Setelah sekian lama tidak mendengar khabar dari band ini, akhirnya Carthreena tampil dengan sebuah EP iaitu Acoustic EP. Turut mengejutkan penulis, mereka juga turut mengumumkan perpecahan band ini setelah 11 tahun bertapak di industri muzik Malaysia.
EP ini mengandungi empat buah lagu yang terdiri daripada tiga lagu Bahasa Inggeris dan 1 lagu Bahasa Melayu iaitu Cancer, Menarilah, Streetlights dan Vices. Keempat-empat trek ini diambil dari album pertama mereka dan telah dibersihkan dari bunyi distortion atau dalam erti kata lain, Reimagined Version.
Kesemua trek dalam EP ini direkod secara live di JK Musicvibe namun vokal direkodkan di MC16 Studio. EP ini juga telah diadun dan mastering oleh Saudara Senndart. Menerusi sedikit bedah siasat dari penulis, EP ini menunjukkan mereka telah keluar dari zon mereka dan ia ditampilkan dalam setiap lagu yang mereka “taugeh” menampakkan lebih emo.
Sedikit kesedihan timbul di hati penulis apabila vokalis mereka menyatakan telah berakhirnya perjalanan band ini setelah 11 tahun bertahan. Carthreena telah mempunyai satu album iaitu Breathe For Tomorrow pada tahun 2018 berserta dua kali siri jelajah mereka di seluruh Malaysia. Seharusnya band ini tidak harus dimatikan kerana potensi mereka sangat besar dan mampu bersaing dengan band-band di arus perdana jika diberi peluang. Entah di mana silapnya perjalanan mereka berakhir di sini dan menyimpan 1001 memori dalam cakera kehidupan.
Menerusi perbualan penulis bersama Ayin iaitu vokalis Carthreena, beliau akan meneruskan perjalanan muziknya dengan sebuah unit baharu yang tidak tahu bila akan berkunjung tiba. Dari ahli yang lain, penulis melihat Shaz (gitaris) bersama band beliau iaitu Occularities. Selebihnya tidak pasti.
Penulis mendoakan Carthreena akan terus diingati oleh peminat muzik tanah air. Tahniah dan selamat berjaya buat Carthreena setelah 11 tahun yang bermakna buat mereka. Semoga kalian sukses dalam apa jua yang akan datang. Ada rezeki, kita akan bersua Kembali.
Ikuti Carthreena di: