Selepas album Adam yang melayakkan kumpulan A.Limin ke peringkat separuh akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) tahun lepas dan diikuti kejayaan tercalon sebagai Best Release dalam TAPAUawards 2020, kini kumpulan A. Limin akan tampil dengan hadiah album kedua buat semua peminat mereka. Album kedua ini berjudul sesudah melakar langit.
Lirik untuk semua 14 buah lagu dalam kedua ini ditulis oleh dua orang vokalis kumpulan mereka sendiri, iaitu Limin dan Merul. Mereka berdua bersepakat bahawa, “Semua idea bagi kesemua lagu di dalam album sesudah melakar langit ini diilhamkan daripada pelbagai cerita peribadi yang telah diolah menjadi lagu, kami sekumpulan berusaha keras untuk menjadikan album ini sesuatu yang kami boleh banggakan suatu hari nanti”.
“Hampir 1 tahun tempoh masa telah diambil untuk kami menyiapkan album ini, tambahan lagi dengan pandemik yang melanda, telah banyak mengehadkan pergerakan kami sekumpulan dan saya pasti juga semua para pemuzik di luar sana.” Tambah Limin.
Rakaman album telah diuruskan oleh Ku Miro di Kamar Seni Studio, Cheras dan proses mixing pula disiapkan oleh jurutera muzik kumpulan ini iaitu Fai. Manakala reka bentuk kulit album telah siap diilustrasikan oleh Jiwosophy, seorang pelukis digital tempatan yang amat berbakat dalam menghasilkan karya bersifat ekspresi, sesuai dengan album terbaru A.Limin ini.
Single utama album ini adalah lagu Angin. Lagu ini dikatakan boleh “menghantui” pendengar. Kesemua lagu dalam album ini dihasilkan bagi menunjukkan kematangan kumpulan A. Limin dari sudut penghasilan muzik dan usaha mereka
untuk membina imej kumpulan yang tersendiri dan berbeza.
Menurut Limin lagi, “Album ini menyajikan rasa, luahan dan ekspresi kumpulan A.Limin terhadap dunia sekeliling, sekaligus menjadikan lagu-lagu di dalam album ini penuh dengan isi tersurat dan tersirat”
Album kedua ini juga bermakna buat mereka kerana komposer dan gitaris kumpulan indie terkenal, kumpulan Hujan, AG Coco sudi menjadi eksekutif produser membantu Merul. AG Coco telah membantu dari segi kesediaan sumber yang diperlukan sepanjang rakaman album berlangsung.
Kumpulan A. Limin juga amat bertuah kerana Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) telah meluluskan dana kewangan dan hasil dari dana tersebut telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi kumpulan ini menyiapkan keseluruhan album kedua mereka ini.
Kumpulan A. Limin telah bermula sejak 2018. Ditubuhkan sendiri oleh Limin atau nama sebenarnya Fathil Alimin (vokalis, gitar). Permulaanya kumpulan ini ditubuhkan hanya sebagai projek solo vokalis ini sahaja, namun berjaya menjadi satu kumpulan setelah beliau berjumpa dengan Merul (vokalis, gitaris, keys), Ku Miro (bassist), dan Fai (drum). Kemudian, seterusnya, mereka semua bersetuju menjadi satu kumpulan yang dikenali dengan nama A. Limin.
Lagu-lagu dari kumpulan ini kebiasaanya bergenre eksperimental folk dan sering dicampur dengan bunyian rock dan pop. Diiring dengan muzik ambien dan puisi lirikal, lagu-lagu kumpulan A.Limin dikatakan sangat menenangkan.
MV untuk beberapa lagu dari album kedua ini telah dalam perancangan namun mereka masih berusaha mendapatkan sebarang kolaborasi dan penaja daripada mana-mana pihak yang sudi bekerjasama.
Pratonton atau previu (trailer) untuk album ini boleh ditonton di laman twitter dan instagram mereka.
Album sesudah melakar langit boleh mula dinikmati di aplikasi penstriman muzik Spotify bermula pada 1 Januari 2022 manakala, album rilisan fizikal dijangka hanya akan siap dan boleh dibeli secara atas talian pada bulan Februari 2022.
Ikuti A. Limin di:
Instagram: a.liminofficial
Twitter: ALiminOfficial
Spotify: A. Limin