Setelah mengumumkan kehadiran projek album terbaharu Dewa Kotaraya, Spooky Wet Dreams akhirnya melancarkan single pertama dari album tersebut berjudul Seru di laman Spotify rasmi mereka pada tanggal 17 Januari 2022 dengan jangka masa selama 2 minit 58 saat.
Iringan keys perlahan pada permulaan dengan vokal bagaikan sedang bercerita, secara perlahan-lahan susunan muzik dan vokal Ze menyusup rancak di korus dan akhirnya tenang dan ‘pasrah’ di penghujung. Seru menyajikan pendengar dengan nuansa psychedelic mirip Imagine karya John Lennon dan dalam masa sama punya ‘bau-bau’ My Chemical Romance – Welcome To The Black Parade. Ia bagaikan sebuah perkahwinan yang tak masuk akal tetapi sangat membahagiakan, kontradik dengan isi lirikalnya yang mengandungi ‘makna berganda.’ Ia adalah petanda besar Spooky Wet Dreams bakal meneroka ke daerah baharu dalam hala tuju muzikal mereka selepas ini.
Seru menggambarkan kehidupan marhaen di hutan konkrit kotaraya yang seringkali memenjara rasa hati dan akal fikiran diri. Di mana kita seringkali berjaga pada tengah malam, memikirkan masalah diri yang dihadapi dan berehat hanya untuk menghadapi masalah yang sama pada hari seterusnya.
Tika cahaya terakhir ku padam, siapa yang ada menggenggam tanganku?
Menurut salah seorang artis yang menghasilkan rekaan grafik single ini, Lizzie Zany menyatakan Seru adalah untuk kita semua yang berusaha keras untuk kehidupan yang lebih baik, mengharapkan kestabilan diri, dan juga buat mimpi diri yang semakin lama semakin jauh dari genggaman.
"Tika cahaya terakhir ku padam, siapa yang ada menggenggam tanganku?" This one's for all of us, hustling through this concrete jungle, for a better life, for a grain of stability, for dreams that feels out of reach.
Single art for @SpookyWetDreams by me and @mims_was_here. pic.twitter.com/JC22BREWWX
— Lizzie Zany (@LizzieZany) January 17, 2022
Dengarkan Seru di saluran Spotify rasmi Spooky Wet Dreams dan ikuti juga laman media sosial rasmi mereka untuk informasi terkini album Dewa Kotaraya yang bakal menjelma tidak lama lagi.