Semalam 24/7/2022, ramai dikejutkan dengan serbuan oleh pihak berkuasa DBKL ke atas Angkasa Space, satu premis yang aktif mengendalikan gig-gig, show dan acara muzikal independen.
Dah rindu, @AngkasaSpace. pic.twitter.com/54U89lYTfr
— Uncle Elmi (@ELMIELMO) July 24, 2022
Ia dikatakan membabitkan satu gig Hiphop yang membariskan beberapa aksi baharu seperti Nakalness, Quai, Guccimith dan lain-lain.
Menurut sumber, serbuan disebabkan premis tidak mempunyai lesen hiburan yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa bagi mengendalikan acara-acara hiburan.
Ada juga yang berkata ia disebabkan aduan sesuatu pihak kepada pihak berkuasa (dah 2022, masih ada orang report sana-sini?) namun akhirnya, premis akan tetap diperiksa juga dari segi pelesenannya.
Dianggarkan, tidak kurang 30 premis yang mengendalikan secara independen (bermakna bukan berasaskan perniagaan semata-mata atau didanai sektor korporat) di seluruh Malaysia.
DBKL suruh setiap gig buat lesen hiburan. Lesen hiburan kena bayar deposit DBKL RM30k. Nak dapat balik RM30k tu, kena tunggu lebih 4 bulan.
Aku pernah buat, bukan tak pernah. RM30k tu bukan untuk orang dalam scene kita. Amount tu besar kot.
— Uncle Elmi (@ELMIELMO) July 24, 2022
Menurut sumber juga, jumlah lesen hiburan dikatakan mencecah RM30,000 setahun atau setiap kali acara.
Jumlah RM30,000 yang dikenakan ini adalah karut dan sangat tidak munasabah. Sekiranya benar, ia bermakna setiap bulan pengusaha perlu menyediakan RM2,500 untuk lesen sahaja, tidak termasuk kos sewa, elektik dan gaji pekerja (biasanya krew audio) – sesuatu yang tidak masuk akal bagi operasi perniagaan seperti ini.
Kadang-kadang, pengusaha-pengusaha ini hanya mendapat keuntungan minima sahaja kerana kebanyakan mereka sanggup melakukannya atas dasar minat semata-mata.
Kecualilah jika ada tangan-tangan ghaib yang mahu mengawal (monopoli) pasaran gig-gig independen ini lalu memberi tekanan secara sistematik kepada pengusaha-pengusaha kecil-kecilan ?
Isu ini perlu ditangani dengan visi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang mana mereka perlu dipupuk dan disokong, bukan direnjat atau dijerut.
Seperti PKS yang menjadi tunjang ekonomi lokal, premis-premis muzik imdependen ini juga adalah tunjang yang membentuk ekosistem budaya maju kepada generasi anak-anak muda.
Di premis-premis sebeginilah, lahirnya nama-nama gah yang terbukti berbakat dan memberi sumbangan besar kepada peradaban negara.
Kita ambil contoh satu sahaja, Sekumpulan Orang Gila (SOG).
SOG bermula sebelum 2012 lagi dengan membuat persembahan di premis independen dan gig-gig kecil serata Malaysia dan kini, lihatlah keberadaan mereka dalam industri seni setanding dengan karyawan-karyawan arus perdana lain. Beribu-ribu band dan anak muda di Malaysia telah mendapat pendedahan dan eksposur di kancah-kancah premis sebegini.
Di sini, semua pihak terutama para artis, karyawan yang berlandaskan independen perlu bersatu hati tidak kira apa genre dan ideologi sekalipun.
Serbuan ini bukan kepada Angkasa sahaja, tetapi satu bentuk penindasan yang mengancam kesuburan kreativiti berkarya.
Berpeluk tubuh, lari sembunyi atau tutup mata bukan pilihan, bayangkan sekiranya semua band independen diwajibkan membuat pendaftaran seperti budak tadika atau dikuatkuasa membayar yuran persembahan (macam wang perlindungan) pula selepas ini.
Kebebasan disekat, keghairahan disagat dan akhirnya, kita hanya menjadi pak turut arus perdana dan penguasa.
Kreativiti perlu seiring dengan kebebasan ekspresi, dan di premis-premis seperti Angkasa Space lah generasi muda mendapat kebebasan untuk berkarya, mempamerkan kebolehan artistik dan menampilkan persembahan di hadapan orang ramai secara positif.
(Pernahkah anda terfikir mengapa golongan muda yang lebih ‘celik’ sering menjadi sasaran di negara kita ???)
Orang-orang politikus tua atau karyawan-karyawan elitis industri mungkin tidak peduli, tapi hakikatnya suara kita lebih besar daripada mereka kerana komuniti golongan independen inilah yang sebenarnya menggenggam era masa depan muzik dan kemajuan negara.
Solidariti kepada Angkasa Space dan premis-premis muzik independen yang lain.
#ChivasAlexandria