MIM: Tutup Kalam – Pengalaman Audio-Visual Yang Meremangkan Bulu Roma!

oleh Aqil Syakir
1.5K bacaan

Selain persembahan langsung yang jitu, aspek teatrikal serta sokongan visual yang berkesan juga amat membantu dalam memberikan pengalaman terbaik kepada penonton yang hadir ke gig atau konsert. Formasi post-rock Lembah Kelang, MIM hampir berjaya memberikan seratus peratus impak tersebut melalui anjuran gig Tutup Kalam pada 3 April 2021.

Sekitar jam 8.30 malam, StesenSeni telah dibanjiri penonton yang membeli tiket. Gig bermula tepat jam 9.00 malam tanpa sebarang masalah. Ini merupakan venue baharu dan MIM secara rasmi menjadi band pertama yang menggegar pentas di sini.

Band pop rock asal Terengganu yang kini menetap di Kuala Lumpur, Saskia telah dipilih untuk menjadi band pembuka panggung. Mereka mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Nightmare, Cold dan sebuah lagu yang bakal dirilis di platfom muzik dalam talian (nak tahu apa kena tunggu la!).

Pada pendapat penulis, Saskia telah memberikan persembahan yang terbaik cuma agak tidak puas kerana terlalu sekejap. Tapi tidak boleh kata banyaklah kerana mereka ni band jemputan sahaja. Kepada peminat-peminat HAWAI, Civil Twilight, DYGL, Ash dan Ramones, muzik Saskia untuk anda. Dengarkan lagu-lagu mereka dan cuba tonton persembahan langsung mereka di mana-mana gig selepas ini.

Suasana di StesenSeni mula hening apabila MIM memulakan persembahan. Remedy merupakan lagu pertama yang dimainkan dari mereka dan boleh dikatakan ia telah membawa semua orang ke alam lain kerana feelnya lain macam.

Selepas beberapa lagu dimainkan (Demon dan Exequy), sebuah video dokumentari lonely death (Kodokushi) ditayangkan kerana ada kesinambungan dengan lagu seterusnya.

Di penghujung video, MIM kembali mengambil alih pentas dengan transisi ke lagu Kodokushi yang merupakan single pertama mereka. Ia adalah bahagian dalam persembahan mereka yang benar-benar menaikkan bulu roma semua orang!

Menurut gitaris MIM, Has, lagu Kodokushi diinspirasikan dari wabak kematian sunyi atau Kodokushi di Jepun.

“Sebenarnya, lagu ini diinspirasikan dari Kodokushi ni. Ia merupakan sebuah isu yang serius di Jepun. Lagu ini sebenarnya kami nak bagitahu bagaimana jika ia berlaku pada diri kita sendiri bila kita sudah tua dan tiada teman.”

Persembahan disambung dengan penyajak dan aktivis Petak Daud menyalakan lilin di sekitar Stesenseni lalu melumur water color ke seluruh badan. Menurutnya, ia adalah tanda solidariti kepada tragedi yang berlaku di Myanmar ketika ini, namun tidak dapat dihabiskan kerana kekangan masa. Akibatnya, makna persembahan tersebut tidak sampai kepada penonton.

MIM kemudian memainkan beberapa lagu baharu yang akan digunakan untuk material seterusnya. Ada di antara lagu ini belum pun mempunyai tajuk! Berdasarkan persembahan mereka, jelas bahawa hala tuju baharu ini memang berbeza berbanding apa yang biasa kita dengar di EP Runut Dalam Jeda. Selain lebih banyak suntikan vokal, input daripada dua orang anggota baharu iaitu Neo Zora (keyboards) dan Ijul Aris (gitar) juga memberi perubahan sonik dari sudut susunan lagu yang lebih pelbagai.

MIM: Tutup Kalam adalah antara gig yang berjaya memberi goosebumps kepada semua penonton yang hadir. Persembahan penutup untuk EP Runut Dalam Jeda ini menandakan bahawa satu era telah berakhir dan MIM sebagai sebuah unit akan bergerak ke satu fasa baharu yang lebih eksperimental.

Menginsafi bahawa ini merupakan persembahan pertama mereka setelah berehat panjang akibat Perintah Kawalan Pergerakan, segala kekurangan yang terlihat masih boleh dimaafkan kerana usaha untuk menjayakan gig ini sahaja sudah layak dipuji. Apa yang perlu diberi perhatian oleh MIM selepas ini adalah dari aspek kekemasan teatrikal dan paduan kimia setiap anggota. Oh ya, MIM juga perlukan seni pencahayaan yang unggul agar dapat memberi lebih impak secara pakej.

Tahniah diucapkan kepada MIM di atas persembahan yang memukau. Tidak lupa juga kepada StesenSeni yang menjadi penganjur dan Saskia sebagai band pembuka. Semoga selepas ini penulis dapat melihat lebih banyak lagi band yang bukan sahaja all out untuk aspek bunyi dan persembahan, malah seni visual juga. Kudos!

Koleksi foto gig:

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅