Baru-baru ini, lagu Stay With Me dari Miki Matsubara telah mendapat populariti dalam media sosial. Kalau anda buka mana-mana media sosial, pasti akan ternampak versi sadurean atau orang membuat video sambil berlatarbelakangkan lagu itu.
Ramai lagi sebenarnya yang tidak tahu siapa pelantun suara lagu ini sehingga semua orang ketagih mendengarnya. Sebenarnya, seorang penyanyi Indonesia yang bernama Rainych telah menyanyikan semula sekaligus mempopularkan semula lagu ini sehingga dia menerima jemputan temu ramah di stesen televisyen Jepun.
Bukan itu sahaja, ramai lagi tidak tahu latar belakang hidup penyanyi asal iaitu Miki Matsubara kerana terdapat kisah sedih di sebaliknya.
Jadi, mari penulis huraikan mengenai riwayat hidup Miki Mitsubara. Sebelum itu, apa kata anda semua dengar lagu Stay With Me sambil membaca artikel ini, nanti takdelah anda semua bosan:
Anda juga boleh dengar versi Rainych:
Miki Matsubara Belajar Bermain Piano Sejak Umur Tiga Tahun
Miki Matsubara merupakan anak jati Jepun yang dilahirkan pada 28 November 1959 di Kishiwada, Osaka, Jepun. Dia juga telah dibesarkan di Bandar Hiraoka yang terletak di Osaka.
Bapanya bekerja sebagai pengarah di sebuah hospital manakala ibunya merupakan seorang penyanyi jazz. Ibunya pernah menyanyi dengan sebuah kumpulan jazz yang bernama Crazy Cats. Kiranya Miki ini ibarat menerima darah seni muzik dari ibunya.
Miki mula belajar bermain piano seawal usia tiga tahun dan daripada sinilah dia meminati muzik jazz. Bukan itu sahaja, dia juga meminati muzik rock ketika zaman sekolah rendah, malah dia juga pernah menyertai sebuah kumpulan rock yang bernama Kurei pada 1972.
Semasa Miki melangkahkan kaki ke alam remaja, dia bergiat aktif sebagai keyboardist dalam Kumpulan Yoshinoya. Kumpulan itu juga pernah melancarkan sebuah persembahan di Live House Takutaku.
Miki ini juga antara pelajar paling cemerlang di sekolahnya dan ramai orang beranggapan yang dia akan menyambung pelajarannya di universiti. Namun, dia telah menanam hasrat untuk menjadi seorang penyanyi solo terkenal di Jepun.
Memiliki Single Hit Walaupun Umurnya Belum Mencapai 20 Tahun
Pada 1977, Miki telah pergi ke Tokyo secara berseorangan ketika umurnya 17 tahun kerana ingin mencapai hasratnya sebagai penyanyi solo. Seorang keyboardist terkenal, Yuzuru Sera telah menemui dia sedang bermain piano sambil menyanyi di Birdland, Roppongi, Jepun.
Menjelang 1979, Miki berjaya memulakan kariernya sebagai penyanyi solo dan lagu sulungnya ialah Stay With Me. Namun, lagu Stay With Me bukanlah lagu asalnya kerana ia telah dinyanyikan oleh ramai penyanyi termasuk Akina Nakamori.
Lagu Stay With Me versi Miki sangat popular sehingga mendapat nombor 28 dalam Carta Oricon. Ia juga telah terjual sebanyak 300,000 salinan di bawah naungan Canyon Records. Daripada sini jugalah dia mendapat populariti dalam kalangan rakyat Jepun.
Selepas melancarkan lagu Neat Na Gogo San-ji, Miki telah menerima banyak jemputan persembahan di festival, konsert dan sebagainya. Lagu ini mendapat perhatian dalam iklan syarikat penjagaan peribadi multinasional Jepun Shiseido yang terkenal.
Selain itu, Miki turut menubuhkan sebuah kumpulan iaitu Dr. Woo. Dia juga pernah berkolaborasi dengan kumpulan jazz Los Angeles, Dr. Stut. Banyak juga lagu yang dinyanyikan semula oleh kumpulan Dr. Woo antaranya, Love For Sale dan You’ve Got A Friend.
Sepanjang kariernya, Miki telah menghasilkan 8 single dan 12 album serta mendapat tawaran untuk menyanyikan lagu-lagu intro anime, seperti:
- Dirty Pair.
- Project Eden
- Gu Gu Ganmo.
- Mobile Suit Gundam 0083: Stardust Memory.
Pada 1990, Miki merupakan seorang komposer untuk lagu intro dan ending anime. Antara artis yang pernah bekerjasama dengan dia ialah Hitomi Mieno dan Mariko Kouda.
Hilang Dari Dunia Muzik selepas Menghidap Penyakit Barah
Pada akhir tahun 2000, Miki menghantar e-mel secara tiba-tiba kepada orang-orang yang dia rapat termasuk ahli kumpulan Dr. Woo. Ahli syarikatnya menjelaskan dia tidak dapat meneruskan karier muziknya dan dia tidak akan menjawab telefon atau e-melnya.
Namun, menjelang 2001, semuanya terbongkar apabila Miki menghentikan semua aktiviti muzik setelah menghidap penyakit barah serviks (pangkal rahim) dan dia menjalani rawatan di sebuah hospital.
Miki menghabiskan tahun-tahun terakhirnya untuk melawan penyakitnya dan diberitahu oleh doktor bahawa dia hanya tinggal 3 bulan lagi untuk hidup.
Pada 7 Oktober 2004, dia telah meninggal dunia. Kematiannya diumumkan selepas dua bulan kemudian.
Selepas pemergiannya, lagu Stay With Me mula popular di seluruh dunia dan baru-baru ini juga, ia viral di media sosial sehingga ramai golongan ibu bapa mengaitkan lagu ini dengan kisah sedih mereka.
Pada pendapat penulis, apabila lagu ini dipopularkan semula di media sosial, ia merupakan salah satu penghargaan kita terhadap Miki Matsubara.
Sumber: