Suatu ketika dahulu, dunia hiburan kita pernah dimeriahkan dengan genre yang digelar Irama Malaysia/ Etnik Kreatif. Ia dikenali melalui konsep muzikalnya yang bernuansa nusantara dan muzik sedunia (world music).
LATAR BELAKANG IRAMA MALAYSIA / ETNIK KREATIF
TAHUN: Diperkenalkan pada tahun 1992 melalui Anugerah Juara Lagu (AJL) terbitan TV3.
STAIL MUZIK: Joget, Ghazal, Ngajat, Zapin, Dangdut dan lain-lain.
KOMPOSER IKONIK: Allahyarham Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), M. Nasir, Yasin, ND Lala, Allahyarham Johan Nawawi.
ARTIS IKONIK: Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, M. Nasir, Jamal Abdillah, ND Lala, Nora Ariffin, Siti Nordiana dan Syura.
SENARAI PEMENANG SETIAP TAHUN UNTUK KATEGORI ETNIK KREATIF DI AJL 1992 – 2008
1992 : Pak Pandir – “Yang Remeh Temeh”
1993 : To’ki – “Seni Berzaman”
1994 : M Nasir – “Bonda”
1995 : ND Lala – “Diari Y.B”
1996 : ND Lala – “Syair Cak Pung”
1997 : Jamal Abdillah & M Nasir – “Ghazal Untuk Rabiah”
1998 : Datuk Seri Siti Nurhaliza – “Cindai”
1999 : Noraniza Idris & Datuk Seri Siti Nurhaliza – “Hati Kama”
2000 : Datuk Seri Siti Nurhaliza – “Balqis”
2001 : Yasin – “Mimpi Laila”
2002 : Datuk Seri Siti Nurhaliza – “Nirmala”
2003 : Waheeda – “Wassini”
2004 : Dayang Nurfaizah – “Erti Hidup”
2005 : Mawi – “Aduh Saliha”
2006 : Zahid – “Warkah Buatmu Laila”
2007 : Nora Ariffin – “Samudera”
2008 : Farawahida Razali – “Persoalan Cinta”
TRIVIA
1. Lagu “Persoalan Cinta” yang menang pada 2008 secara logiknya bukanlah lagu berirama etnik disebabkan unsur pop dance di dalamnya. Lagu ini diangkat sebagai lagu etnik hanya kerana iringan muzik Erhu bernuansa timur jauh.
2. Komposer Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah meraih pencalonan sebagai komposer terbanyak iaitu 13 lagu termasuk sebuah lirik nukilannya pernah dicalonkan.
3. Satu-satunya kumpulan gitar rancak (kugiran) yang menyertai kategori ini adalah Kumpulan Illusi pada tahun 1992.
4.Siti Nurhaliza merupakan penyanyi terbanyak memenangi juara keseluruhan menerusi kategori ini iaitu dua kali pada 1998 (“Cindai”) dan 2000 (“Balqis”).
5.Tiga buah lagu dalam keluarga ghazal dan zapin memenangi kategori ini adalah “Ghazal Untuk Rabiah,” “Cindai” dan “Hati Kama.”
6. Noraniza Idris mendapat jolokan Ratu Irama Tradisional kerana konsisten menghasilkan 13 album berentak irama tradisional semenjak tahun 1986 sehingga 2010.
Selepas tahun 2008, TV3 membuang kategori ini dalam AJL kerana kurang mendapat sambutan dari segi penyertaan artis dan juga komposer. Peminat genre ini juga semakin berkurang seiring dengan peredaran zaman dan kebangkitan muzik indie ketika itu.
Walaupun kategori Etnik Kreatif tidak lagi dipertandingkan di AJL, artis seperti Noraniza Idris masih lagi menghasilkan karya berentak etnik kreatif seperti single “Enjut” (2009) dan album Cintaku Satu (2010), namun penerimaan peminat telah merosot dengan teruk membuatkan genre ini terus hilang dari radar.
Bagi penulis, kehilangan etnik kreatif adalah kerugian yang besar dalam industri muzik negara kerana selain mempromosi muzik tradisional Melayu, ia juga memperkenal identiti bangsa kepada orang ramai, lebih-lebih lagi peminat muzik luar negara. Dengan adanya kategori khas dalam anugerah berprestij seperti AJL, ia mampu menjadi platform komposer dan artis untuk berkarya dengan lebih kompetitif. Sayangnya, ia terhapus akibat kurangnya sokongan.
Pada pendapat kalian, perlukah kategori ini dikembalikan dalam AJL atau anugerah-anugerah lain? Selepas kehilangan komposer ikonik seperti Pak Ngah, masih adakah lagi komposer lain yang mampu mencapai kualiti penulisan sehebat zaman kegemilangannya?
Jika kita lihat di gerakan muzik bawah tanah, banyak penyanyi/ band berbakat yang menulis sendiri lagu-lagu bernuansa nusantara tetapi tiada plaform yang kukuh untuk mempromosi karya mereka ke pentas arus perdana. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita gerakkan kebangkitan muzik nusantara secara serius?
Rujukan: