Suatu pagi sewaktu berusia 19 tahun, Jeshurun Vincent terjaga dari tidur dan menyedari bahawa beliau telah kehilangan seluruh pendengaran di telinga kirinya. Memburukkan lagi keadaan, ketika itu beliau sedang rancak belajar bermain gitar dan berimpian untuk menjadi gitaris professional.
“Masa tu, hampir semua orang kata kepada aku, berhentilah kejar cita-cita untuk jadi pemuzik. Sebab pemuzik perlukan pendengaran yang baik, dan aku perlu cari karier lain.”
Bagi seorang pencinta muzik, memaksa diri untuk berhenti adalah perkara mustahil. Beliau kemudiannya mengalami depresi yang teruk dan mula berubah menjadi seorang yang pendiam, tiada keyakinan diri dan tidak bergaul dengan masyarakat.
Setelah sekian lama, akhirnya Jeshurun bangkit semula daripada kekecewaan dan mendepani kekurangannya dengan berani.
“Aku sedar yang aku tak boleh selamanya lari daripada masalah ini. Sampai satu masa, aku perlu menanganinya juga.”
Pendengaran di telinga kanannya masih baik. Beliau kembali bermain gitar dan turut menyambung pengajian dalam jurusan perbankan dan kewangan dan diterima bekerja di institusi kewangan pada usia 23 tahun.
Jeshurun kemudian merangka pelan untuk merantau ke luar negara dan berkongsi pengalaman selain memberi inspirasi kepada golongan-golongan yang kurang bernasib baik.
“Aku mahu memberitahu kepada mereka, jangan pernah berputus asa dalam mengejar impian walau apa pun situasi dan kekurangan yang dihadapi,” katanya.
“Jika aku mampu berjaya, kalian juga sama.”
Bermula pada tahun 2014, kini Jeshurun sudah merantau ke 102 buah negara dalam masa 65 bulan dan menginspirasikan ramai orang melalui pengalaman, muzik dan cerita-ceritanya tentang Malaysia. Antara negara-negara yang dilawatinya termasuklah Iran, Afghanistan, Turkmenistan dan seluruh benua Amerika Selatan.
Baru-baru ini, nama beliau telah dicatatkan dalam Malaysia Book of Records kerana menjadi individu pertama dari Malaysia yang merantau ke paling banyak negara.
Tambah beliau, pengembaraan ini takkan berhenti setakat ini sahaja. Beliau masih mahu merantau lagi, namun terpaksa bersabar dengan segala kekangan akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.
Pada tahun 2017, Jeshurun menulis buku Into the Potter’s Hands yang menceritakan secara terperinci latar belakang kehidupannya serta pengalaman-pengalaman sewaktu beliau merantau ke negeri orang.
Buat masa ini, beliau sedang sibuk menyiapkan buku keduanya yang akan menceritakan tentang kembaranya ke 21 negara di Amerika Selatan dalam masa 39 hari. Buku ini dijangka diterbitkan pada penghujung tahun ini.
Setelah melalui pelbagai pengalaman suka dan duka di tempat orang, Jeshurun yang berusia 33 tahun berkata beliau kini menjadi orang yang lebih berani berhadapan apa sahaja rintangan yang mendatang.
“Aku berharap semua orang yang sedang berhadapan masalah juga akan lebih berani keluar daripada zon selesa masing-masing,”
Kisah Jeshurun ini mungkin berbeza berbanding pemuzik-pemuzik lain, namun apa yang telah dicapainya melalui cinta terhadap muzik adalah luar biasa.
Liputan tentang Jeshurun di dalam dan luar negara:
Vientiane International Gospel Music Festival:
Program Wira tak Didendang Malaysia: