Simposium Muzik Ipoh Kembali Untuk Siri Ketiga Bertemakan Nusantara: Menelusuri Tradisi dan Kontemporari

oleh Rahmat Mohd Did
2.9K bacaan

IPOH MUSIC SYMPOSIUM 2021: NUSANTARA (IMS2021) merupakan sebuah program simposium muzik tahunan anjuran bersama People of Remarkable Talents (PORT) dan Gerakan Seni Ipoh. Edisi ketiga pada kali ini dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dengan kerjasama Cultural Economy Development Agency (CENDANA) dan Tourism Perak. Bertemakan “NUSANTARA: Menelusuri Tradisi dan Kontemporari,” beberapa program sampingan turut diatur untuk memeriahkan lagi IMS2021.

Selain simposium sebagai program utama, IMS2021 selama tiga hari ini akan memuatkan lain-lain program menarik seperti forum, bengkel, sidang meja bulat dan sebuah konsert khas yang bakal dijayakan oleh para seniman ternama dan yang sedang meningkat naik.

Menurut YB Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak yang merangkap Ahli Lembaga PORT, “PORT ingin membuka ruang kepada para pengkaji dan peminat irama muzik Nusantara untuk berbincang mengenai perkembangan genre muzik ini. Impak serta kesan daripada simposium ini boleh menjadi satu rujukan penting bagi pihak-pihak berkepentingan untuk menilai serta menyusun dasar-dasar yang boleh menyokong pergerakan seni dan budaya malahan termasuk juga sektor pelancongan negeri. Melalui simposium ini, kita akan dapat mengumpul pelbagai maklumat dan fakta untuk merungkai segala persoalan yang timbul mengenai muzik yang berkait rapat dengan elemen Nusantara ini”.

Simposium Muzik Ipoh 2021: Nusantara akan menampilkan 23 orang pembentang yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, pengkaji budaya dan penggiat seni. Barisan ahli panel dengan latar belakang yang berbeza ini akan merungkai topik-topik mengenai wacana serta isu-isu seputar muzik Nusantara. Antara mereka yang terlibat adalah Profesor Madya Dr Haji Mohd Azam (Azam Dungun), Manan Ngah, Dr Raja Iskandar Raja Halid dan Eddin Khoo dari Malaysia, serta Aris Setyawan, Dr Citra Aryandari dan Michael HB Raditya dari Indonesia. Manakala ucaptama simposium bagi kedua-dua hari akan disempurnakan oleh seniman Dato’ M. Nasir Mohamed (Malaysia) dan Bapak Dwiki Dharmawan (Indonesia).

YB Dato’ Zainol Fadzi bin Paharudin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak merangkap Ahli Lembaga PORT turut menambah, “Tujuan utama simposium pada kali ini adalah untuk memberi pendedahan kepada khalayak mengenai seni muzik Nusantara yang banyak mempengaruhi corak pemikiran dan penghayatan kita tentang alam dan persekitaran hidup kita. Sepertimana elemen “Rock Kapak” (tema simposium pada tahun lepas) yang menjadi cebisan kisah hidup sebahagian besar daripada kita, tradisi muzik Nusantara malah adalah lebih panjang dan meluas, mencakupi muzik tradisional, moden dan kontemporari, yang sudah tentu banyak memberi kesan dalam proses pendewasaan kita. Sebagai satu program tahunan PORT, Ipoh Music Symposium ini diharapkan dapat menjadi satu wadah penting untuk pengumpulan sumber-sumber tekstual yang bersifat ilmiah, yang dapat menjadi rujukan berguna bagi generasi akan datang.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin menjelaskan, “Ekosistem industri muzik telah menyaksikan penurunan drastik program dan aktiviti berbentuk persembahan pentas sepanjang tempoh PKP akibat penularan wabak Covid-19. Justeru itu, pihak kami bersepakat untuk tetap juga meneruskan program simposium muzik tahunan kali ini, walaupun secara dalam talian, oleh kerana masih terdapat sambutan yang menggalakkan daripada semua peserta dan peminat budaya. Ipoh Music Symposium yang sudah masuk ke tahun yang ketiga ini sesungguhnya telah menjadi program ‘hallmark’ PORT yang disebut-sebut hingga ke luar negara. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Cultural Economy Development Agency (CENDANA) dan Tourism Perak kerana membantu menampung segmen persembahan serta promosi Ipoh Music Symposium pada kali ini.”

Pengurus PORT, Syed Zarul Hisham Syed Khairuddin seterusnya mengumumkan, “Konsert Nusantara” yang menonjolkan pelbagai muzik yang mengandungi elemen-elemen Nusantara dibarisi seniman-seniman seperti Dato’ M.Nasir, Margasatwa, Ondo Handpan, Space Gambus Experiment, Sada Borneo dan kumpulan duo orang asal Herry & Alang Luhiew Renaweij. Lagu-lagu rakyat negeri Perak akan turut diketengahkan pasukan seni dan budaya Kerajaan Negeri Perak iaitu Kumpulan Selendang Perak. Turut ditampilkan pada permulaan konsert nanti adalah kugiran baru tempatan, Raksar, untuk mengimbau semula tema Ipoh Music Symposium pada tahun lalu iaitu ‘Rock Kapak’.”

“Dengan adanya sebuah konsert walaupun secara dalam talian, secara tidak langsung ianya dapat membantu para penggiat muzik, pihak pengurusan pentas dan bahagian teknikal yang melibatkan ramai pekerja di belakang tabir” tambah Syed Zarul.

Muhammad Zulhamizan Samsudin, Penyelaras Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PORT merangkap Pengurus Projek Ipoh Music Simposium, mengingatkan tentang garis panduan pengawalan virus Corona (Covid-19) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. “Walaupun dengan berat hati, kita terpaksa menjalankan program sepenuhnya secara dalam talian pada kali ini. Diharapkan program ini akan mendapat capaian peserta dan penonton yang lebih besar. Orang ramai boleh menonton siaran langsung bagi setiap program di media sosial Facebook PORT IPOH dan dijemput untuk mengikuti Page facebook IPOH MUSIC SYMPOSIUM 2021 untuk mendapatkan maklumat yang dikemaskini dari masa ke semasa.”

Ikuti laman sosial Port Ipoh untuk maklumat lanjut:

Facebook

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅