“Bagi Kami Rap Bukan Kerjaya, Tetapi Sebahagian Daripada Hidup” – 5 Soalan Bersama 5Forty2

oleh Mohd Aqil Aiman
4.2K bacaan

5Forty2 dari kiri: Naramerah, Dment Si Lain, Orfeus, Phonic dan Wizzdome.

 

“Mari dengar cerita budak-budak zaman sekarang” merupakan petikan lirik daripada anthem Ushahidu (Budak Zaman Sekarang) yang telah menaikkan nama 5Forty2 lebih kurang 12 tahun lepas dan masih diingati sehingga kini kerana kritikannya yang pedas dan kena dengan masalah sosial remaja ketika itu.

Dalam scene Hip Hop Malaysia, 5Forty2 boleh dikategorikan sebagai legenda oleh penggiat dan pendengar Hip Hop kerana mereka sudahpun bertapak lama sejak tahun 2003 lagi. Keramat, Kuala Lumpur menjadi tapak bermulanya mereka  meluaskan empayar 5Forty2 sehingga dikenali di setiap pelusuk negara.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan melempar beberapa soalan kepada ahli-ahli 5Forty2 menerusi Phonic dan boleh dibaca secara penuh di bawah.


MAMY : 5Forty2 bukan nama asing dalam scene Hip Hop Malaysia. Masih segar dalam ingatan tahun lepas apabila kecoh tentang filem BABI oleh Namewee di mana ahli-ahli 5Forty2 terlibat sama dalam MV rasminya. Rasanya ini kali ketiga korang bekerjasama, kan? Bagaimana lagu Happy Family dihasilkan dalam situasi pandemik tahun lepas dan apa pendapat korang tentang reaksi yang diterima?

Phonic : Sejujurnya kalau lagu kolaborasi dengan Nemwee, ini adalah yang kali keempat, dan macam mana ia dihasilkan ketika pandemik adalah mudah. Kena ada “cable” yang kuat. Hahaha! Lagu dan MV untuk OST filem Babi dah siap sebelum pandemik melanda dan diperam sehinggalah filem tersebut dicalonkan di Golden Horse Award dekat Taiwan dan ditayangkan dekat sana barulah lagu tersebut rilis. Reaksi diterima ramai yang suka isu yang diketengahkan dalam lagu tersebut berkenaan isu sistem pendidikan negara sebab tak ramai yang berani menyentuh topik-topik sedemikian dalam Rap.

MAMY : Sembang Mambang yang baru sahaja dikeluarkan oleh 5Forty2 menyentuh pelbagai isu sosial dan politik. Boleh tak kongsikan kepada kami tentang latar belakang lagu ini dan ditujukan kepada siapa?

WizzDome : Asalnya lagu ini kita work out guna topik lain dengan salah sorang komposer kita, Damak. Lepas dengar semula dan buat rearrangement semua, kita decide untuk go dengan topik seperti yang ada dalam lagu sekarang. Konsep sembang santai di kedai kopi ni kita guna sebab sinonim dengan realiti cara hidup masyarakat di Malaysia. Gaya rap perbualan bersahaja kita gunakan untuk menghidupkan lagi penceritaan dalam lagu tersebut.

Topik perbualan tu memang kita biasa dengar pun, terutamanya waktu sekarang dengan cabaran pandemik dan sebagainya. Masih lagi kombinasi sosial, politik dan ekonomi dengan isu sosial kita sentuh tentang ketagihan, isu politik tentang politikus haprak, dan juga isu ekonomi tentang kewangan masyarakat. Ilmu tuju tu tak ada la cuma apa yang kita percaya adalah cabai pedas ni memang terasa sangat pada yang makan la kan. Belasah sebalang cincau pun tak boleh hilang pedas tu.

MAMY : 5Forty2 mungkin unit Hip Hop paling unik dan berani dalam scene sekarang. Lirik dan isu yang korang ketengahkan melawan arus dan berbeza dengan rapper-rapper lain. Apa visi korang masa mula-mula tubuhkan 5Forty2 dulu dan bagaimana korang boleh bertahan sampai sekarang?

Orfeus : Pada awal penubuhan 5forty2 keinginan kitorang mudah, nak luahkan apa kitorang rasa dengan bahasa yang kitorang selesa, sebab rap Bahasa Inggeris lebih mendominasi scene waktu tu. Sebab tu slogan kitorang awal-awal dulu “Kami datang, kami lihat, kami cerita.” Sebab tu lagu kitorang ada isu sosial, politik, masyarakat sampailah kepada benda yang ramai hadap hari-hari macam lagu Trafik Jam. Kitorang masih ada sampai hari ni barangkali sebab kitorang tak anggap rap sebagai kerjaya tapi sebahagian daripada hidup. Sebagai suatu yang perlu diteruskan dan terus diperbaiki.

MAMY : Rata-rata peminat mengetahui bahawa DMent Si Lain memang mengenakan topeng ketika menghasilkan MV, di dalam media sosial dan ketika di atas pentas. Kenapa?

DMent Si Lain : Kerana DMent Si Lain lebih selesa untuk tidak dikenali wajahnya. Siapa di sebalik topeng adalah tidak penting kerana DMent Si Lain mahu orang ramai menilai lirik lagunya dan karyanya.

MAMY : Ada ura-ura mengatakan 5Forty2 sudah bersiap sedia dengan album pertama dan banyak projek yang akan menyusul kelak. Betul ke?

NaraMerah : Ya betul ura-ura yang didengari itu. Boleh dikatakan album pertama ni dah di peringkat akhir untuk dikeluarkan. Walaupun perancangan kita untuk rilis lebih awal tapi pandemik yang melanda telah memaksa kita menangguhkannya kerana proses penghasilan sedikit sebanyak tergendala kerana turut terkesan. Walaubagaimanapun sebaik sahaja banyak kelonggaran diberi, kita akan meneruskan segala proses dan kini kita berada di peringkat akhir.

Ikuti 5Forty2 di:

Facebook
Instagram
YouTube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅