Sum 41: Otai Pop Punk Yang Masih Berbisa

oleh Music Addicts Malaysia
2.5K bacaan

Sum 41 merupakan salah satu band asal Kanada yang berjaya memecah pasaran Hollywood dengan berteraskan genre pop punk dan skate punk pada awal kemunculan. EP pertama mereka muncul sekitar pertengahan tahun 2000 berjudul Half Hour Of Power.

Tidak menunggu lama, Sum 41 terus berlari ke studio, menggoreng gitar, menghentak drum, perkusi dan merakam suara lalu keluar dengan debut album studio sulung mereka sekitar tahun 2001 berjudul All Killer No Filler. Dengan mempertaruhkan genre pop punk dan skate punk, album debut mereka ini dilihat sangat berjaya di mana dua single hits mereka In Too Deep dan Fat Lip menjadi siulan setiap remaja ketika itu. Fat Lip berjaya memecah masuk carta Billboard di kedudukan ke-66 sekitar September 2001 dan dengan selamba mengungguli carta Alternative Song, juga pada tahun sama di mana In Too Deep pula menduduki tangga ke-10. Dengan pengiktirafan Platinum di tiga buah negara untuk album studio pertama, tidak salah rasanya untuk meletakkan Sum 41 antara salah satu band pop punk terbaik sepanjang zaman.

Selang setahun selepas kelahiran album pertama, muncul pula Does This Look Infected? sebagai album studio kedua. Kali ini Sum 41 mula bereksperimen dengan genre di mana mereka tidak lagi mengekalkan irama pop punk seratus peratus. Album kedua mereka ini lebih keras, agresif dan melawan dengan membawa irama heavy metal, punk rock dan melodic hardcore. Lirik mereka juga lebih dark berbanding album pertama. Sum 41 mula dibandingkan dengan band-band besar seperti P.O.D, NOFX, SOAD dan beberapa band lagi. Antara lagu hits yang menjadi pilihan pendengar sudah semestinya Still Waiting, The Hell Song dan Over My Head (Better Off Dead).

Seawal tahun 2003, Sum 41 mula sibuk berulang alik ke studio untuk merakam album ketiga mereka. Sesi rakaman selesai sekitar pertengahan 2004 dan album ini diberi judul Chuck sempena nama salah seorang anggota pasukan pengaman United Nation (UN) di Congo, Chuck Pelletier yang banyak membantu Sum 41 sewaktu perang saudara berlaku semasa pengambaran dokumentari untuk NGO kerja amal mangsa perang iaitu War Child Canada di Congo. Dengan genre sama yang dibawa dalam album kedua, lirik pula lebih ditumpukan dengan situasi politik berdasarkan pengalaman mereka di Congo. Antara lagu hits yang terkandung di dalam senarai trek ialah Pieces, We’re All Blame dan Some Say. Album ini berjaya merangkul gelaran Rock Album Of The Year di Juno Award pada 2005 dan tempat ke-10 carta Billboard US tahun sama album tersebut dipasarkan (2004).

Selepas sibuk dengan promosi dan siri jelajah untuk album Chuck yang dibuat sekitar tahun 2005 dan 2006, frontman Deryck Whibley melangsungkan perkahwinannya dengan chinggey pujaan ramai iaitu ratu punk rock Avril Lavinge selepas setahun bertunang. Pengunduran gitaris utama Dave Brownsound yang merasakan dirinya sudah sebati dengan irama heavy metal dan hard rock menyulitkan proses rakaman album mereka seterusnya yang diberi nama Underclass Hero.

Proses rakaman tetap diteruskan walaupun mereka sudah tinggal 3 beradik di mana Deryck mengambil posisi gitar utama dan vokalis, Cone @ Jason McCaslin selaku pemetik bass dan tukang hentak kekal milik Steve Jocs. Threesome pun threesome-lah. Tahu-tahu pada bulan Mac 2007 album ini sudah pun siap dirakam dan diterbitkan pada pertengahan tahun yang sama. Mengembalikan genre pop punk dan menambah irama alternative rock (mungkin pengaruh daripada orang rumah Deryck) sebagai perisa tambahan. Antara hit songs yang menjadi perhatian adalah Underclass Hero dan Walking Disaster. Sementara itu, lagu So Long Goodbye ditujukan khas kepada bekas pemain gitar utama mereka Dave Brownsound yang mengundurkan diri sebelum sesi rakaman album bermula.

Penghujung 2006, Sum 41 mengundang Tom Thacker sebagai gitaris sepanjang siri jelajah menggantikan Dave dan diumumkan menjadi anggota rasmi pada 2009 walaupun Deryck pada awalnya sudah mengumumkan bahawa Tom bukan sekadar gitaris untuk konsert jelajah. Album kelima mereka, Screaming Bloody Murder (SBM) memulakan sesi rakamannya pada awal tahun 2010 dan diterbitkan pada bulan Mac 2011. Selepas menerima beberapa kritikan atas penghasilan album sebelumnya, Sum 41 mengembalikan genre keras dan melawan mereka untuk album kelima ini. Sepanjang sesi rakaman, Deryck mengambil alih posisi gitar meskipun Tom Thacker sudahpun menjadi sebahagian daripada Sum 41. Ini juga adalah album terakhir untuk pemain drum mereka Steve Jocz yang mengumumkan pengunduran pada 2013. SBM juga menjadi album terakhir Sum 41 di bawah label Island Record.

13 Voices pula menyusul sebagai album keenam dan pertama di bawah label Hopeless Record. Sekembalinya Dave Brownsound pada 2015 serta kehadiran Frank Zummo di posisi drum menggantikan Steve menjadikan Sum 41 kini berlima. Dua tahun masa diambil untuk menyiapkan keseluruhan album 13 Voices dan tiga studio terlibat untuk sesi rakaman. Diterbitkan pada Oktober 2016 dan mengekalkan genre sama seperti album SBM, Single War berjaya menduduki tangga ke-23 dalam carta Billboard Canada Rock pada 2016. Kesemua lima anggota Sum 41 terlibat dalam penghasilan album ini.

April 2019, Sum 41 mengumumkan mereka sedang bekerja keras untuk menyiapkan album terbaharu mereka. Tidak mengambil masa yang begitu lama menunjukkan mereka sememangnya layak digelar Otai. Order In Decline siap dirakam dan diterbitkan pada tahun yang sama. Lontaran vokal Deryck masih kekal mantap seperti mana ketika album pertama dirakam meskipun usia sudah menginjak 39 tahun. Antara lagu yang terkandung di dalam album ini termasuklah Never There, Out For Blood, 45 dan A Death In The Family.

Penulis asal: Muhamad Amirul

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅