Seketika apabila penulis mengetahui bahawa akan adanya konsert kedua biduan ulung negara yang disegani, hati berbisik kecil, mampukah konsert sekuel tersebut mengulangi kejayaan lepas? Penulis menghadiri konsert pertama dan secara peribadi, pulang dengan sedikit kecewa dek ekpektasi yang tidak mencapai kepuasan yang menginzal seperti edisi sebelumnya. Untuk mengetahui perjalanan konsert pertama bolehlah kalian klik di pautan ini ya: Konsert Dato’ M. N4sir Cipta oleh Khaliq G.
Namun selepas menghadiri konsert M.N45IR CIPTA 2 yang berlangsung pada Sabtu lepas, acara besar anjuran ICON Entertainment ini telah membuatkan penulis balik ke rumah dengan tangisan kegembiraan dan penuh kepuasan. Entertained, empowered and sophisticated. PUAS HATI GILA!
12 Oktober 2024, di kala mentari mula membenamkan diri berselindung di sebalik konkrit dan besi Kompleks Stadium Bukit Jalil, perkarangan Axiata Arena mula dibanjiri dengan hadirin yang mengikut tema denim biru dan warna putih. Walaupun cuaca ketika itu agak sedikit tidak mengizinkan, tetapi perkara ini tidak mematahkan semangat peminat yang ada di sana untuk bersedia menghayati dendangan lagu yang bakal dinyanyikan dan senarai setlistnya semestinya berbeza berbanding edisi sebelumnya.
Konsert bermula pada jam 9.00 malam dengan tayangan puisi yang belatarbelakangkan kotaraya Kuala Lumpur. Gemaan sorakan di dewan berkumandang tatkala sosok pujaan ramai mula muncul dari bawah pentas dan terus mendendangkan Pawana dan Hukum Karma. Dia, si penghibur tak leka dan tangkas menggunakan masa yang ada untuk membina momentum dalam dewan dan menghentam tiap manusia di kerusi masing-masing dengan paduan vokal yang masih bertenanga meskipun umurnya menjangkau lewat 60an.
Momentum konsert dikawal rapi dengan selingan alunan rampak gendang oleh ahli perkusi dan diteruskan dengan lagu Rajawali Terbang Tinggi dan Kias Fansuri. Kemudiannya penonton disajikan pula dengan lagu ciptaan beliau yang didendangkan oleh Kumpulan Alleycats yang membawa penonton bernostalgia. Senyumlah Kuala Lumpur dan Andainya Aku Pergi Dulu dinyanyikan dan diteruskan dengan lagu Malam dan Juwita.
Kemunculan gitaris sohor Kid dari kumpulan Search menggamatkan lagi suasana konsert tersebut. Mengiringi Sifu dalam mendendangkan lagu wajib karaoke Fantasia Bulan Madu, Isabella dan Tiara, gabungan dua sosok legenda tersebut memberikan aura yang tersendiri dan sampai kepada penonton. Satu stadium tak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama-sama. Epik!
Separuh masa kedua, lagu-lagu hits Duit-Duit, Gerhan, Peronda Jaket Biru dan Lagu Cinta Lagu Jiwa didendangkan. Tak payah disuruh pun, seisi dewan seakan selesa bernyanyi bersama dan bersahut-sahutan. Kemudian lagu Bonda pula dinyanyikan dan paparan LED yang menemani kesyahduan lagu tersebut memaparkan foto-foto para ibu yang dikirimkan oleh peminat. Dan secara peribadi, momen yang penulis teruja sekali pada malam itu adalah ketika buat petama kalinya lagu Awan Nano dendangan Hafiz dinyanyikan oleh Dato’ M. Nasir dengan cara tersendiri; lagu yang penulis tunggu-tunggu sebenarnya dari Konsert Cipta pertama. Classy and elegant.
Antara lagu yang mengisi slot kedua ini adalah Aduhai Kasih Aduhai, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Keroncong Untuk Ana dan Kenangan Lalu yang dipopularkan oleh Flybaits. Dan mendekati penghujung konsert, lagu wajib konsert beliau dinyanyikan seperti Hati Emas, Sentuhan Listrikmu, Mustika, Sahabat Gua dan Ada yang menjadi lagu terakhir untuk malam tersebut. Dan siapa sangka, untuk segmen Encore untuk malam tersebut, seisi dewan disajikan dengan lagu Satu Hari Di Hari Raya oleh penghibur tersebut. Satu dewan ‘menyambut’ raya awal dan mendapat ‘durian runtuh’ ang pow berisi satu ringgit yang dilepaskann dari bumbung Axiata. Dikhabarkan RM 10,000 telah ditaburkan pada malam tersebut! Beruntunglah kepada pengunjung yang dapat mengutip lebih dari 10 keping ang pow pada malam itu!
Secara amnya, kekecewaan penulis tertebus dengan kejaayaan konsert Cipta 2 ini. Dari segi momentum, ekspektasi dan perjalanan lagu dan teknikal konsert ditambah baik dari konsert sebelumnya dan disusun secara teliti bagi menjamin kepuasan pengunjung. Contohnya, penganjur sudah pun menyenaraikan lagu yang akan didendangkan pada malam tersebut, untuk buat rujukan peminat lain pula untuk konsert sebelumnya yang tidak semua senarai lagu panjang yang ditunjukkan dinyanyikan pada malam tersebut.
Penggunaan LED pada konsert ini juga digunakan secara maksima, yang menjerumus kepada kemeriahan konsert. Setiap lagu ditunjukkan lirik agar seisi dewan dapat menyanyikannya sekali. Dan 32 lagu yang didendangkan ini dapat dihabiskan dengan masa yang setimpal dan tidak overrun. Malam itu, penulis hanya leka mendengar kesemua lagu yang dinyanyikan dari awal sehingga akhir dengan kurang melihat jam di tangan.
Apapun, syabas buat penganjur Iman Tang dan ICON Entertainment atas kejaayaan konsert Dato’ M.N45ir CIPTA 2. Dan sekalung penghargaan juga kepada barisan pemuzik diketuai oleh Aznan Alias yang berjaya menjadikan konsert malam itu satu magis dan kenangan yang tak boleh dilupakan buat penulis. Jumpa lagi nanti untuk konsert CIPTA edisi ketiga nanti!