Kugiran Neo-Psikedelik Malaya, Ramayan mempertaruhkan album penuh sulung yang bertemakan ‘epik fantasi’ bertajuk Di Persiaran Cakrawala.
Setelah hampir empat tahun bertapa, Ramayan akhirnya tampil dengan rilisan terbaru, sebuah album penuh yang bertajuk Di Persiaran Cakrawala. Album ini mengandungi 10 buah lagu dengan atmosfera dan mood yang bervariasi yang para pendengar ke sebuah pengembaraan emosi dan pengalaman sonic yang berbeza dengan rilisan sebelum ini.
Salah sebuah single, Lamunan Anak Bulan telah dinobatkan sebagai pemenang Kategori Lagu Terbaik ‘TAPAU Awards’ yang telah dianjurkan Disember 2020 lalu. Mengambil masa dua tahun dalam produksi pembuatan, ia turut menampilkan pemuzik berkaliber dari Indonesia, Mondo Gascaro selaku produser bersama yang telah meluangkan masa selama sebulan di Malaysia untuk bekerjasama dalam proses rakaman album ini.
Perbezaan ketara dari aspek produksi album ini berbanding rilisan sebelumnya adalah Di Persiaran Cakrawala dirakamkan di studio Ronggeng, Luncai Emas menggunakan teknik rakaman track-by-track dan kebanyakannya menggunakan alatan muzik vintage untuk mendapatkan kualiti dan nuansa rakaman seperti zaman 70an.
Bunyian Di Persiaran Cakrawala terinspirasi dari muzik-muzik era lalu terutamanya dari artis-artis seperti The Beatles, Todd Rundgren, ABBA, David Bowie, dan legenda-legenda Nusantara seperti Sweet Charity, Kembara, dan Allahyarham Sudirman Haji Arsyad. Kekuatan album ini adalah pada sebuah konsep yang lengkap ‘berpakej,’ di mana muziknya selari dengan visual yang dilihat pada rekaan kulit album serta fesyen yang diperagakan, mewujudkan
tema retro-futuristik.
Terdahulu, Ramayan telah berjaya melebarkan sayapnya dan membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa menerusi siri jelajah dan persembahan di festival luar negara seperti di Jakarta, Indonesia dan Seoul, Korea Selatan. Mereka juga telah dipilih untuk menjadi kugiran pembuka untuk kugiran terkenal dari Australia, The Temper Trap pada tahun 2017 serta berkongsi pentas bersama para pemuzik unggul dari Indonesia seperti Barasuara dan Matajiwa (Anda Perdana). Oleh kerana itu, tumpuan dan sasaran album kali ini bukan sahaja ditumpukan kepada pendengar lokal sahaja, malah telah diluaskan kepada para pendengar di luar negara, terutamanya di negara-negara yang disebutkan tadi.
“Dengan taruhan muzik yang lebih berkualiti kali ini, Ramayan berharap sekali lagi stesen TV dan Radio tidak memilih bulu untuk mengetengahkan bunyian baharu Malaysia supaya industri lebih terbuka, meriah dan bervariasi setaraf muzik-muzik antarabangsa seterusnya menghapus sempadan antara ‘indie dan mainstream’. Hasrat Ramayan kepada peminat adalah supaya seni dan muzik mereka terus dapat dihargai, difahami, dihayati seterusnya dikongsi seluas yang boleh.”
Senarai lagu album Di Persiaran Cakrawala:
- Signal
- Permulaan Cinta Intan
- Lamunan Anak Bulan
- Jakarta
- Moronik
- Di Persiaran Cakrawala
- Air Mata Raja
- Puas
- Taman Bahagia
- Kebebasan
Untuk makluman, album Di Persiaran Cakrawala hanya boleh didapati secara fizikal dalam format CD dan tidak akan dimuatnaik ke mana-mana platform strim digital kerana menurut Pi’e (vokal/ gitar), ia adalah salah satu strategi mereka bagi menggalakkan peminat muzik masakini untuk lebih menghargai karya pemuzik tempatan selain membantu mereka dari segi kewangan di kala pandemik ini.
Kepada yang berminat, boleh dapatkan segera di toko-toko muzik berdekatan dengan merujuk senarai di bawah atau boleh hubungi talian 017-2970397 untuk pembelian secara temujanji.
1. Gedung Malaya, Petaling Jaya
2. Teenage Head Records, Subang Jaya
3. Formatfizikal.recordstore, Kuala Lumpur
4. Dreamprojectip, Ipoh, Perak
5. Embracerecordsanddistribution, Johor Bharu
6. Mlkmvmt, Melaka
7. Ruas.store, Pulau Pinang
8. Pekanmayarecords, Kuala Lumpur
9. Ramayan pocketbook : http://www.enigmaramayan.wixsite.com/ramayanmusik
Pada 22 Februari 2021, pihak Music Addicts Malaysia telah menjalankan satu temuramah eksklusif bersama Pi’e di Instagram di mana beliau berkongsi tentang proses rakaman album Di Persiaran Cakrawala serta visinya untuk rilisan ini. Tonton video di bawah:
Kami juga pernah menjemput Pi’e dan Spooky Wet Dreams dalam rancangan MAMY REACT pada bulan Jun 2020 untuk berkongsi pendapat tentang isu Indie VS Mainstream. Tonton video di bawah: