
trails. dari kiri: Asyraf, Rashid. Hanif, Azer dan Rafiq
Kugiran dari Kuala Lumpur yang memperjuangkan genre Post-Metalcore/ Ambient dengan sedikit sentuhan Blackgaze ini telah selamat menerbitkan album pertama mereka pada 31 Oktober 2021 yang berjudul All Will Be Well (AWBW), selepas kejayaan dan fanbase yang dibina teguh pada 2018 melalui EP Towards Better Things, meskipun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dalam pembikinannya akibat pandemik yang melanda dunia.
Apa yang membuatkan trails. tampak unik dan berbeza berbanding band lain adalah variasi gaya vokal Hanif yang mampu meremangkan bulu roma, blasting drums yang menggegar jiwa serta permainan instrumental yang progresif di samping turut menekankan nuansa ambient dan atmosfera moody.
Pihak MAMY sempat menemubual vokalis dan gitaris utama mereka, Hanif dan Rafiq bagi mengetahui lebih dalam lagi apakah sebenarnya isi tersirat yang terkandung dalam album ini. Ayuh kita terlusuri bersama.
MAMY: Bagaimana Diffansina boleh jadi penyumbang untuk lirik "Lukalara?" Adakah pernah terlibat dalam mana-mana projek bersama ahli band atau memang kenalan rapat?
Hanif:
Saudari Diffansina merupakan kenalan lama sebelum kewujudan kumpulan trails. lagi. Diffansina yang juga sebahagian dari Violane Booking pernah menjemput trails. bermain untuk acara anjuran mereka. Kolaborasi Saudari Diffan untuk “Lukalara” terjadi atas sebab kebolehan beliau menulis bait-bait puitis dalam bahasa Malaysia yang jujur dari hati beliau, dan sejajar dengan tema album trails. kali ini.
MAMY: Selepas EP Towards Better Things, mengapa terdapat gap yang agak panjang? Adakah trails. dalam status hiatus ketika itu? Tak risau fanbase yang telah dibina awal dulu akan lari/hilang?
Hanif:
Sebenarnya proses writing untuk material baru (AWBW) sudah bermula sejak awal 2019. Proses rakaman dan pre-produksi sudah dimulakan pada akhir 2019. Namun segala perancangan besar termasuk album dan touring telah dibunuh dengan kedatangan virus Covid19. Sebagai pemuzik yang masih perlu ada “day-job” untuk survive, seperti mana rakyat marhein yang lain, kami terkesan dari segi financial dan mental sepanjang perintah berkurung. Secara tidak langsung segala creativity process juga terbantut dan terpaksa menumpukan dahulu kepada perkara-perkara yang lebih penting.
Rafiq:
Kami sangat bersyukur kerana fanbase masih ada dan tidak berputus harap dengan kami. Pra-Tempah AWBW sangat memberangsangkan dan kami dapati nama-nama yang pernah membeli debut EP kami dahulu masih ada, bukti kesetiaan mereka. Terima kasih diucapkan dari kami kepada semua yang memberi sokongan secara fizikal dan mental.
MAMY: Boleh kongsikan dengan MAMY apakah tema yang cuba kalian tampilkan dalam album "All Will Be Well" ini?
Rafiq:
Setiap note dan riffing dalam album ini dihasilkan dari ekspresi dan perasaan aku bila berdepan dengan isu-isu keruntuhan institusi kekeluargaan, yang seringkali berlaku dekat dengan kita. Dari segi sound dan composition pula, setiap anggota kumpulan mempunyai background music yang berbeza dan kami cuba menghasilkan sesuatu yang tidak typical untuk disajikan kepada audience. Secara asasnya, setiap melodi yang ada dlm lagu merupakan “lirik” bagi aku untuk diceritakan.
Hanif:
Ya. Tema “All Will Be Well” secara keseluruhannya adalah berkenaan isu kekeluargaan. Dari isu parental abandonment, kehilangan anak kecil, cabaran membesarkan anak anak autisme hinggalah isu domestic violence against children, child abuse and negligence, lost, rape and murder. Sebagai bapa, isu-isu sebegini amat terkesan tiap kali keluar di berita berita dalam dan luar negara.
Cukup dengan temubual. Ayuh kita terus kepada ulasan trek demi trek yang telah dimuatkan di dalam album All Will Be Well ini.

trails.
1.Hollow
Merupakan trek instrumental yang menjadi penyambut bagi album All Will Be Well. Berdurasi 1 minit 55 saat, trek ini seakan dif-dif kehormat menyelinap masuk secara senyap ke segenap ruang gegendang telinga. Begitu lancar dan perlahan memenuhi minda pendengar. Tenang, penuh echo dan memberikan suatu perasaan yang menarik telinga anda untuk terus mendengar trek seterusnya.
2. Eclipse
Secara jujurnya, penulis berasa tersentak seketika pada permulaan lagu ini kerana tidak bersedia dek transisi yang dibawakan trails. dari vibes yang menenangkan pada trek pertama tadi. Eclipse seakan terus memberi salam yang lembut tetapi tegas. Bagaimana pula dengan vokal Hanif? Seperti dalam EP sebelumnya, konsisten! Bahagian yang menarik perhatian penulis adalah outro lagu yang menampilkan suara yang disadur sedikit kesan khas bersama chugging guitar dan shredding oleh Asyraf dan Rafiq.
3. The Absent
Trek instrumental kedua yang dimuatkan di dalam naskah ini. Penulis berpendapat trek pertama dan trek kedua seakan satu bab kemudiannya bab kedua disambung dalam trek The Absent ini yang juga akan disambut oleh trek keempat nukilan khas Saudari Diffansina.
4. Lukalara
Lirik yang ditulis khas oleh Saudari Diffansina ini sememangnya puitis. Penulis pada mulanya tertanya-tanya bagaimana agaknya trails. akan membawa lagu yang penuh puitis ini dalam genre yang berat. Hasilnya? Puas hati. Penulis berpendapat trek ini memiliki showmanship yang sangat tight. Bassline paling versatil oleh Azer, metal chugs yang pastinya maut habis! Vokal tak perlu ceritalah! Sekali lagi, memang padu!
Trek berdurasi 6 minit dan 4 saat ini dimulakan dengan instrumental sehingga minit ke 3:50 sebelum vokal Hanif menerjah masuk dengan garang pada minit ke 3:50. Paluan dram Rashid dengan gaya blasting melengkapkan lagi kesempurnaan trek ini. Jika disuruh beri bintang, saya beri 10/10 bintang!
Selain itu, risikan penulis melalui laman Instagram Diffansina, lagu ini khas ditujukan buat anaknya yang telah kembali kepada Sang Pencipta. Seluruh warga MAMY dan pembaca mendoakan agar saudari Diffan terus tabah dan kuat untuk menjalani hari-hari seterusnya. Jangan sedih-sedih ya.

Kulit album trails. – All Will Be Well (2021).
5.No Human
Penceritaan seterusnya dibahaskan lagi dengan trek instrumental berdurasi selama 2 minit dan 52 saat. Hadir sebagai input yang menenangkan sebelum trek Of Heaven bermula.
6. Of Heaven
Rafiq Ramli, selain memegang posisi gitaris utama dalam trails., beliau juga merupakan gitaris band post-metalcore berasal dari Terengganu; Dead Eyes Glow (DEG). Trek ini memiliki guitarplay yang seakan sama dengan salah satu lagu DEG iaitu Freeing Port, manakan tidak kerana ia sudah sebati dengan signature beliau. Durasi lagu berjudul Of Heaven ini agak panjang kerana dimainkan selama 6 minit dan 55 saat.
Dari sudut penulisan lirik pula, Rafiq menyatakan bahawa lagu ini menceritakan tentang jerih dan perih pasangan ibu bapa dalam membesarkan anak mereka yang menghidap penyakit Autisme. Kami di MAMY mendoakan agar mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam membesarkan amanah dari Ilahi itu.
Dari perspektif penulis sebagai pendengar, vokal Hanif berjaya disampaikan dengan penuh emosi sedih dan gusar pada verse minit ke 1:29. Potongan lirik yang berjaya menambat hati penulis adalah seperti di bawah.
We are on our own,
Within the looming dark days, we make the best of what we have,
Raising our doubt with each passing second, tearing uncertainty to shreds.
Selain daripada penulisan lirik yang bermakna, penulis juga ketagih untuk mendengar lebih banyak lagi double pedal play oleh Rashid pada minit 5:56. Seakan tidak puas pula rasanya, terlalu pendek jika mahu headbanging kerana bahagian ini diiringi dengan teriakan Hanif yang penuh metal, jadi memang syok sebenarnya. Of Heaven juga merupakan salah satu eviden yang menjadi penanda aras kemahiran setiap anggota trails., baik dari segi vokal, guitarplay mahupun bassline dan juga dram berada pada tahap yang tertinggi dan amat memuaskan. Walaubagaimanapun, latar belakang muzik yang berbeza tidak menghalang trails. untuk terus berkarya, kerana mereka telah berhasil melakarkan segala idea dan kreaviti mereka ke dalam lagu ini.
7. Autumn Wind
Mukaddimah untuk bab terakhir dalam keseluruhan penceritaan album ini. Selain sample ucapan yang tidak dapat dipastikan dari petikan filem atau sumber lain, kesan khas pada vokal Hanif yang seakan meronta kesakitan akibat kesedihan melampau juga sememangnya menjadikan trek ini salah satu trek yang ringkas dan penuh kesempurnaan. Tiada bassline mahupun dram. Hanya petikan gitar chord by chord yang berhantu oleh gitaris mereka yang menjadikan penyampaian emosi dalam lagu ini lebih bernyawa.
8. All Will Be Hell
Rahsia kekuatan lagu ini adalah petikan gitar yang penuh nuansa ambient. Setiap note yang disuntik bersama elemen echo dan reverb yang mantap memang mengkhayalkan kalau dengar! Genre sebegini masih lagi baharu dalam skena muzik tempatan kita, namun trails. tetap berani memberi tamparan hebat dengan menghidangkan single ini kepada telinga-telinga metalhead di luar sana.
Gaya vokal Hanif juga terbukti membawa kelainan. Pada permulaan lagu vokal beliau seperti lebih kepada deep voice kemudian tempo lagu diteruskan sehinggalah klimaks yang menyergah telinga pada minit ke 2:26. False chord screaming yang dibawa Hanif memang keras dan sukar ditiru. Petikan bass dan permainan dram juga turut memainkan peranan tepat menjadikan lagu ini lebih bertenaga.
Secara keseluruhannya, semua trek dalam album ini sememangnya memiliki dinamik dan keistimewaan yang tersendiri. Jika nak diceritakan tentang kelemahan mungkin amat sedikit. Hanya pada bunyian ketukan snare oleh Rashid yang kedengaran sedikit mentah kira-kira dalam satu hingga dua trek sahaja. Tetapi masih bagus kerana dimainkan menggunakan dram sebenar dan bukannya melalui perisian dram elektronik . Jutaan pujian dan tahniah wajar diberikan kepada trails. dan seluruh kru yang terlibat kerana bukan mudah untuk mencungkil kreativiti selain tenaga dan wang ringgit di kala kita semua berjuang secara fizikal dan mental dalam memerangi COVID-19 yang membunuh ini.
Ikuti trails. dengan klik pada pautan di bawah: