Ryotjones Masih Funky!

Ryotjones Luncur The Extended Play

oleh Aniq Ammar Ekhwan
1.2K bacaan

Muzik funk rock alternatif adalah satu genre yang unik dan menarik; menggabungkan elemen-elemen funk yang groovy dengan kekuatan rock. Muzik sebegini pastinya mengasyikkan dan mampu membuat pendengar terpukau dan jatuh cinta pandang pertama. Genre ini mula berkembang pada tahun 1950-an hingga 1960-an, menjadi salah satu subgenre penting dalam evolusi muzik rock.

Walaupun terdapat banyak instrumen yang dimainkan dalam genre ini, bunyi bass, drum, dan gitar adalah yang paling menonjol dalam menentukan identiti keseluruhan muzik selain digabungkan dengan distorsi rock yang menghasilkan suara gitar yang berisik namun memikat, membawa pendengar ke dalam dunia sonik yang penuh tenaga seperti yang kita lihat sebuah kugiran diberi nama Ryotjones.

Sejak ditubuhkan pada bulan Mac 2016, Ryotjones masih mengekalkan identiti muzik mereka dengan menggabungkan elemen funk, soul, rock dan sentuhan pop dalam setiap naskhah mereka. Walaupun telah berlaku beberapa perubahan dalam barisan ahli, semangat dan hala tuju kugiran ini kekal utuh.

Barisan ahli Ryotjones kini terdiri daripada Deo Karmawan (gitar), Jeremy Quek (bass), Zach Mathai (dram), Imanuel Tan (perkusi), Banni Basyishar (vokalis/saxofon soprano), Amir Syafiq (saxofon alto), Jazmi Jamaluddin (saxofon alto), Wan Zariff (saxofon tenor) dan Hafiz “Monk” Arif (trumpet).

EP pertama mereka yang baru dilancarkan merupakan usaha kedua mereka selepas kejayaan “Dancing Shoes” yang dirilis pada tahun 2017. Kejayaan ini menjadi bukti bahawa Ryotjones masih relevan dalam industri muzik, walaupun mereka beroperasi sebagai sebuah band indie.

Ryotjones juga pernah memeriahkan pentas Good Vibes Festival pada tahun 2018 dan 2019. Di samping itu, mereka turut membuka persembahan untuk artis-artis terkenal seperti Joss Stone dan Toploaders serta menyertai pelbagai festival tempatan.

Proses produksi EP terbaru ini sangat istimewa bagi Ryotjones. Semua lagu dirakam 100 peratus secara langsung dan dalam keadaan raw, dengan setiap nota dan lirik terlahir daripada sesi jamming spontan di studio.

Dimulakan dengan Rendezvous, trek ini mengingatkan aku kepada kelab malam Silver Tortoise di zaman P. Ramlee. Permainan instrumen mereka boleh diklasifikasikan sebagai nakal dan jahat serta susunan lagu juga mampu membuatkan kalian tak tidur. Diteruskan dengan trek Feels Good, akhirnya aku jumpa kugiran yang berani buat sebegini rupa. Vokal yang bersahaja, permainan instrumen ketat dan semestinya susunan lagu yang membuatkan kita berehat seketika daripada dunia penuh penipuan. Seksofon jahat… Itu yang mampu ku ukir di minda.

EP berjudul The Extended Play ini ditutup dengan lagu Funk 8. Aku terkesima dengan permainan mereka yang jitu dan tepat pada sasaran untuk susunan, seperti memanggil aku untuk menari kegirangan melupakan apa yang akan terjadi pada esok hari. Aku terfikir apa yang mereka cari dalam muzik kerana unit ini tidak seharusnya dibiarkan diam terlalu lama. Apakah mereka menunggu sesuatu sebelum meledak? Atau unit ini masih mencari bunyian sebenar? Berikut adalah jawapan mereka:

“Kami tak berapa fikirkan pasal pasaran atau relevance. Just buat yang kita suka je. Tapi kita percaya bahawa pasaran itu bisa diciptakan, dan kami percaya, bahawa muzik yang jujur akan menemukan pendengarnya.”

Mengenai visi masa hadapan, Ryotjones merancang untuk melancarkan album penuh. Namun, mereka sedar bahawa kos untuk menghasilkan album berkualiti adalah tinggi, terutama bagi sebuah band indie seperti mereka.

“Album penuh ada dalam trajektori kami, namun kita sedar bahawa kos pembuatan album yang berkualiti tidak murah,” kata mereka dengan nada berseloroh.

Dengan semangat yang tidak pernah padam, Ryotjones kini sedang mencari peluang untuk mengadakan lebih banyak persembahan. Mereka berharap dapat mengumpul dana untuk merilis lebih banyak karya, mungkin album penuh dalam masa terdekat.

Ikuti Ryotjones di:

Facebook
Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅