Ditubuhkan sejak 2009, kumpulan alternatif rock tempatan Kyoto Protocol kini tampil dengan single terbaharu berjudul Nothing Lasts Forever selepas album terakhir mereka pada 2018 iaitu The Pen Is Mightier. Lagu bergenre rock ini ditulis sepenuhnya oleh penyanyi utama kumpulan tersebut, Fuad Alhabshi.
Menurut Fuad, “Lagu dan lirik Nothing Lasts Forever istimewa kerana lagu ini menceritakan tentang penghargaan saya kepada para pemuzik yang telah pergi buat selamanya. Lagu ini merupakan sebuah apresiasi saya kerana sudah tidak ada lagi peluang untuk melihat persembahan pemuzik yang saya minati ini di depan mata selepas mereka telah pergi.”
Tambah Fuad lagi, disebabkan dia dibesarkan dengan mendengar lagu-lagu dari pemuzik hebat 90-an seperti Pearl Jam, Soundgarden, Stone Temple Pilot dan Nirvana, ia sedikit sebanyak membina jiwa dalam dirinya untuk menjadi seorang yang mempunyai tahap keterbukaan moral yang tinggi dan matang, kritis serta kreatif.
Selain itu, lagu ini dibuat bagi memberi semangat kepada golongan muda dalam mendepani cabaran membesar dengan dunia teknologi masa kini. Kumpulan Kyoto Protocol amat berharap Nothing Lasts Forever mendapat sambutan yang memberangsangkan walaupun industri muzik dan seni negara kita masih terkesan dengan impak pandemik Covid-19.
Jujur mereka katakan bahawa mereka rindu untuk membuat persembahan di hadapan peminat mereka kembali. Kyoto Protocol adalah kugiran rock yang dikenali menerusi lagu Gimme Nothing dan Delta Wing yang popular di corong-corong radio khususnya BFM dan pernah menyertai pertandingan Versus di TV9. Selain Fuad Alhabshi, Kyoto Protocol turut dianggotai Gael Oliveres, Hairi Haneefa, Shakeil Bashir dan Shanjeev Reddy.
Lagu ini boleh mula dinikmati di semua pelantar digital dan aplikasi penstriman muzik seperti Spotify, iTunes dan Apple Music bermula 3 Jun 2021.
Ikuti Kyoto Protocol di: