Black Sabbath Sempat Hisap Dadah Semasa Rakaman Album ‘Vol 4’ (1972)

oleh Chiv Iscandar
2.3K bacaan

Black Sabbath mencapai kemasyhuran sebagai pelopor muzik Heavy Metal yang kita kenali hari ini. Banyak rahsia mereka antaranya menjadi pemula ‘Kord Syaitan’ yang dikatakan merupakan prasyarat untuk menempa kegemilangan dalam industri Rock.

Dua album terawal mereka iaitu ‘Black Sabbath‘ dan ‘Paranoid‘ (1970) serta-merta menjulang kejayaan besar apabila meraih carta muzik British dan Billboard US dengan lagu-lagu klasik yang kamu dengar sehingga kini seperti ‘The Wizard‘, ‘Paranoid‘, ‘War Pigs‘ dan ‘Iron Man‘. Apatah lagi, kedua-dua album direkod dalam tahun yang sama 1970. Kemudian, ia disusuli dengan album ‘Master of Reality’ (1971).

Jadi pada tahun 1972, tibalah masa mereka membuat rakaman susulan bagi album ke-4 maka hasilnya ialah ‘Vol. 4’ iaitu album yang mengandungi banyak riff yang sofistikated, ‘sound’ yang besar serta kualiti rakaman yang sangat mendepani masa depan waktu itu.

Di sebalik pembikinan album Vol. 4 itu, Black Sabbath yang dianggotai Ozzy Osbourne, Tony Iommi, Geezer Butler, dan Bill Ward sebenarnya telah merekod satu karya agung yang bersumber inspirasikan dadah (kokain, LSD).

Menurut sumber, invois bagi kos pembikinan album itu ialah $65,000 tetapi invois bagi bil kokain ialah $75,000!

Album Vol. 4 disifatkan mereka sendiri mengandungi elemen-elemen kelembutan tertentu yang tidak didapati dalam rekod-rekod sebelumnya.

Lagu ‘Snowblind‘ yang dikira trek terbaik dalam album itu adalah lagu mereka tentang kokain yang menggambarkan penagihan mereka kepada dadah tersebut ketika itu.

Lagu ‘Changes‘ yang berentak rock balada mencapai legasi paling panjang dengan meraih carta muzik antarabangsa pada tahun 1993 di tengah-tengah kancah era Alternative apabila Ozzy merakam semula secara solo. Lagu itu dicipta semasa proses pembikinan album ketika Tony memainkan satu irama merdu secara piano dan dengan spontan, Ozzy, Geezer dan Bill melengkapkan keseluruhan dasar lagu hanya dalam satu malam. Pastinya, selepas ‘sedut’ bukan?

Lagu ‘Laguna Sunrise‘ pula adalah karya epik gitar instrumental yang apabila kamu mendengarnya, ia seolah-olah dicetuskan ketika berada di ‘alam’ yang lain, sangat majestik dan penuh misteri tetapi sarat dengan ‘kejelitaan’ bunyi.

Agak-agak, bagaimana Tony Iommi memperoleh makrifat untuk mencipta lagu akustik yang indah sebegitu rupa?? Ko ghase…??

Semasa itu, mereka menganggap kokain adalah ‘status’ kejayaan dan benda yang positif namun akhirnya mengakui ia tidak membawa apa-apa makna.

“Kami adalah raja di dunia ketika itu dengan rekod album Heavy Metal paling berjaya dan didengar jutaan orang, jadi kokain menjadi pelampias kemahsyuran. Tapi akhirnya kami tahu ia hanyalah khayalan yang merosakkan. Musibat, tapi kami sudah puas (isap kokain)”

Dari Gudang Satanik Birmingham ke Banglo Mewah California

Dari sebuah studio gudang buruk di Birmingham, UK yang merupakan tempat asal mereka merekod 2 album Black Sabbath dan Paranoid (1970), mereka kemudiannya ditawarkan oleh Warner Bros untuk menjalani rakaman album Vol. 4 (semasa itu, tiada software atau plugins ok!) di California, USA. Mereka turut dijemput menginap di sebuah banglo mewah kepunyaan jutawan-filantrofis John Du Pont (yang anehnya mati di penjara atas tuduhan bunuh) di Bel-Air, California yang juga diubahsuai menjadi studio rakaman muzik.

Di situlah, mereka menemui lebih banyak ‘syurga’ (dan mimpi ngeri) dalam bentuk dadah rekreasi.

Menurut cerita, setiap hari mereka akan didatangi oleh tokan yang berpura-pura menjadi pembasuh baju, sebaliknya dia membawa serbuk kokain dalam beg sabun basuh!

Di banglo itu juga, mereka akan sering didatangi pemuzik-pemuzik lain antaranya yang paling kerap Pete Townshend (The Who) dan krew-krew Deep Purple.

Banyak kisah yang terjadi semasa rakaman album Vol. 4 tersebut terutama ketika tinggal di kejiranan mewah California. Suatu hari, mereka mengadakan parti tetapi telah dikepung polis yang tidak semena-mena datang ke rumah. Rupa-rupanya Ozzy telah tertekan butang alarm di dapur semasa sedang setim!

Kisah itu turut dimuatkan dalam lagu solo beliau ‘It’s The Raid!’ yang turut menampilkan rapper Post Malone.

Album Vol. 4 ini akhirnya menjadi antara album Black Sabbath paling sukses, dalam konsensus ranking 100 album Metal terbaik dunia, Vol. 4 berada di tangga ke-14 di belakang album Black Sabbath dan Paranoid.

Walaupun terpalit dengan dadah semasa pembikinannya, Black Sabbath mengakui Vol. 4 adalah titik-tolak bagi penemuan evolusi muzikal yang lebih matang dan artistik bagi mereka. Kini, segalanya hanya kenangan dan Ozzy sendiri menyesali bergelumang dengan dadah kokain semasa muda tetapi rakaman keindahan dalam Vol. 4 adalah testamen yang menurutnya, “Kami semua insan biasa, kami buat silap di studio dan di mana-mana, tapi itulah perkara yang membuatkan kita kekal kembali dengan nilai kemanusiaan‘.

Nota kuku: Artikel ini ditulis pada 13 Februari 2021 ialah hari ulangtahun kelahiran ke-51 album debut mereka ‘Black Sabbath’ (1970)

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅