Bangun Showcase: A.C.A.B Di Kelas Tersendiri

oleh Rahmat Mohd Did
2K bacaan

Kredit: Iskandar Ayoi

Dalam masa dua tahun terdekat ini, kita telah disajikan dengan dua persembahan untuk meraikan album yang tidak sempat dipromosikan sewaktu ia diterbitkan. Pada tahun 2022, Barbarik yang dianggotai Jo Branko dan Muss telah menganjurkan Pentas Keras bagi meraikan album Mr. Barbarik (2000) manakala yang terbaharu, A.C.A.B telah menganjurkan Bangun Showcase bagi menjelmakan keseluruhan album Bangun (2004) secara langsung di hadapan peminat.

Penganjuran sebegini biasanya akan membawa hype dan antisipasi yang positif, lebih-lebih lagi kepada peminat fanatik kugiran tersebut yang mengikuti diskografi mereka secara dekat. Umpama dendam yang lama terpendam, banyak cerita di sebalik tabir yang boleh dikongsi sebagai strategi pemasaran jualan tiket.

Begitulah yang berlaku di Bangun Showcase yang telah diadakan di Bentley Music Auditorium, Mutiara Damansara pada 3 Disember lepas. Elemen hype ke atas rilisan yang diterbitkan 19 tahun lepas ini berjaya mengumpul 800 orang peminat A.C.A.B untuk membanjiri venue. Full house!

Bangun Dari Tidur…Bangun Orang Timur!

Bangun merupakan kesinambungan album Orang Timur (2002) yang menyaksikan A.C.A.B memberi penghormatan tertinggi terhadap idola mereka, SYJ dengan merakam semula rima-rima balada dan berontak melawan arus yang diterbitkan kugiran rock legenda dari Ipoh, Perak tersebut. Melihat kepada sambutan menggalakkan daripada peminat, A.C.A.B merasakan mereka perlu dan mampu untuk menerbitkan album penuh dengan lagu-lagu sendiri dalam irama heavy metal dan street rock.

Ia merupakan sebuah game-changer dalam industri ketika itu dan testamen bahawa tiada masalah bagi sebuah band yang dikenali sebagai perintis muzik Oi! dan gerakan Skinhead tempatan untuk mengubah haluan demi sebuah keinzalan muzikal yang diidamkan. Music has no boundaries, is it?

Selain mastermind Megat di posisi vokal dan gitar, album Bangun turut mendapat khidmat Fazli aka Botak di bahagian gitar utama, Anas menggalas tugas pemain bass dan Irfan sebagai pemain dram. Setiap individu memainkan peranan sebaiknya dalam penghasilan magnum opus ini lebih-lebih lagi Fazli sebagai guitar hero yang disegani ketika itu. Dua elemen paling kuat dalam album ini; riff-riff ala Iron Maiden dan solo gitar ala Randy Rhoads yang sangat mengasyikkan. Memang kena betul dengan tekak mat rock pada waktu itu. Produksi album ini juga dijalankan dengan sangat baik menjadikannya kekal relevan sehingga hari ini.

Mimpi Basah Geng Botak

Wisma Bentley Music sudah dibanjiri skinhead, mods dan skingirl seawal jam 3 petang lagi dengan pelbagai gaya yang pernah menjadi fenomena di malaysia lewat 90an sehingga pertengahan 2000an dahulu. Ternyata kultus ini belum pupus dan legasinya masih diteruskan oleh anak-anak muda generasi baharu.

Dianjurkan oleh A.C.A.B Productions, pengurusan masa di Bangun Showcase wajar dipuji. Kesemua supporting acts yang bermain hari itu termasuk DJ Soul Boss, Incase, The Boicott, Combination 69, Oi! Frequency, Zero One Heroes, The Hard Crop’s dan The Murphys  menepati jadual yang telah ditetapkan dengan muzik yang pelbagai warna. Sistem audio yang disediakan oleh Timeless Studio juga tidak menghampakan, ditambah lagi venue yang sangat selesa.

Chaos bermula sekitar jam 7.50 malam sewaktu set The Hard Crop’s. Walaupun masih baru, band ini mempunyai bala penyokong yang tersendiri, membuat lantai dansa di venue Music Auditorium bergema dengan singalong dan pogo. Ketika set The Murphys, venue sudah hampir penuh dengan geng kepala botak. Semuanya sudah tak sabar-sabar untuk melihat band pujaan mereka beraksi.

A.C.A.B mengambil alih pentas dengan barisan anggota paling ikonik mereka; Megat (vokal/gitar), Edy J (gitar), Anas (bass) dan Zul (dram) dan terus membuka pentas dengan lagu Bangun. Seawal not pertama, keterujaan peminat sudah tak tertanggung lagi. Bagai mimpi basah, semuanya bersorak meraikan band legenda ini menggegar acara.

Walaupun kualiti bunyi agak tidak seimbang di awalnya, ia beransur-ansur pulih kemudiannya apabila A.C.A.B memainkan lagu Hasutan Syaitan yang ditujukan khas untuk warga Palestin yang tertindas. Megat sempat berseloroh sebelum lagu Kehampaan dimainkan,

“Lagu ni aku tulis sebab aku ingat Edy J memang dah taknak balik dengan A.C.A.B dah.”

Set mereka diteruskan dengan lagu Perjuangan di mana belum sempat lagu habis, dah ada yang bergaduh kat bawah. Masa ni aku betul-betul kagum dengan abang-abang sekuriti. Tindakan tegas mereka berjaya mendamaikan crowds tak sampai lima minit. Syabas!

Malapetaka, Sengketa, Berganding Tangan dan Milik Kita menghangatkan lagi acara pada malam itu. Walaupun aku sangat teruja melihat lagu-lagu yang jarang dan ada yang tak pernah dimainkan secara langsung ni, jauh di sudut hati teringin betul nak tengok Fazli turut terlibat menggentel solo-solo beliau di atas pentas. Setahu aku, beliau tak pernah main live dengan A.C.A.B. Tapi apakan daya, mereka tidak berjaya mengajak Fazli bersama atas sebab-sebab peribadi. Apapun, benda ni tetap aku letakkan dalam bucket list. Kalau suatu hari nanti jadi realiti, dah tentu aku akan hadir dan support.

Set pertama A.C.A.B yang menampilkan kesemua lagu dari album Bangun disudahi dengan lagu Genggam yang aku rasa bukan tahap inzal lagi dah, tapi dah pancut terus! Betul-betul nostalgik dan membuai jiwa betul. Seluruh venue bernyanyi bersama dan betul-betul menghargai momen indah tersebut. “Genggam tanganku…ku bawa bangunkan kau semula….”

Dalam hidup ni, tak semua yang kita idamkan akan jadi kenyataan. Namun malam tu memang special. Rugi betul siapa tak pergi sebab tak semena-mena, Megat menjemput vokalis legenda tanah air, Amir SYJ/Sofea ke atas pentas. Venue jadi gamat. Gila kau, Amir SYJ kot! Majoriti yang hadir pasti tak sangka macam mana Amir boleh terlepas ke Damansara untuk support band berlainan generasi. Selepas memperkenalkan diri serba sedikit, dia pun nak lari turun tapi muka Megat masa tu dah berseri-seri. Mana boleh idola blah macam tu je. Mesti pekena satu lagu! Magis pun terjadi. A.C.A.B akhirnya bergabung dengan Amir SYJ untuk mempersembahkan lagu Orang Timur buat pertama kali. Momen macam ni jarang-jarang terjadi dan dah tentu akan terpahat dalam lipatan sejarah rock negara. Dengan SYJ sendiri pun dia liat nak reunion, sekali dengan A.C.A.B selamba je dia henjut! Epik!

Acara kemudian diteruskan dengan set kedua yang unik. Peminat sendiri request A.C.A.B nak main lagu apa! We Are The Youth, We Are A.C.A.B, Skinhead For Life dan Where Have All the Bootboys Gone menamatkan Bangun Showcase dengan gilang gemilang sekitar jam 11 malam. Cuma rasanya ramai yang masih tak puas dan mengharapkan lebih banyak lagu klasik A.C.A.B dimainkan lagi. Mungkin lain hari?

We’re Coming Back, You Got To Believe It’s True

https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=pfbid0Q7vyF1HceQSWfunAZapUmyYMnmcYFhUwyDheKyaNtkvsJXa58hAMaQU9VpmQaETFl&id=100069395444767

Tahun hadapan, A.C.A.B bakal meraikan ulangtahun ke-30 mereka dan setakat ini, masih belum ada sebarang pengumuman tentang pelan mereka untuk menyambutnya. Mungkin Showcase meraikan album This is the A.C.A.B, atau mungkin juga sebuah konsert besar-besaran yang akan mengumpulkan kesemua ahli yang pernah bersama mereka sejak daripada mula.

Ura-ura tentang reunion ini telahpun dikongsikan oleh Megat sendiri di laman Facebooknya baru-baru ini dan aku benar-benar, sangat-sangat mengharapkan Fazli kembali terbuka hati untuk bersama A.C.A.B sekali lagi. Semoga ada sinar untuk kita semua!

Akhirukalam, aku yang tak pernah jadi Skinhead ni sangat enjoy dengan apa yang dihidangkan oleh A.C.A.B pada malam itu. Muzik mereka telah menjadi anthem era remaja aku dan boleh kata lirik-lirik mereka juga membentuk jati diri aku dalam melihat dunia dari sudut berbeza.

Tahniah kepada A.C.A.B dan semua tenaga kerja yang terlibat. Semoga ada rezeki untuk berjumpa lagi di lain hari. Zigger zagger, zigger zagger, Oi! Oi! Oi!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅