Ketika ini, saudara Meor Yusof Aziddin atau lebih kita kenali di alam maya sebagai Meor Pesta Jiwa sedang bertarung nyawa di katil hospital akibat jangkitan virus Covid-19 dan sedang ditidurkan. Menurut keluarganya, tahap kesihatan beliau semakin merosot dan memerlukan doa daripada semua yang mengenalinya.
Persona ini mungkin tidak sepopular pemain industri lain, jauh lagi berstatus legenda, namun keberadaannya amat menyenangkan semua orang. Beliau hanya seorang marhaen yang menghidupi hidup sebagai seorang busker bermula tahun 1984 dan pernah menerbitkan album Pesta Jiwa (2000) di bawah label perdana sebelum menerbitkan deretan album-album lain secara independen. Kini, kelibatnya boleh ditemui di celah-celah kesesakan warga kota pergi dan pulang ke tempat kerja di KL Sentral setiap hari dan harapnya, beliau akan kembali ke situ tidak lama lagi.
Di ruangan Facebook beliau, boleh kata setiap hari kita akan membaca pelbagai kisah menarik tak kira nostalgia, pengalaman dan sudut pandang Meor tentang pelbagai perkara termasuk sejarah dan individu penting scene busking di Kuala Lumpur, pemuzik-pemuzik tempatan dan antarabangsa kesukaannya, anak-anak beliau yang punya pelbagai bakat dan ragam serta caca marba senario politik negara. Ada magis dalam penulisannya yang membuatkan ramai pembaca, baik yang mengenali beliau ataupun tidak rasa terkesan, tersentap dan tercandu. Nukilannya tidak perlu berbunga-bunga, cukup sekadar pendapat jujur selain bekalan pengalaman selama puluhan tahun dalam industri sebagai pengisian untuk mendakap jiwa pembaca.
Bukan sedikit sahabat dan kenalan yang menitipkan doa dan ucapan kepada beliau untuk segera sembuh. Di bawah ini penulis kumpulkan sedikit yang pernah melintas di timeline Facebook penulis.
“Meor seorang sahabat yang baik. Tanyalah sesiapa pun, pasti semua orang bersetuju bahawa beliau akan bercerita hal yang damai tentang semua orang. Tidak ada sifat busuk yang menghalang beliau daripada menjadi teman yang disenangi.” – Abdullah Jones
“Meor ini orang yang berprinsip.” – Sinaganaga
“Banyak sekali kenangan bersama Meor sejak beliau kerja di Yamaha sampai jadi buskers sepenuh masa. Dari kurus sampai berisi, semoga kau kembali bertenaga semula sahabat.” – Seir Rashid
“Meor adalah seorang yang baik hati dan begitu menyenangkan. Meor juga seorang penulis dan pencerita yang baik. Jiwanya dan kecintaannya diabadikan sepenuh di dalam dunia muzik.” – Muhammad Nazreen
Dia Meor Yusof punya banyak harapan untuk pulih. Sememangnya dia seperti abang kepada kita semua yang gagal dalam menghalusi kehadiran pencipta dalam diri.” – Nik Jidan
Kepada semua pembaca, sahabat, rakan dan taulan yang mengenali Meor, beliau amat memerlukan bantuan kita di saat ini. Bukan sekadar doa, tetapi sedikit sumbangan yang dapat memberi kelegaan kepada isterinya yang merupakan seorang suri rumah dan empat orang anak termasuk Adam yang autistik untuk meneruskan hidup.
Kepada yang ingin membantu, bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan sedikit sumbangan ke nombor akaun yang tertera di bawah.
Semoga Allah s.w.t membalas jasa kalian dan Meor kembali pulih seperti sediakala. Amin!