Oleh: Wan Ahmad Syakir
Jika anda tiada langsung menerima jemputan ke rumah terbuka bulan Syawal tahun ini, Petai Belalang KL merupakan destinasi pilihan untuk mengurangkan amarah dan kesunyian tersebut.
Pada 26 April lalu, Petai Belalang KL telah mengadakan rumah terbuka yang menampilkan hidangan Rock n Roll dan Pop-Punk yang mengasyikkan. Acara ini dimeriahkan oleh penampilan band hebat seperti Pasca Sini, Hacktick!, dan Jemson sebagai juadah utama. Hidangan yang lazat ini ditawarkan dengan harga tiket serendah RM35 untuk presale dan RM40 di pintu masuk.
Acara rumah terbuka berlangsung seawal jam 8:30 malam. Sebaik kaki melangkah masuk, anda akan dibawa ke alam yang berbeza. Jika sebelum ini kita hanya dapat menyaksikan kebiasaanya kumpulan SOG sahaja yang segak mengenakan baju Melayu di pentas gig, rumah terbuka tersebut turut menyaksikan majoriti ahli kumpulan tampil dengan bergaya dalam pakaian tradisional dan baju raya, tanpa mengabaikan identiti masing-masing. Lebih menarik lagi, tema berhari raya yang diusung oleh penganjur terpancar melalui kehadiran sebilangan pengunjung yang turut memakai busana raya. Di sini anda akan lihat ada yang bergaya dengan baju kebaya sambil berheadbanging, berbaju Melayu Johor ketika crowdsurf, dan sing along sambil bersongkok. Atmosfera malam itu juga seolah-olah membawa kita kembali ke zaman lampau dengan adegan mencuit hati iaitu tirai dibuka dan ditutup secara manual sebelum dan selepas setiap persembahan kumpulan sambil dihiasi lampu lip-lap lip-lap. Rasanya seperti menonton filem zaman dulu!
Malam itu mencerminkan kepelbagaian yang menarik. Selain daripada disajikan dengan lagu hits yang menjadi kegemaran setiap kumpulan, ia juga turut menyajikan nasyid yang diubahsuai menjadi pop-punk, lagu raya popular yang dihidupkan dengan elemen rock and roll, dan karya baru yang membawa konsep yang unik — ketika semua orang merayakan raya, ada yang enggan pulang. Itulah Hacktick! Lagu nasyid, Intifada’ berjaya diadun molek oleh Pasca Sini sehingga ada yang headbanging dan turut tak terkecuali Jemson berjaya meletak secubit elemen rock and roll di dalam lagu raya Dolla membuatkan peminat yang tak suka Kumpulan Dolla pun akan terikut menyanyikan bersama. Inilah keunikan yang ada pada malam itu. Keunikannya terletak pada keberanian untuk berbuat yang berbeza; di mana orang lain enggan, kita teruskan. Di mana orang lain tidak gemar, kita terus suka. Scene ini benar-benar menjadi medan terbuka bagi semua, memperlihatkan kebebasan untuk mewujudkan idea yang terpendam dalam minda mereka. Mai turun gig, baru hang tau.
Sedikit pandangan peribadi, keseronokan acara di gig kecil seperti ini sebenarnya lebih nikmat dan syahdu jika nak dibandingkan dengan konsert-konsert besar. Di sini, andai ada 30 orang yang hadir sekalipun, kesemuanya pasti have fun dan sing along bersama bagaikan sudah berkawan lama. Di sini lebih bebas, tidak perlu untuk melayan bouncer atau barricade. Dan rata-rata yang hadir memang datang untuk berhibur dan menikmati muzik tanpa gangguan telefon bimbit. Setlist pun tidak akan dipotong, bahkan boleh request lagu favourite. Oh, dan yang paling penting, tiada bangsa mosh semua jenis lagu. Percayalah, kebanyakan band yang beraksi tetap akan memberikan 100% energi meskipun crowd berskala kecil. Dan mereka akan lebih menghargai peminat yang hadir.
Malam Raya D’Petai yang berintikan rock n roll dan pop-punk ini adalah bukti semua rencahnya sesedap rasa, tidak akan sama pengalamannya di konsert-konsert yang besar. Entah betul atau tidak, ada orang kata budak gig boleh layan konsert, budak konsert tak boleh layan gig. Wallahualam.
Malam itu, kepuasan jelas terpancar di raut wajah peminat-peminat yang pulang dengan bersenang-senang selepas menikmati juadah raya yang berlangsung selama dua jam, dan rata-ratanya berpuas hati dengan energi maksima yang diberikan oleh ketiga-tiga kumpulan tersebut dilengkapi venue yang selesa, cukup pendingin hawanya. Semoga malam itu menjadi acara rumah terbuka yang paling diingati, yang mereka tidak akan lupakan. Selain daripada persembahan yang disajikan, terdapat juga jualan merchandise daripada kumpulan Pasca Sini, Hacktick! dan Jemson yang boleh didapati di bahagian belakang venue. Semoga acara rumah terbuka ini akan dijadikan acara tahunan oleh pihak penganjur pada edisi akan datang. Mungkin, boleh diselitkan sekali dengan lemang, ketupat dan rendang ataupun duit raya. Menarik kan? Siapa tahu, edisi akan datang; “Alamak, rumah terbuka raya lagi!!”
Terima kasih Pasca Sini, Hacktick! dan Jemson untuk momen itu dan tahniah Petai Belalang KL untuk rumah terbuka ini. Kepada mereka yang masih belum mengenali Petai Belalang KL, anda semua boleh layari laman sesawang www.petaibelalangkl.com untuk melihat update terkini acara-acara yang bakal berlangsung atau boleh cari mereka di Instagram, @petaibelalangkl .Selamat maju jaya diucapkan, muzik untuk semua, semua untuk muzik. Sampai berjumpa lagi.