu ini ketika lepak tidur di rumah kawan semasa usia 5 tahun. ‘Hey Jude’ juga adalah lagu Beatles pertama yang didengar oleh Dave.
2) ‘Hey Bulldog‘ (Yellow Submarine / 1969) – Lagu yang dianggap Dave sebagai antem Rock & Roll yang menampakkan ‘taring’ sebenar The Beatles.
3) ‘I Want You (She’s So Heavy)‘ (Abbey Road / 1969)- Lagu Beatles yang menurut Dave, mempunyai riff yang lebih berat daripada Black Sabbath dan Motorhead sendiri! Cuba cari dan dengarkan….
4) ‘Something‘ (Abbey Road / 1969) – Dikatakan lagu terbaik ciptaan George Harrison, Dave sangat mengagumi George yang dikatakan mempunyai daya penciptaan melodi tersendiri setanding John (Lennon) dan Paul (McCartney).
5) ‘In My Life‘ (Rubber Soul / 1965) – Lagu ini sangat istimewa kepada Dave kerana menurutnya, ia adalah lagu yang diperdengarkan semasa upacara pengkebumian rakan ikon Grunge-nya semasa Nirvana, Kurt Cobain yang ditemui meninggal membunuh diri pada tahun 1994.
Cerita Dave tentang lagu ini:
“Hari itu, selepas semua orang memberi ucapan penghormatan terakhir kepada jasad Kurt, tetiba lagu ‘In My Life’ ni berkumandang, ia seolah-olah turut bersedih sambil meraikan minat dan kecintaan Kurt kepada Beatles…. sampai sekarang tiap kali lagu ni main, wa sedey beb sebab Kurt pun minat giler (Beatles).”
Oleh itu, tidak hairanlah aura Beatles tidak akan dapat dipisahkan daripada Foo Fighters, terutamanya Dave Grohl sendiri yang membesar, bernafas dan hidup dengan antem-antem The Beatles dan inilah sebab rekod-rekod mereka termasuk terbaru ‘Medicine At Midnight’ ini penuh dengan momen-momen pop yang membayangkan kesinambungan legasi John, Paul, Ringo dan George dalam era rock moden.
Verdik: 7/10
#ChivasAlexandria