‘Satu Dua Tiga Dan Empat’ Dari Pablo! Untuk Yang Rindukan Persembahan Live

oleh Muhammad Ridhwan Bin Sa'aya
1.5K bacaan

Satu Dua Tiga Dan Empat adalah lagu yang berkisar tentang suasana dan semangat pecinta muzik pada persembahan. Lagu ini ditujukan khas kepada pengemar muzik yang sering hadir dan menyokong persembahan secara langsung dan sanggup  mengeluarkan wang sendiri untuk membeli tiket menonton persembahan pemuzik kegemaran mereka. Kiranya, lagu ini dicipta sebagai penghargaan dari kumpulan Pablo! buat penonton yang menyokong industri muzik dan pemuzik yang tidak pernah jemu menghasilkan muzik.

Komposer dan penggubah lirik merangkap vokalis utama kumpulan ini, Zai berkata, “Kami cuba untuk menterjemahkan lirik ‘satu dua tiga dan empat, siapa cepat dia yang dapat’ di dalam lagu ini kerana biasanya di mana-mana persembahan, perkataan ini akan dilaungkan dengan kuat oleh pemuzik dan disambut oleh jerit penonton. Tanpa penonton dan penyokong yang datang, siapalah pemuzik itu sebenarnya. Penonton yang datang menyokong akan dapat membakar semangat pemuzik untuk melakukan persembahan dengan lebih bersungguh-sungguh.”

Kumpulan Pablo! yang berasal dari Bintulu, Sarawak ini telah ditubuhkan pada awal tahun 2021. Ketika itu seluruh negara berhadapan dengan wabak virus korona yang teruk. Banyak persembahan muzik tidak dapat dijalankan secara langsung dan kumpulan Pablo! mengambil perkara itu sebagai cabaran apatah lagi mereka adalah kumpulan yang baru ditubuhkan.

Pablo! terdiri daripada Morni (bassist), Zul (gitar utama), Zai (gitar, vokalis utama), Amirul (gitar, vokal kedua) dan Eugene (dram). Selepas ditubuhkan, kumpulan ini terus mendapat peluang berkolaborasi bersama Sam Bunkface tahun lalu melalui single pertama mereka yang berjudul Mereka Dan Kita, dan seterusnya meluncurkan EP  yang memuatkan lapan lagu.

Mereka memilih genre pop-punk sebagai pilihan untuk semua lagu yang dihasilkan. Untuk single terbaru ini, proses rakaman dan adunan telah mengambil masa lebih dari satu minggu untuk disiapkan.  Menurut mereka, walaupun melodi single ini telah lama berada di dalam backlog Pablo! iaitu sejak awal bulan Januari 2022, namun proses rakaman yang dilakukan di home studio kumpulan ini memakan masa sedikit lama kerana setiap ahli kumpulan mahu memperhalusi single ini bersama-sama dengan teliti.

Single Satu Dua Tiga Dan Empat mula berada di platform digital Spotify dan Apple Music pada 19 Februari 2022. Kumpulan Pablo! juga turut meluncurkan bersama video lirik di laman YouTube mereka pada tarikh yang sama untuk memudahkan peminat menyanyi bersama-sama.

Sebelum temubual bersama penulis ditamatkan, kumpulan ini sempat menyatakan hasrat mereka untuk disampaikan kepada pembaca di luar sana. Menurut mereka,

Mari sama-sama kita menyokong muzik tempatan tidak kira apa genre yang kita suka dengari. Sebagai pemuzik, kami amat memerlukan sokongan peminat dan penyokong untuk kami terus menghasilkan karya yang lebih berkualiti. Jika pemuzik kegemaran anda ada membuat persembahan di mana-mana tempat, pergilah beli tiket dan sokong persembahan mereka.”

Kami di pihak Music Addicts Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kumpulan Pablo! kerana berani dan berjaya menghasilkan muzik yang sarat mesej positif, dan selamat maju jaya untuk perjalanan yang seterusnya. Semoga kita dapat bekerjasama suatu hari nanti untuk melakukan persembahan secara langsung buat peminat muzik tempatan yang semuanya sudah rindu pergi ke persembahan seperti biasa tanpa perlu terikat dengan mana-mana SOP yang memenatkan.

Ikuti kumpulan Pablo! di:

Spotify

Apple Music

YouTube

Instagram

 

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅