Rahsia Di Sebalik Gambar Lejen Abang ini Dengan Kurt Cobain & Nirvana (Singapura, 1992)

oleh Chiv Iscandar
6K bacaan

Berapakah harga yang sanggup anda bayar untuk bergambar keriangan bersama Kurt Cobain dan rakan-rakan Nirvana-nya?

Bagi seorang lelaki dan jejaka bertuah, pertemuan hampir 30 tahun lepas dan kenangan dapat bergambar secara peribadi dengan trio pelopor Grunge Kurt Cobain, Krist Novoselic dan Dave Grohl menjadi lagenda urban yang sentiasa segar disebut orang. Dan baru-baru ini, gambar kenang-kenangan abang ini bersama Nirvana kembali berlegar di ruang maya dan laman virtual.


Menyorot kembali kenangan manis tersebut, abang ini, Syed Mahdzar Al-Shahab yang juga bekas pemain bass kumpulan Stompin’ Ground (generasi awal Lion City Hardcore 90-an) turut mengimbas memori dalam sedikit perkongsian eksklusif beliau dengan krew MAMY.

Peristiwa sebenar pertemuan berlaku di ruang konti stesen radio Rediffusion, Singapura pada sekitar 12 Februari 1992 iaitu musim perayaan tahun baru Cina semasa itu. Suasana meriah dan berita kedatangan trio Nirvana ke lapangan terbang Changi untuk promosi album pertama mereka agak kurang diliputi, hanya segelintir tertentu ‘amik port‘. Tetapi itu tidak menghalang beberapa jiwa muzikal tegar seperti abang Syed. Setelah menerima jemputan saudara Chris Ho yang juga merupakan DJ di stesen itu, beliau turun berpakaian seragam baju band hardcore Gorilla Biscuits (budak-budak boleh cuba dig) dan akhirnya menempuh masuk ke satu episod yang tidak dijangka.

Nirvana ketika itu pula baharu sahaja mengeluarkan album terbesar dalam sejarah Rock dunia ‘Nevermind‘ dan berita kemaraan mereka mengatasi jualan rekod Janet Jackson dan U2 masih belum panas di merata-rata.

Menurut ceritanya, setelah selesai temubual ringkas di stesen Redifussion tersebut, Kurt Cobain telah melihat beliau berdiri dengan kamera di tangan dan menjeling ke arahnya buat seketika.

Kemudian, tanpa diduga Kurt bertindak ‘merampas’ kamera lalu meminta seseorang di situ mengambil gambar kenangan mereka berdua. Maka, terhasillah gambar beliau berduaan dengan Kurt yang penuh epik dan bersejarah itu.

(Oh, perlu diingat zaman itu tiada handphone dan selfie ok?)

Abang Syed juga mengimbau kembali saat-saat pertemuan beliau dengan Nirvana:

Masa tu, tak ramai kenal diorang. Cuma kita-kita aje…Mainstream haramm tak tau pasal Nirvana. Tapi yang beshnya, diorang semua friendly… tak ada atitud Rockstar langsung pun.

Dalam pertemuan itu, abang Syed sempat juga bertukar-tukar friendship band dengan Krist Novoselic (bassist dengan bassist lah katakan 😊)

Nirvana ketika itu juga dikatakan mahu membuat persembahan (dikatakan kira-kira 60 orang termasuk abang Syed sudah bersedia menunggu) tetapi akhirnya terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir berikutan masalah permit dan isu dengan syarikat rakaman BMG.

Kini, Abang Syed Mahdzar masih aktif bermain muzik dengan beberapa projek beliau, tetap steady dan menetap di Singapura. Namun, yang pasti beliau memiliki kenangan yang paling hebat berbanding kita semua.

Untuk rekod, negatif gambar tersebut masih tersimpan rapi sehingga hari ini (budak sekarang apa tahu negatif hehe) tetapi kamera Fuji yang dipakai abang Syed ketika rakaman gambar tidak dapat dipastikan.

Gambar, seperti alunan muzik adalah coretan sejarah dan keindahan.

Kehebatan Kurt samaada di luar kehidupan atau atas pentas meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja kepada abang ini, tetapi kepada kita semua pencinta-pencinta muzik.

Kata-kata azimat Nirvana semasa di Singapura ketika itu barangkali mencoretkan mengapa Kurt Cobain sentiasa diingati dan sangat dekat di hati kita walaupun telah lama meninggalkan kita:

Kami bukan nak jadi mesin sabung duit macam G’N’R. Kami hanyalah sebuah band, kami keluar rekod (lagu). Kalau orang rasa suka dan gembira dengar, jadilah…

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅