Tujuh tahun lagi menjelang 2030, ancaman Black Metal hasil propaganda majalah Mastika masih kuat menebal dalam kalangan masyarakat arus perdana.
Baru-baru ini, sebuah gig berkonsepkan perkhemahan alam sekitar; Chaos In Rumah Api (CIRA) di Kem Isi Rimba, Kemensah Selangor telah diserbu pihak berkuasa pada 9hb Disember 2023. Akibatnya, gig yang dijadualkan 2 hari 9-10 Disember terpaksa dibatalkan.
Ceritanya menurut sumber serta kenyataan rasmi CIRA, segelintir penduduk tempatan yang menyedari kehadiran sejumlah anak muda berpakaian hitam yang mereka syaki sebagai pengikut Black Metal telah membuat laporan di balai polis. Susulan dari itu, serbuan telah dibuat namun sebaliknya, gig ditamatkan bukan kerana anasir Black Metal tetapi kerana kegagalan pihak kem menyediakan dokumen permit yang diperlukan.
Untuk rekod, Chaos in Rumah Api (CIRA) ialah acara tahunan yang menghimpunkan kumpulan-kumpulan Hardcore Punk tempatan dan sekitar Asia Tenggara seperti Changes, Explicit, Turtles Jr (ID) termasuklah yang lebih ternama seperti No Good, Sweetass dan Johnny Comes Lately dan kini telah memasuki musim ke-7.
Peristiwa ini berlaku tidak kurang sebulan dari kejayaan konsert Coldplay yang berlangsung dengan kehadiran hampir 80,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil 24 November lepas.
Tiada makluman tahanan namun puncanya pastilah akibat ‘jangkitan’ panik masyarakat terhadap konsert Coldplay terutama golongan konservatif yang telah membantah dan melakukan siri protes terhadap Coldplay sehingga menjadi isu nasional.
Nyata, jangkitan panik ini tidak hanya menyasarkan konsert antarabangsa, tetapi menular ke gig-gig kecil punk hardcore juga!!!
Alasan berpakaian seksi, LGBT pelangi, moral dan tuduhan ekstrim liar lain seperti sembah dajal adalah yang popular diratib oleh golongan panik konsert ini. Anehnya, rancangan arus perdana seperti Gegarvaganza di Astro dan TV3 sekadar beberapa nama menurut hemat pihak yang lain pula tidak mendapat ancaman malah di’sijil-halal’kan – menunjukkan layanan ‘double-standard‘ kepada arena hiburan yang berada di luar naratif arus perdana.
Kini, gig hardcore punk yang hanya diraikan oleh sebahagian yang memperjuangkan mesej positif seperti hak asasi manusia dan penentangan ketidakadilan sistem juga tidak selamat.
Selain hardcore punk, ‘scene’ kecil muzikal tempatan lain yang turut menerima tempias dan ancaman panik konsert ialah ‘Step’ (Gogo) serta dangdut koplo.
Persoalannya, sampai bila kita harus berteleku dengan sentimen masyarakat arus perdana dan golongan panik konsert sebegini? Tidakkah telah sampai masa kita bangkit dengan hiburan sebenar berkualiti yang jauh dari hipokrasi dan sentimen sempit masyarakat perdana?
Menyerah kalah? Jauh sekali, memetik seperti kata pepatah seorang ikon dulu-dulu, ‘Making Punk, Step and Koplo a Threat Again’!
#ChivasAlexandria