
Kredit: MND Sport & Event Sdn Bhd
Oleh: Wan Ahmad Syakir
Pengumuman edisi kedua showcase Jiwa Kacau sebelum ini sememangnya dijangka akan mencipta gelombang euphoria yang menggemparkan alam semesta seni hiburan tempatan. Sebagaimana ramalan, kejayaan yang menghiasi edisi pertama pada tahun lepas dengan 8,000 peminat, kini dipertontonkan dalam satu epik baharu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Keputusan ini bukanlah sekadar langkah strategik, tetapi langkah kebijaksanaan yang memancar cahaya kejayaan yang bakal menjadi sejarah.
Berlangsung pada 22 Jun 2024 yang lalu, edisi kedua ini berjaya menghimpunkan seramai 15,000 peminat dalam satu malam yang abadi, sekali gus mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menjadi acara konsert pertama diadakan di venue tersebut. Mengekalkan line up yang sama pada edisi sebelumnya seperti Insomniacks, Hujan, Masdo dan Bunkface di samping jemputan khas kumpulan yang diterbangkan daripada Indonesia, Nidji dan ikon terkenal zaman kegemilangan Vines yang kini mengetengahkan bakat muzik, Luqman Podolski, semuanya berjaya menggerakkan jiwa peminat untuk hadir menyaksikan penampilan yang tak terlupakan itu.
Kehebatan dan keistimewaan yang ada pada line up ini adalah sesuatu yang tidak perlu diragui dan dipertikaikan lagi. Setiap satu daripada mereka menampilkan keunikan tersendiri yang memikat hati. Luqman Podolski dengan karisma yang begitu bersahaja dan keren di atas pentas, Masdo dengan gaya retro ala tahun 60-an yang mencorakkan identitinya, Hujan dengan kegilaan penggemar setia Raingers mereka, Bunkface dengan aura yang mempersembahkan semangat Greenday versi Malaysia dan Insomniacks dengan persembahan yang mengalir dalam nuansa galaunya. Kesemuanya ini merupakan hidangan yang dinanti-nantikan oleh 15,000 peminat yang bersemangat hadir, mencerminkan kemahsyuran sebuah acara yang melampaui kata-kata.

Nidji. Kredit: MND Sport & Event Sdn Bhd
Pun begitu, paling mencuri perhatian pastinya kehadiran kumpulan Indonesia, Nidji pada showcase kali ini. Kehadiran Nidji ini pastinya ditunggu-tunggu peminat setianya, ‘Nidjiholic’. Bagi mereka yang masih belum tahu, Nidji yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu dalam kalangan anak muda di Malaysia kini menampilkan vokalis baharunya, Ubay yang menggantikan Giring Ganesha. Ubay, menggantikan peranan penting ini setelah Giring Ganesha memilih untuk berundur pada Disember 2018 demi mengejar cita-citanya dalam bidang politik. Selepas sebulan pencarian, akhirnya Nidji menemui vokalis baharu, Ubay yang juga bekas peserta program realiti, Indonesian Idol 2014. Keperibadian Ubay yang mempunyai aura seakan-akan Ariel dari kumpulan Noah, memperkukuh perpaduan yang serasi dengan Nidji, memelihara momentum dan identiti kumpulan itu dengan penuh semangat dan kekuatan yang mengagumkan.
Nidji menerjah pentas dengan lagu-lagu kegemaran seperti ‘Lala Song’, ‘Disco Lazy Time’ dan ‘Arti Sahabat’. Di saat ada peminat yang hadir kelihatan masih bingung dengan penampilan vokalis baharu tersebut, Ubay berjaya mengembalikan momentum dengan persembahan lagu dari filem popular, ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’ iaitu ‘Sumpah’ dan ‘Cinta Matiku’ diikuti lagu ‘Wadow’ yang mengetuk jiwa dengan penuh karya. Tika tampak ada peminat yang kecewa, seolah-olah Nidji ingin menutup persembahan mereka dengan lagu ‘Laskar Pelangi’ akibat kekangan waktu, Nidji memberikan elemen surprise apabila menghadiahkan lagu-lagu yang ditunggu ramai, ‘Biarlah’ dan ‘Hapus Aku’. Gelombang kegembiraan memenuhi stadium, memperlihatkan kenikmatan menyanyikan bersama dan melepaskan rindu. Ini adalah hadiah istimewa daripada Nidji, mengukir momen yang abadi dalam ingatan 15,000 peminat yang berbahagia menyaksikan persembahan yang tiada tandingannya. Sebagai vokalis Baharu kumpulan ini, Ubay seakan tidak percaya dengan sambutan peminat, dan mengakui peminat Nidji di Malaysia sememangnya luar biasa.

Nidji. Kredit: MND Sport & Event Sdn Bhd
Showcase edisi kedua ini dilihat berjaya dengan segala elemen yang dipersembahkan. Pada pandangan peribadi, kekuatan kreativiti visual merupakan antara elemen yang mendokong perjalanan showcase ini. Kejayaan mengintegrasikan elemen visual yang dinamik telah menjadikan showcase ini lebih interaktif, selain daripada tindakan bijak penganjur mencuri peluang untuk menunjukkan solidariti terhadap penduduk P*lestin yang teraniaya di bawah rejim Zi0n1s melalui slot video khas yang mengimbau kesengsaraan mereka. Ditambah pula, profesionalisme emcee jemputan, Radin Era, turut mengetengahkan ‘momen of silence’ dengan pembacaan doa Al-Fatihah bagi para mangsa, mencipta momen hening yang meresap ke dalam jiwa. Pelbagai elemen unik lain seperti cabutan bertuah hadiah misteri dan persembahan bunga api menambahkan lagi keghairahan, memenuhi kehendak para peminat yang hadir. Dari segi aspek bunyi dan keselamatan, pengurusan yang cekap telah menjamin kualiti yang memuaskan, walaupun masih ada ruang untuk penambahbaikan pada edisi akan datang. Kejayaan penganjur dalam menyusun elemen-elemen ini membuahkan hasil yang terukir indah dalam wajah pengunjung yang tersenyum cerah, mencerminkan kegembiraan yang mendalam di lubuk hati mereka.
Terdapat juga beberapa aspek lain yang boleh ditambah baik oleh pihak penganjur. Menerusi observasi kaca mata penulis, urusan penebusan tiket dan pemeriksaan tiket dilihat menjadi masalah utama pada hari acara. Ketidakjelasan maklumat kepada peminat yang hadir menyebabkan beberapa di antara mereka terpaksa beratur hampir sejam lamanya. Akibatnya, ada yang kecewa kerana tidak dapat menyaksikan persembahan kumpulan kegemaran mereka meskipun telah menghabiskan ratusan ringgit untuk tiket showcase tersebut. Namun demikian, pujian diberikan atas tindakan segera beberapa pihak yang berjaya menangani masalah tersebut dengan cekap. Biasalah, tiada yang sempurna di dunia ini, namun diharapkan pihak-pihak penganjur di Malaysia khususnya dapat berusaha untuk meminimakan kesulitan yang dialami oleh peminat yang hadir. Tanpa sokongan daripada peminat, siapalah anda.

Kredit: MND Sport & Event Sdn Bhd
Tahniah diucapkan kepada MND Sport & Event Sdn Bhd dan semua pihak yang bertungkus lumus dalam menjayakan Showcase Jiwa Kacau 2024 edisi kedua ini. Tahniah juga kerana berjaya mencapai objektif untuk menjadikan showcase ini sebagai medan berkembang untuk melestarikan muzik tempatan terutama buat generasi kini dan akan datang. Tahniah juga kepada semua jiwa-jiwa yang hadir pada malam tersebut. Terima kasih untuk momen indahnya. Sampai kita berjumpa lagi pada edisi yang ketiga akan datang.