MENGENALI KING GIZZARD AND THE LIZARD WIZARD

oleh Rahmat Mohd Did
1.6K bacaan

MENGENALI KING GIZZARD AND THE LIZARD WIZARD DALAM FILEM KEMBARA MUZIKAL YANG DICELUP KE DALAM TURPENTIN; CHUNKY SHRAPNEL

15 album dalam masa 10 tahun; lima daripadanya pada tahun 2017, permainan video sendiri, lapan konsert sold out di satu venue dengan senarai main berbeza setiap hari, King Gizzard & The Lizard Wizard (KGATW) adalah band rock paling prolifik zaman kini.

Formasi tujuh orang sahabat dengan paduan tiga gitar dan dua dram dari Melbourne, Australia ini merupakan revolusioner yang tidak pernah duduk selesa di satu takuk dan sentiasa memberikan kejutan baharu kepada peminat-peminat mereka yang digelar ‘Gizzhead’ sehingga mewujudkan lagenda ‘Gizzverse’ di mana semua material mereka sejak album Nonagon Infinity (2016) dikatakan berkait dalam satu jagat yang sama.

Dikepalai oleh sang genius eksentrik Stu Mackenzie (vokal/ gitar/ keyboards/ flute), KGATLW turut dikuasakan oleh Ambrose Kenny-Smith (vokal/ harmonica/ keyboards), Cook Craig (gitar/ bass/ vokal), Joey Walker (gitar/ bass/ keyboards/ vokal), Lucas Skinner (bass/ keyboards), Michael Cavanagh (dram/ perkusi) dan Eric Moore (dram/ perkusi).

Kugiran yang sentiasa bereksperimentasi dengan genre dan konsep muzikal ini baru sahaja mengeluarkan album kelima belas dan paling ‘berat’ dalam katalog mereka, Infest the Rats’ Nest tahun lepas dan dijadual mengadakan konsert marathon tiga jam untuk dua malam dengan senarai main berbeza di AS namun terpaksa ditunda akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, KGATLW masih punya senjata rahsia lain untuk Gizzhead sekalian alam. Filem dokumentari muzik pertama mereka, Chunky Shrapnel telah dirilis pada 18 April lepas di platform digital, Vimeo dengan kaedah sewaan 24 jam.

Filem yang diarahkan oleh kawan baik mereka, John Angus Stewart tersebut sepatutnya ditayangkan secara terhad di pawagam, namun terpaksa diubah ke platform digital akibat pandemik yang melanda dunia.

Stewart sebelum ini bertanggungjawab menghasilkan tiga muzik video KGATLW untuk album Infest the Rats’ Nest selain turut berkarya untuk kugiran-kugiran lain di bawah label Flightless Records seperti The Murlocs, Stonefield dan Bullant.

Chunky Shrapnel (muntah) yang diambil daripada lirik lagu “Murder of the Universe” dirakam sepenuhnya dengan kamera filem 16mm dan memberi perspektif intim kembara muzikal KGATLW sempena jelajah Eropah dan United Kingdom mereka pada tahun 2019 merangkumi 16 buah lagu di 15 lokasi.

Apa yang membezakan dokumentari ini dengan yang lain adalah teknik rakaman dan pendekatan Stewart dan KGATLW sendiri. Menurut Stewart dalam temubualnya kepada laman web monsterchildren.com;

“Merakam filem 16mm memang pengalaman yang istimewa. Ia seperti bermain Russian Roulette. Paling penting, aku mahukan warna dan atmosfera spesifik yang tidak mungkin aku dapat dengan filem digital. Satu lagi aku sedar filem adalah sangat terhad dan mahal, maka aku perlu membuat keputusan penting untuk merakam momen-momen berharga tepat pada masanya.

Kebiasaannya untuk konsert, orang akan gunakan empat buah kamera, namun ia tidak sesuai untuk band seperti KGATLW. Kau perlu ada di atas pentas untuk menangkap energi setiap individu,” katanya.

Stewart juga memilih untuk menggunakan wide lens dan oleh sebab itu beliau perlu merakam setiap persona KGATLW dengan sangat dekat dan sehingga kadangkala kelihatan intrusif dan mengganggu. Bagaimanapun, Stu Mackenzie dan rakan-rakannya merasakan perkara itu sebagai kelakar.

“Ia sangat seronok, kelakar, liar dan pelik. kadang-kadang kamera John betul-betul rapat sampai seinci jaraknya dari muka aku,” kata Mackenzie kepada laman glidemagazine.com.

Apa yang lebih menarik ialah filem ini kelihatan sangat mentah dan tulus dari aspek suntingan kerana setiap kali Stewart merakam dari atas pentas, beliau perlu merakam keseluruhan lagu tanpa sebarang potongan. Kalian boleh lihat sendiri terdapat beberapa momen di dalam filem ini Stewart terpaksa mengelap lensa yang berkabus, menukar lensa dan terus merakam! Ia kelihatan surreal seolah-olah penonton sendiri naik ke atas pentas bersama-sama mereka.

Skor muzik yang ditulis oleh Mackenzie mengikat naratif filem ini dan mengawal setiap transisi lagu/ lokasi dengan kemas. Menurut beliau, ia adalah ‘sentuhan magikal melankoli alien.’

Chunky Shrapnel juga tidak menjulang watak-watak protagonisnya di belakang pentas dengan temubual-temubual seperti memuji diri sendiri kerana bagi Stewart, mereka adalah manusia biasa. KGATLW perlu dirai sebagai sekumpulan sahabat yang benar-benar mencintai muzik dan memberikan sepenuh energi dalam setiap persembahan pentas mereka. Jadi, bersama mereka di atas pentas sudah cukup untuk mengenali mereka.

Terlalu banyak bahagian menarik dalam filem ini namun penulis memilih dua bahagian paling menarik iaitu di lagu “Let Me Mend the Past” nyanyian Ambrose Kenny-Smith yang sangat manis dan persembahan medley 15 minit di penghujung filem berjudul “A Brief History Of Planet Earth.” Jam song tersebut dirakam di empat lokasi dan turut menampilkan rakan-rakan mereka dari Stonefield dan ORB. Sangat epik dan meninggalkan kesan mendalam!

Akhir kata, Chunky Shrapnel adalah filem dokumenatari muzik yang lain daripada lain dan perlu ditonton oleh semua Gizzhead dan peminat muzik rock! KGATLW tidak pernah menghampakan dan akan terus memberikan kejutan-kejutan bermakna kepada peminat mereka setiap masa.


Ramai tak peminat KGATLW di sini?

#Thunderstrike

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅