Band: Sunday
Tajuk Single: Koyak Payungmu
Tarikh Pelancaran: 18 April 2021
Untuk edisi bedah siasat kali ini, penulis dikenalkan dengan Sunday iaitu sebuah band rock alternatif dari Ampang, Kuala Lumpur. Ditubuhkan pada tahun 2019 dan menjadikan band-band seperti The Strokes, Mando Diao, Nirvana, Oasis dan Blur sebagai rujukan utama dalam bermuzik namun tetap berpaksikan apa sahaja genre rock alternatif yang ada. Sunday bermula ketika Alli Zulqarnain mula mengeluarkan demo-demo tidak rasmi beliau di Youtube dan Soundcloud dan kemudiannya diguna pakai untuk diserap ke dalam Sunday. Band ini juga dianggotai oleh Shuaib Shahzaman sebagai gitar utama, Izzat latiff di posisi Bes dan Fahmi Awanhitam sebagai pemain dram.
Pada bulan Jun 2020, Sunday telah merilis single pertama, Senyum Yang Takkan Kembali di semua digital platform dan Youtube. Single pertama ini berbunyi agak komersial hasil tulisan Alli Zulqarnain di bawah produksi SOG Production. Dan pada awal April tahun ini, Sunday telah mengeluarkan single terbaru berjudul Koyak Payungmu yang dikatakan agak ‘nakal’ dan ‘kotor’ serta mepunyai lirik yang agak sinis, sekali lagi hasil tulisan Alli Zulqarnain di bawah produksi Milotaboor Productions.
https://youtu.be/KEdEH12UFxQ
Seberapa nakalkah single kedua mereka ini? Mari kita membedah siasat hingga ke akar umbinya dan penulis akan menilai dari sudut bunyi, susunan lagu, lirik, dan kualiti.
Dimulakan dengan sudut bunyi, penulis boleh klasifikasikan sebagai bunyi alternatif yang kotor tapi mempunyi tone yang rugged, sesuai dengan jalan cerita lagu yang ingin disampaikan. Bunyian dram yang kemas, bass yang gebu gitu dan penulis agak terkesima dengan guitar line yang disampaikan oleh Shuaib. Eh kejap!!!! Bukan ke Shuaib ni vokalis dan gitaris Dependent? Haaa!!! Ini penjelasan dari Alli:
“Asalnya Sunday ni ada ahli asalnya, tapi disebabkan PKP ahli lama tak dapat teruskan perjuangan ekoran masalah rentas negeri. Aku dan Shuaib kenal dalam satu gig yang mana Dependent dan Sunday pernah satu stage dan dari situ aku mula rapat dengan dia. Show takde, ahli lama dah undur diri sebab PKP, aku down dan berniat nak bubar band, tapi Shuaib kerap kali pujuk aku untuk main band semula.
“Kebetulan Sunday dijemput dalam satu acara live gig, dan aku terpaksa mencari line up baru. Kata orang, life must go on. Dah berbincang semua, Shuaib setuju untuk join sebagai lead guitarist. Aku rekrut Fahmi Awanhitam, rakan yang aku kenal di Instagram untuk posisi drummer dan Shuaib rekrut Izzat Latiff untuk posisi bassist.
Bercerita tentang band yang bersepah, kita sebagai musician perlu ada rasa dahagakan cabaran dan mencari peluang untuk meneroka muzik lain di luar zon selesa kita. Tak salah pun janji kau ada rasa tanggungjawab untuk setiap haluan yang kau dah janji untuk berikan komitmen.”
Sungguh puitis cerita Alli ni. Macam cerita Gila-Gila Remaja!
Yang kedua, kita ke susunan lagu. Agak mengejutkan penulis kerana penceritaannya sungguh padat dan 100% dituju ke satu topik atau subjek. Dan bila diamati susunannya, ia seolah-olah ditulis dalam keadaan bermelodi supaya pendengar dapat menghayati setiap bait lirik yang diungkapkan. Dan penulis tertangkap pilu dengan jalan cerita lagu ini. Sempat juga penulis bertanya, apakah kelainan yang Sunday boleh sajikan buat pendengar muzik di luar sana? Ini jawapan Alli:
“Kitaorang adalah band yang bersifat ‘be natural’. Kitaorang band alternative rock yang akan try many other subgenre alternative rock yang lain di masa akan datang. Misi kitaorang adalah untuk educate orang di luar sana, alternative rock ni boleh berpecah kepada banyak genre iaitu punk, indie rock, grunge dan lain-lain. Itu semua pecahan dari alternative rock. Tanggungjawab kita sebagai penggiat seni untuk educate masyarakat dengan kepelbagaian seni dan muzik yang ada. Kitaorang berempat pun dari lain-lain background muzik dan masing-masing pun songwriter, so outcome-nya kita tunggu je nanti. Buat masa sekarang kitaorang dalam proses untuk recording album sulung. InshaAllah. Terus teranglah, kitaorang nak jadi The Beatles moden. Haha!”
Betul level lain la Sunday ni. HAHA!
Mari kita ke bahagian lirik pula iaitu bahagian yang memberi banyak persoalan kepada lagu ini. Pada dasarnya, setiap bait liriknya nampak straight forward tetapi dalam masa sama turut mempunyai maksud tersirat dan sejujurnya penulis dapat rasakan lirik Koyak Payungmu ini ditujukan kepada seseorang. Sangat berani dan penulis boleh klasifikasikan lagu ini adalah diss-track versi alternatif. Cuba kita lihat pada bait-bait lirik ini: “Tingginya ego dan tingkahmu/ Memandang ke langit tanpa sedar ramai terluka/ Payung yang memayungi dikau/ Tak selamanya melindungi nanti bocor juga.”
Persoalannya, kenapa Koyak Payungmu? Ini jawapan dari Alli:
“Nama Koyak Payungmu ni terjadi sebab aku ada masalah persefahaman dengan sebuah band yang ramai orang tahu dan kenal, aku taknak sebut. Aku asalnya peminat tegar band tu tapi atas masalah tertentu aku terinspirasi untuk tulis lagu ni untuk memberi mesej. Band apa tu, biarlah rahsia dan orang-orang yang rapat dengan aku je tahu tapi personally aku masih sayang band tu. Basically, ni lagu diss-track haha. Band tu famous, tu je clue dia.”
Fuh, berat juga isu ni. Walau apapun, nasihat penulis, bila kita dah berada di atas, jangan sesekali lupakan yang di bawah memberi sokongan selama ini.
Akhir sekali, di bahagian kualiti. Penulis suka akan kualiti yang disampaikan oleh Milotaboor Production lebih-lebih lagi di bahagian dram yang sangat baik. Tiada apa lagi yang penulis mampu katakan. Semuanya baik dan cukup makan.
Oh ya, ada satu soalan tambahan buat Alli iaitu:
Baru-baru ni penulis dapat tahu korang ada masalah dengan sebuah lagi band yang bernama sama, sedangkan korang yang start dulu dengan nama tu. Apa yang korang boleh kongsi?
“Ya, memang kitaorang ada masalah salah faham dengan band tersebut, tapi alhamdulillah kitaorang dah capai kata sepakat untuk war-warkan yang kitaorang ni adalah band yang berbeza.
“Memang betul kitaorang muncul dulu tapi oleh kerana kitaorang tidak terlalu menonjol walaupun material dah berlambak dalam soundbank yang tak release lagi, tapi ada satu kes haritu kitaorang yang main live gig, diaorang yang dapat nama, so tak syok lah mcm tu.Kitaorang harap benda ni takkan berlaku lagi, dan kalau mana mana band nak buat nama, tolong buat research sampai lebam, takut-takut in the next future, band lain pun tenggelam.”
Konklusinya, single kedua dari Sunday ini merupakan sebuah single yang baik, garang dan berani. Sebagai pemuzik, ekspresi sebegini sangat diperlukan di saat band-band lain kebanyakannya lebih memilih jalan selamat.
Tahniah dan syabas buat Sunday atas pelancaran Koyak Payungmu. Penulis mendoakan kalian terus maju jaya dan meninggalkan impak dalam industri muzik Malaysia. Penulis pun tidak sabar untuk menyaksikan persembahan mereka satu hari nanti. Adios!!!
Ikuti Sunday di:
#EkhwanFuentes