Empat sahabat Fidzja, Faiz, Boyz dan Jai yang dahulunya dikenali dengan band yang bernama Doze dan telah lama meninggalkan alat muzik kembali terpanggil tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjadi peristiwa pahit manis bagi kita pada tahun 2020 dahulu. Mereka kembali bersama semula membawa nama pentas baharu, Hatipink. Secara asasnya, band yang membawa genre grunge dan experimental ini pernah tampil bertenaga dan aktif dalam siri gig di sekitar Lembah Klang pada tahun 2004 hingga 2008. Paul’s Place, Uptown, Chakri White House dan Bar One USJ merupakan antara lokasi keramat pada zaman kegemilangan gig ketika itu. Jika anda biasa dengar nama Greg Henderson, Hatipink pernah merakam sebuah lagu cover di bawah seliaan Greg iaitu Auld Lang Syne. Selain lagu cover, Hatipink juga pernah berada di bawah jagaan Fat Boys Records yang melibatkan mereka dalam pembikinan album Musiccanteen Christmas Compilation.
PKP jadi saksi kemunculan semula unit ini, dan kali ini mereka tidak hanya memfokuskan terhadap teknikal muzik semata-mata. Lebih 10 tahun berada dalam scene tempatan, inilah masa buat mereka mempersembahkan lagu yang memiliki makna tersendiri dan memerlukan kebijaksaan masing-masing untuk mentafsir.
Single Suis yang didatangkan bersama video muzik (MV) rasmi ini telah dilancarkan pada 31 Disember 2021 yang lepas di saluran YouTube hatipink music. Riff di permulaan lagu mengingatkan penulis kepada Led Zeppelin – Immigrant Song, seterusnya turut dijalin dengan elemen Seattle Sounds dan alternative rock. Bingit dan rabak! Vokal yang dilontarkan juga amat sesuai dengan paten muzik. Cuma mungkin dari aspek adunan dan mastering, lagu ini kedengaran agak nipis dan ringan.
Pada mulanya, penulis agak berasa pelik dan janggal kerana MV lagu ini dirakam dalam bilik hotel. Namun, bagi mendapatkan gambaran sebenar berkenaan single ini dan perancangan masa hadapan Hatipink, penulis sempat menemubual secara maya salah seorang ahli Hatipink iaitu Faiz. Ikuti temubual di bawah.
Kenapa tajuk lagu Suis? Boleh kongsikan sedikit kisah sebalik lagu Suis secara ringkas?
“Tajuk lagu “Suis” datang bila kami memerhati kepada generasi sekarang seperti kisah-kisah yang tular di media sosial. Secara ringkasnya, semakin dunia ni maju, manusia semakin hidup tertekan. Tanpa disedari emotional intelligence juga semakin kurang. Mudah melatah, baran dan sebagainya. Makin membimbangkan apabila kempen kesihatan mental turut diperkasakan atas sebab jumlah pesakit seperti kemurungan, panic attack & anxiety pada golongan muda. Jadi suis merupakan simbolik kepada Emotional Intelligence itu sendiri, ia berkisar tentang perasaan. Betapa nipisnya kawalan perasaan yang ada pada kita yang hidup di zaman sekarang kerana hidup dalam keadaan tertekan. Ibarat jika hendak membenci, marah, memalukan org lain, cukup jika suis kita tersentuh, tidak lagi diambil kira tentang logik. Semuanya seakan cukup pada tanggapan sendiri. Dalam video klip “Suis” sendiri menunjukkan bagaimana watak seseorang yang seakan berhalusinasi seakan ada band yang sedang perform di dalam bilik hotelnya. Disebabkan bencinya kepada rock band. Suis/perasaan yg tidak dapat dikawal ini boleh memakan diri sendiri.”
Apakah projek Hatipink seterusnya selepas menerbitkan single Suis?
“Hatipink sudah mengeluarkan 4 singles. Seterusnya kami akan keluarkan 2 lagi singles pada tahun ini. Projek seterusnya adalah album pertama kami yang memuatkan 6 lagu singles yang akan diremastered berserta 2 lagi lagu baru yang tidak akan dirilis dengan singles. Kira 2 lagu bonus tu khas utk album sahaja.”
Begitulah kisah yang cuba diketengahkan oleh Hatipink. Sekali dengar macam lagu rock biasa, tetapi sebenarnya punya mesej yang sesuai dengan situasi semasa yang dihidapi rakyat ketika ini.
Konsep yang diketengahkan dalam MV ini juga agak istimewa sebenarnya. Sekiranya kita faham apa isi yang mahu disampakan, maka MV ini adalah visual yang menggambarkan emosi dan halusinasi yang dihadapi seorang pesakit mental. Tahniah kepada Hatipink kerana berani tampil dengan idea yang unik dan berbeza. Tangkapan setiap adegan juga agak sinematik dan gred warna yang digunakan menyerlahkan lagi unsur-unsur yang patut wujud dalam sesebuah MV lagu rock. Selaku penggemar muzik, penulis berharap Hatipink berjaya menarik minat lebih ramai lagi pengemar lagu-lagu rock di Malaysia dengan sulaman mesej-mesej positif.
Lagu-lagu Hatipink juga boleh didengari melalui platform digital seperti Spotify, Apple Music, Last.fm dan juga Youtube.
Ikuti Hatipink pink dengan menekan pautan: