Tahun 2021 boleh dikatakan tahun yang amat menguji kita ekoran kes positif Covid-19 yang mencanak naik saban hari walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diadakan berulang kali. Agak kecewa dan dalam masa yang sama membimbangkan penulis tentang keadaan yang berlaku sedangkan negara lain sudah mula bebas ke sana ke mari. Kita? Bak kata AG Coco “Dimulakan dengan 2 minggu, disudahi dengan berminggu-minggu.”
Tapi tidak mengapa. Buat yang berada di rumah, penulis ingin berkongsi beberapa album dari kugiran tempatan yang boleh kalian dengar dan nikmati ketika lockdown ini. Untuk pengetahuan, kesemua Album/EP ini merupakan rilisan pada tahun 2020/2021 yang sempat penulis dapatkan.
1. Jemson – Jemson
Rindu Rock ‘n’ Roll? Semestinya kalian harus dengar album pertama Jemson yang dilancarkan pada 2021 ini. Walaupun dalam situasi pandemik, duo Myo dan Najmi kekal hensem dan mampu menyelesaikan rilisan ini dengan pakej yang amat menarik, bukan sahaja dari segi luaran, malah isi dalamnya juga amat menggerunkan. Campuran riff gitar yang kejam dari Najmi dan vokal Myo yang sesuai dengan tema Rock ‘n’ Roll yang dibawa memberi sebuah positiviti dan memuncakkan adrenalin. Bukan itu sahaja, mereka turut membawa impak yang lebih baik berbanding EP sebelum ini iaitu Balada Cinta Kosmos. Walaupun kesemua lagu dari EP telah diserap masuk ke dalam album ini, ia adalah apa yang semua harapkan. 12 lagu, cover art cantik, apa lagi korang nak? Belilah album mereka ini dan hadapilah hari-hari yang mendatang. Kegemaran Penulis? XPDC dan Nostalgia. Rindu travel woi!!!
2. Dependent – Kopi Ais, Ikat Tepi
Kugiran Indie-Punx yang berasal dari Ampang ini telah melancarkan album pertama mereka di saat berlakunya pandemik dan tidak ramai yang perasan akan kehadiran album ini. Hanya bermula dari kawan-kawan, terjadilah Dependent. Untuk album ini, penulis seronok mendengar hasil karya anak-anak Ampang ini dari pelbagai sudut lebih-lebih lagi lirik mereka yang easy listening dan hensem. Tema masyarakat yang mereka bawakan untuk album ini sangat berhasil dan seharusnya album ini terjual lebih banyak daripada yang sepatutnya. Kalian boleh dapatkan album ini di Instagram mereka dan kegemaran penulis untuk album ini? Penipu Besar, Berhenti dan Minum Kopi. Dependent memang power!
3. Consecrate – Trials (EP)
Secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran, Consecrate, sebuah band hardcore dari Kuala Lumpur ini telah melancarkan EP mereka pada tahun 2021 dan pada tahun lepas juga mereka terlibat dengan beberapa siri gig dalam talian. Paling mengejutkan, vokalis mereka boleh scream sambal main drum, agak rare di zaman kini di mana kita jarang melihat pemain drum boleh bermain drum sambil menyanyi atau scream dan satu kelainan lagi yang dibawa ialah mereka turut menyuntik variasi seperti emo, grunge, dan hardcore ke dalam muzik mereka. Pada pendapat penulis, Consecrate boleh diibaratkan sebagai permata yang mampu bersinar dan dapat bersaing sebaris dengan band yang lain. Love Like This dan Trials Tribulations merupakan pilihan penulis untuk EP mereka.
4. Krusty – Kill Your Enemy
Anda lapar muzik keras yang medium rare? Krusty ada jawapannya. Ya, Krusty! Sebuah band hardcore Kuala Lumpur yang secara jujurnya telah menawan hati penulis bukan sekadar muzik yang keras namun lirik mereka yang boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian. Kill Your Enemy ini penulis boleh katakan sebuah masterpiece yang mampu memberi impak dari generasi ke generasi. Dan jika diamati setiap trek dalam album ini, penulis merungkaikan persoalan kenapa Kill Your Enemy dijadikan tajuk dan jawapannya ialah musuh yang sebenar datang dari diri sendiri bukan dari orang lain. Bak kata Alwee, “Jangan jadi R@cist, Fck Off F@scist!” haa gitu. Dan boleh dikatakan album ini merupakan album muhasabah diri dari mereka buat insan yang sering kecewa dengan manusia durjana #sajeselit. Kegemaran penulis semestinya Bond by Blood dan Filthy Leech. Kalian boleh dapatkan album ini melalui Instagram mereka @krustyhc dan selamat mendengar.
5. Bright Minder – Neology (EP)
Jika kalian peminat muzik instrumental, mereka inilah yang harus kalian dengar. Bright Minder bermula pada tahun 2020 dan boleh dikatakan cepat dalam sudut pembikinan lagu dan dapat melancarkan EP mereka dalam masa yang singkat. Dari sudut EP ini, penulis boleh nyatakan bahawa Neology merupakan kickstart yang terbaik dari mereka dan mengingatkan penulis kepada beberapa band instrumental seperti Intervals, Polyphia dan Chon. Jika Malaysia mempunyai Chakoy sebagai jelmaan Chon, kini kita mempunyai Bright Minder sebagai jelmaan Intervals. Kegemaran penulis? Sheren dan Median.
Itu sahaja nukilan penulis untuk kali ini. Mungkin ada rilisan lain yang penulis terlepas pandang namun tidak mengapa. Biarkan semuanya berlalu dan jika ada rezeki, kita akan bersua kembali. Adios!!