Tamasya Anak Muda 2025 (Hari Pertama): Temasya Sederhana Untuk Jiwa Bersahaja

oleh Boes!
155 bacaan

Sebelum bermula, terimalah pantun dua kerat dari saya sang penulis:

Hiatus gempita gemalasakti,

Tamasya Anak Muda telah kembali!

Edisi baharu, tahun baharu dan arena baharu! Tamasya Anak Muda (dibaca temasya) kembali dengan visi dan misi yang segar. Muzium Negara dipilih sebagai lokasi utama, menjadi gelanggang bagi belia cinta seni untuk meraikan kepelbagaian seni dan muzik terkini Malaysia. Lokasinya sangat strategik, terletak di tengah bandar, dalam kawasan tumpuan pelancong dan hanya “sekangkang kera” dari stesen MRT. Ini amat sesuai bagi mereka yang memperjuangkan kelestarian alam dan pengurangan jejak karbon, selaras dengan cogan kata acara: Pesta Jiwa Rakyat.

Dianjurkan oleh Luncai Emas dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Muzium Malaysia, serta disokong oleh Arts for All Seasons (ArtsFAS), Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia, festival berkonsepkan kegiatan luar ini berlangsung pada 21 dan 22 Jun 2025. Promosi telah giat dilakukan seawal Mac tahun ini lagi.

Poster Rasmi Tamasya Anak Muda Y25

Penulis tidak berkesempatan menyertai temasya yang bermula dari jam 11 pagi ini. Namun, melihat maklumat yang dimuat naik di Instagram rasmi @tamasyafest dan tentatif yang disebarkan di media sosial, acara ini sememangnya amat menarik. Pelbagai aktiviti kemeriahan dimuatkan pada hari pertama dan kedua seperti permainan gasing, dikir barat dan seni tradisional dram Cina. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melawati Pasar Tamasya by Bijou yang menawarkan aneka pakaian, makanan dan cenderamata dengan harga berpatutan. Memang benar-benar bertemasya!

Persembahan Gendang Cina oleh Frythms Percussions. Kredit : artbyzyn

Issey & Friends berdikir barat dan berwayang kulit! Kredit : artbyzyn

Beralih kepada konsert Tamasya Anak Muda pada hari pertama, barisan pengkarya seni yang terlibat kali ini agak berbeza berbanding edisi sebelumnya, membariskan nama-nama dari pelbagai genre dan generasi. Sekitar jam lima petang, konsert bermula dengan persembahan memukau oleh Satwo diikuti gandingan duo Kmy Kmo & Luca Sickta. Lagu-lagu hits seperti ‘Sungai Peristiwa’ dan ‘Zuhud’ bergema pada petang itu. Konsert ditangguhkan seketika untuk memberi ruang solat Maghrib sebelum disambung semula pada slot malam.

Kmy Kmo & Luca Sickta. Kredit : artbyzyn

Satwo. Kredit : artbyzyn

Sekitar 8.30 malam, sedikit lewat daripada tentatif asal, pentas menyaksikan Pitahati sebagai pengkarya seterusnya. Mereka mendendangkan lagu baharu dari album mereka seperti ‘Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)’ dan menutup persembahan dengan ‘Bintang Biru Kristal Salju’. Melodi Psychedelic mereka berjaya membuai pendengar setia dan baharu dengan keindahan yang menyentuh jiwa dalam suasana temasya.

Pitahati. Kredit: artbyzyn

Fokus pentas kemudian beralih kepada kemunculan Daud M (Joey Daud) yang tampil bersahaja dan mempromosikan lagu ‘Wamwamsam’. Lagu ini diterbitkan khas sempena kemunculan semulanya setelah sekian lama dalam industri muzik, dengan sentuhan oleh Hidayat Nasir, Ilham Nasir, Joey Daud dan Rahman Saharddin. Lagu yang dirakamkan bersama Ritz Metalasia dan A.D ISOBAHTOS serta diterbitkan oleh Luncai Emas ini sedikit sebanyak mengisi slot persembahan kedua malam tersebut dengan suasana ceria.

Konsert ditutup dengan persembahan bertenaga oleh Budak Nakal Hujung Simpang (BNHS), yang juga sudah lama tidak muncul di pentas acara. Kumpulan yang diketuai oleh John Bear, yang sering lantang bersuara di arus digital, menyampaikan lagu-lagu dari album Darsana dan Bumantara seperti ‘Cheq Rasa Cheq Reggae’ dan ‘Kongkret Kayoo’. Walaupun John Bear kelihatan penat dan kurang bertenaga berbanding sebelumnya, persembahan BNHS tetap memberi impak dan membuatkan orang ramai berjoget sakan pada lagu penghujungnya!

Budak Nakal Hujung Simpang. Kredit :artbyzyn

Dalam mana-mana acara, pasti ada kekurangan yang tersisa. Ibarat “rumah siap, pahat berbunyi,” jika hanya menumpukan pada acara konsert, penulis merasakan kemeriahan dan kemesraan persembahan pada hari pertama ini berada pada tahap sederhana. Walaupun lokasi strategik, bilangan pengunjung tidak seramai edisi sebelumnya. Adakah ini disebabkan faktor pertengahan bulan atau lambakan konsert yang berjalan serentak pada hari tersebut? Penulis tidak pasti, tetapi usaha penganjur yang tidak putus-putus mempromosikan acara sejak awal tahun wajar dipuji.

Kedua, pemilihan pengkarya yang dikatakan eksklusif tidak semestinya menjamin kejayaan temasya. Walaupun Daud M dipaparkan dalam poster sebagai salah seorang penggiat yang akan memeriahkan pentas hari pertama, beliau hanya mempromosikan single terbaharunya dan membuat jenaka yang kadang-kadang sampai, kadang-kadang tidak. Ini menyebabkan penulis merasa legenda ini tidak memberikan kepuasan yang total. Ada masanya penulis mengharapkan lebih, namun mungkin itulah yang telah diatur.

Dan seperti biasa, setiap acara pasti tidak lari daripada masalah teknikal. Mikrofon tidak berfungsi, jadual acara lari dan speaker tidak berfungsi juga ‘mewarnai’ temasya pada hari pertama. Walau bagaimanapun, pujian yang melambung harus diberikan kepada barisan pengacara majlis yang tidak henti-henti memastikan kejanggalan dan kekosongan diisi dengan penuh bijak dan bergaya. Tahniah diucapkan kepada Has Arteh dan Dewa Arteh menggalas tugas dengan baik!

Akhir kata, tahniah diucapkan kepada mereka yang terlibat dalam penganjuran Tamasya Anak Muda tahun ini. Yang baik kita jadikan teladan, yang kurang kita dokumentasikan (beserta post-mortem). Mari bangkit berpesta pada edisi tahun yang mendatang!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅